Terkini
‘Kita tiada dasar pendidikan Bumiputera’ – Prof Tan Sri Noor Azlan
- “Kita ada banyak dasar tetapi kita malu-malu, takut-takut nak cakap tentang Bumiputera. Minta maaf, bila kami buat Kongres Ekonomi Bumiputera hari itu kami cuba mencungkil data-data Bumiputera. Tidak ada satu pun tempat dalam Malaysia ini yang menghimpunkan data-data pendidikan Bumiputera,” – Tokoh akademik, Prof. Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Azlan Ghazali.
- Beliau turut mencabar mana-mana pihak untuk membuktikan sebaliknya sekiranya wujud sistem pengumpulan data tersebut, sambil menegaskan kepentingan data berpusat dalam merangka dasar yang tepat dan berimpak tinggi.
- “If anyone can challenge me please stand up now,” katanya lagi.
KUALA LUMPUR – Ketiadaan dasar pendidikan khusus untuk Bumiputera dikenal pasti sebagai satu kelemahan struktural serius dalam sistem pendidikan negara, menurut tokoh akademik, Prof. Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Azlan Ghazali.
Beliau menegaskan bahawa Malaysia pada hakikatnya tidak mempunyai satu kerangka dasar pendidikan Bumiputera yang jelas dan tersusun, sebaliknya hanya bergantung kepada dasar umum yang bersifat menyeluruh tanpa penekanan khusus kepada keperluan kumpulan tersebut.
“Kita sebenarnya tidak ada Dasar Pendidikan Bumiputera. Kita buat sana sikit, kita bagi biasiswa sikit, kita hantar masuk universiti, kita bina sekolah, tetapi semuanya tersorok dalam dasar-dasar besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kongres Pendidikan Bumiputera yang berlangsung di Dewan Merdeka, World Trade Centre Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Menurut Noor Azlan, pendekatan sedia ada yang bersifat terpisah-pisah menyebabkan usaha pembangunan pendidikan Bumiputera gagal membentuk satu trajektori yang jelas dan menyeluruh.
Tambah beliau, kekangan utama bukan sekadar pada dasar, tetapi turut melibatkan ketiadaan pangkalan data komprehensif yang boleh menyokong perancangan dasar yang lebih berkesan.
“Kita ada banyak dasar tetapi kita malu-malu, takut-takut nak cakap tentang Bumiputera. Minta maaf, bila kami buat Kongres Ekonomi Bumiputera hari itu kami cuba mencungkil data-data Bumiputera. Tidak ada satu pun tempat dalam Malaysia ini yang menghimpunkan data-data pendidikan Bumiputera,” katanya.
Beliau turut mencabar mana-mana pihak untuk membuktikan sebaliknya sekiranya wujud sistem pengumpulan data tersebut, sambil menegaskan kepentingan data berpusat dalam merangka dasar yang tepat dan berimpak tinggi.
“If anyone can challenge me please stand up now,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Noor Azlan menekankan keperluan mendesak untuk membangunkan satu dasar pendidikan Bumiputera yang tersusun, berasaskan data dan mempunyai hala tuju jangka panjang bagi memastikan pembangunan pendidikan yang lebih inklusif dan strategik di Malaysia.-The Merdeka Times