Connect with us

Terkini

Hannah Yeoh kongsi dapatan UIAM: Pilihan Raya Datuk Bandar belum sesuai, Akta 190 disifatkan ‘sensitif’

Published

on

Foto: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
  • Hasil kajian pihak UIAM mendapati pindaan kepada peruntukan Akta 190 yang telah digubal untuk mentadbir bandaraya Kuala Lumpur, yang mempunyai kedudukan sebagai ibu negara Malaysia dan Wilayah Persekutuan, adalah agak sensitif kerana melibatkan struktur tadbir urus di peringkat tertinggi, iaitu Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Sultan Selangor, dan tidak terhenti pada peringkat Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan, Datuk Bandar dan Lembaga Penasihat,” -Kajian UIAM
  • Hasil kajian yang dibentangkan kepada Jemaah Menteri itu mendorong Kabinet mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh tadbir urus, akauntabiliti dan mekanisme semak imbang DBKL secara berperingkat sebelum kerajaan mempertimbangkan sebarang pindaan terhadap Akta 190.

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkongsi dapatan kajian Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berpandangan cadangan memperkenalkan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur masih belum sesuai dilaksanakan, sebaliknya reformasi tadbir urus Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu diberi keutamaan sebelum sebarang pindaan terhadap Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190) dipertimbangkan.

Menerusi hantaran di Facebook, hasil kajian yang dibentangkan kepada Jemaah Menteri itu mendorong Kabinet mengarahkan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh tadbir urus, akauntabiliti dan mekanisme semak imbang DBKL secara berperingkat sebelum kerajaan mempertimbangkan sebarang pindaan terhadap Akta 190.

Kajian yang dilaksanakan oleh UIAM turut mendapati pindaan terhadap Akta 190 merupakan perkara yang “agak sensitif” kerana ia melibatkan struktur tadbir urus di peringkat tertinggi negara, termasuk Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Sultan Selangor, selain Menteri yang bertanggungjawab bagi Wilayah Persekutuan, Datuk Bandar serta Lembaga Penasihat DBKL.

Menurut kajian itu, dari sudut sejarah dan Perlembagaan Persekutuan, struktur pentadbiran Kuala Lumpur merupakan evolusi daripada model kerajaan tempatan yang berdasarkan pilihan raya kepada model pentadbiran berpusat, sekali gus menjadikan sebarang perubahan terhadap struktur asas Akta 190 tidak boleh dianggap sebagai isu teknikal semata-mata.

Sehubungan itu, UIAM mengesyorkan supaya kerajaan melaksanakan terlebih dahulu reformasi dalaman secara pentadbiran, termasuk melalui arahan pentadbiran, garis panduan, protokol operasi serta mekanisme penyelarasan institusi sebelum mempertimbangkan sebarang pindaan kepada kerangka statutori Akta 190.

Selain itu, kajian berkenaan tidak mengesyorkan sistem Ahli Majlis diperkenalkan dalam struktur DBKL pada masa ini. Sebaliknya, mekanisme semak dan imbang dicadangkan diperkukuh melalui struktur sedia ada tanpa mewujudkan satu lagi lapisan dalam proses membuat keputusan yang berpotensi menimbulkan pertindihan fungsi atau ketidakjelasan akauntabiliti.

UIAM turut mendapati kebanyakan isu yang timbul dalam pentadbiran DBKL ketika ini bukan berpunca secara langsung daripada ketiadaan peruntukan undang-undang, sebaliknya disebabkan ketiadaan dokumen tatakelola yang memperincikan garis panduan pelaksanaan, tatacara pengurusan mesyuarat serta prosedur operasi yang jelas, konsisten dan mempunyai punca kuasa mencukupi.

Kajian itu turut mencadangkan supaya kerangka tatakelola Lembaga Penasihat DBKL diperkemas, termasuk memperincikan kriteria pelantikan ahli profesional dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), struktur pengurusan, tatacara mesyuarat, kaedah pembentangan kertas kerja, bentuk pelaporan serta hubungan kerja antara Lembaga Penasihat, Datuk Bandar, Menteri dan pengurusan DBKL.

Dalam pada itu, UIAM berpandangan peranan Ahli Parlimen Kuala Lumpur wajar diperkukuh sebagai institusi pengawasan demokratik, konsultatif dan representasi awam melalui mesyuarat berkala, jawatankuasa pemantauan, semakan belanjawan serta saluran penyampaian isu rakyat dan pembangunan kawasan, tanpa memberikan kuasa pentadbiran secara langsung atau kuasa pencalonan formal yang boleh mengaburkan sempadan antara fungsi politik dan fungsi pentadbiran bandar.

JWP bersama DBKL kini sedang merangka pelan transformasi bagi memperkukuh tadbir urus DBKL agar terus relevan dan berkesan pada masa hadapan selaras dengan keputusan Jemaah Menteri supaya pembaharuan pentadbiran dilaksanakan terlebih dahulu sebelum sebarang cadangan pindaan terhadap Akta 190 dipertimbangkan.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author