Connect with us

Terkini

Pelajar China tidak rampas tempat anak tempatan di IPTA – Majlis Profesor Negara

Published

on

foto: Presiden MPN, Prof Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose
  • Majlis Profesor Negara (MPN) mempertahankan dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara dan menolak tanggapan bahawa pelajar antarabangsa mengambil peluang pelajar tempatan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA),
  • “Melalui PSPTN, Malaysia menetapkan sasaran untuk menarik 250,000 pelajar antarabangsa menjelang tahun 2030. Walaupun jumlah pelajar antarabangsa terus menunjukkan perkembangan positif, negara masih berada jauh daripada sasaran tersebut.
  • “Ini bermakna cabaran sebenar negara hari ini bukanlah bagaimana mengurangkan kemasukan pelajar antarabangsa, tetapi bagaimana meningkatkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap sistem Pendidikan tinggi Malaysia agar lebih ramai memilih negara ini sebagai destinasi pengajian.”- Presiden MPN, Prof Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose.

KUALA LUMPUR: Majlis Profesor Negara (MPN) mempertahankan dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara dan menolak tanggapan bahawa pelajar antarabangsa mengambil peluang pelajar tempatan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), susulan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah berhubung kehadiran lebih 32,000 pelajar dari tanah besar China di universiti awam.

Presiden MPN, Prof Emeritus Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, tanggapan bahawa pelajar antarabangsa merampas tempat pelajar tempatan merupakan salah satu salah faham yang sering dibangkitkan, sedangkan amalan sebenar pelaksanaan dasar kemasukan ke universiti awam menunjukkan keutamaan kepada pelajar tempatan sentiasa dipelihara.

Menurut beliau, bagi program prasiswazah, pengambilan pelajar antarabangsa dikawal secara berhemah dan lazimnya tidak melebihi sekitar 10 peratus daripada jumlah keseluruhan enrolmen.

Selain perlu memenuhi syarat akademik yang ketat, mereka juga melalui proses penilaian di peringkat fakulti sebelum mendapat kelulusan Senat Universiti, sekali gus memastikan standard akademik tidak pernah dikompromikan.

Beliau berkata, pelajar antarabangsa turut membayar yuran penuh mengikut kadar pasaran antarabangsa yang membantu universiti memperkukuhkan kedudukan kewangan, meningkatkan kemudahan pembelajaran dan penyelidikan serta mewujudkan mekanisme silang subsidi yang akhirnya turut memberi manfaat kepada pelajar tempatan.

Mengulas mengenai dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi, Dr Raduan berkata agenda tersebut bukan diwujudkan secara kebetulan, sebaliknya merupakan Teras Strategik Kelima dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang dirangka bagi menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pendidikan tinggi serantau yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Katanya, dasar itu lahir daripada syor Jawatankuasa Mengkaji, Menyemak dan Membuat Perakuan Mengenai Perkembangan dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi Malaysia yang dipengerusikan Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, selepas mengadakan lawatan penanda aras ke 17 negara serta meneliti pelbagai laporan strategik daripada UNESCO, OECD dan Bank Dunia yang merumuskan bahawa pengantarabangsaan merupakan antara pemacu utama kecemerlangan universiti, pembangunan ekonomi berasaskan ilmu dan daya saing sesebuah negara.

Beliau berkata, bagi memperkukuhkan agenda tersebut, kerajaan turut menubuhkan Education Malaysia Global Services (EMGS) pada 2012 sebagai agensi khusus di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi bagi menyelaras pengurusan pelajar antarabangsa termasuk urusan Student Pass, dokumentasi dan kemasukan ke institusi pengajian tinggi.

Pada masa sama, setiap universiti awam dan swasta turut mempunyai Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa yang menguruskan kebajikan, mobiliti akademik serta pematuhan visa pelajar luar negara.

Menurut beliau, Malaysia juga masih berdepan cabaran untuk mencapai sasaran menarik 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2030 sebagaimana digariskan dalam PSPTN.

Justeru, katanya, cabaran sebenar negara ketika ini bukan mengurangkan kemasukan pelajar antarabangsa, sebaliknya meningkatkan keyakinan masyarakat global terhadap sistem pendidikan tinggi Malaysia agar lebih ramai memilih negara ini sebagai destinasi pengajian.

Dr Raduan turut menjelaskan bahawa agenda pengantarabangsaan di seluruh dunia lebih tertumpu kepada program pascasiswazah kerana peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah menjadi medan utama penyelidikan, inovasi dan penghasilan ilmu baharu. Menurut beliau, pengambilan pelajar antarabangsa bagi program tersebut bergantung kepada kapasiti penyeliaan, keupayaan penyelidikan serta kecemerlangan akademik universiti, bukannya kuota.

Beliau berkata, kehadiran pelajar antarabangsa bukan sekadar meningkatkan kolaborasi penyelidikan, penerbitan ilmiah dan pemindahan teknologi, malah memperkayakan keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi melalui interaksi rentas budaya, mobiliti akademik serta perkongsian kepakaran yang turut memberi manfaat kepada pelajar tempatan.

Pada masa sama, aspek pengantarabangsaan turut menjadi antara indikator utama dalam penarafan universiti bertaraf dunia seperti Times Higher Education (THE) dan QS World University Rankings.

Sehubungan itu, beliau menegaskan perbahasan mengenai pelajar antarabangsa sewajarnya berpaksikan fakta dan bukannya persepsi yang boleh mengelirukan masyarakat.

Katanya, apa yang perlu dipastikan ialah peluang pendidikan rakyat Malaysia terus dipelihara, standard akademik dipertingkatkan, sementara negara kekal berupaya menarik bakat terbaik dunia ke universiti-universiti tempatan demi memperkukuhkan daya saing Malaysia pada masa hadapan.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author