Terkini
32,000 pelajar China di IPTA, Anak tempatan hilang peluang? – Dr Haim Hilman
- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah menegaskan persoalan yang dibangkitkannya bukan bertujuan mempertikaikan kehadiran pelajar dari China, sebaliknya mempersoalkan dasar pengagihan tempat di universiti awam yang menurutnya perlu memberi keutamaan kepada anak tempatan.
- “Bukan kita nak lawan orang China dari tanah besar. Tetapi mengapa begitu banyak tempat diberikan kepada mereka? Mengapa tempat itu tidak diberikan kepada anak Pak Man di kampung, anak Ah Chong di bandar Johor Bahru atau anak Muthusamy di Selayang?” katanya.
JOHOR: Selepas sebelum ini membangkitkan isu peluang kemasukan ke universiti awam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah sekali lagi tampil dengan dakwaan bahawa lebih 32,000 pelajar dari tanah besar China sedang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), sambil mempersoalkan samada tempat tersebut sepatutnya dimanfaatkan oleh anak tempatan.
Menurut Dr Haim, berdasarkan data yang dirujuknya, terdapat 56,565 pelajar antarabangsa sedang mengikuti pengajian di 20 universiti awam daripada keseluruhan 634,706 pelajar, iaitu kira-kira lapan peratus daripada jumlah keseluruhan enrolmen IPTA di negara ini.
Bagaimanapun, beliau mendakwa gambaran sebenar lebih ketara apabila melibatkan lima universiti awam utama negara, iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Menurutnya, seramai 41,097 pelajar antarabangsa, atau kira-kira 72 peratus daripada keseluruhan pelajar asing di IPTA, sedang mengikuti pengajian di lima universiti berprestij tersebut.
Beliau turut mendakwa data Universiti Malaya bagi tahun 2025 menunjukkan institusi itu mempunyai 46,514 pelajar, dengan 12,043 daripadanya merupakan pelajar antarabangsa, bersamaan kira-kira 25.9 peratus daripada keseluruhan jumlah pelajar.
Dr Haim berkata, daripada keseluruhan 56,565 pelajar antarabangsa di IPTA, seramai 32,546 orang merupakan pelajar dari tanah besar China, menjadikannya kumpulan pelajar asing terbesar di universiti awam negara, diikuti Indonesia dengan 4,737 pelajar.
Beliau menegaskan persoalan yang dibangkitkannya bukan bertujuan mempertikaikan kehadiran pelajar dari China, sebaliknya mempersoalkan dasar pengagihan tempat di universiti awam yang menurutnya perlu memberi keutamaan kepada anak tempatan.
“Bukan kita nak lawan orang China dari tanah besar. Tetapi mengapa begitu banyak tempat diberikan kepada mereka? Mengapa tempat itu tidak diberikan kepada anak Pak Man di kampung, anak Ah Chong di bandar Johor Bahru atau anak Muthusamy di Selayang?” katanya.
Menurut beliau, kekangan tempat di universiti awam menyebabkan sebahagian pelajar tempatan, khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan, gagal mengikuti program pengajian yang diinginkan, manakala mereka yang mempunyai kemampuan kewangan masih mempunyai pilihan untuk melanjutkan pengajian di institusi swasta.
Dr Haim turut mendakwa peluang kemasukan ke program-program pengajian yang menjadi pilihan semakin terhad, menyebabkan sebahagian anak daripada keluarga berpendapatan rendah terus tercicir daripada menikmati akses kepada pendidikan tinggi berkualiti.
Dalam masa sama, beliau mengaitkan isu itu dengan kebolehpasaran graduan apabila mendakwa seramai 1.65 juta graduan Melayu tidak memperoleh pekerjaan yang setara dengan kelulusan dimiliki dan terpaksa menceburi sektor ekonomi gig seperti perkhidmatan penghantaran makanan dan e-hailing.-The Merdeka Times