Antarabangsa
Tuntut kebebasan bersuara, lebih 100 penulis antarabangsa utus surat kepada Presiden India
Presiden India, Droupadi Murmu menerima sepucuk surat ditandatangani 102 penulis antarabangsa, dari dalam dan luar negara, yang menyuarakan kebimbangan keadaan hak asasi manusia semakin buruk, sekali gus menyeru pembebasan penulis dipenjarakan di negara itu yang menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-75 pada 15 Ogos lalu.

- Presiden India, Droupadi Murmu menerima sepucuk surat yang ditandatangani 102 penulis antarabangsa dari dalam dan luar negara yang menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan hak asasi manusia, gesa pembebasan penulis yang dipenjarakan.
- Surat bertarikh 14 Ogos 2022, yang turut ditandatangani Salman Rushdie, menggesa Murmu menyokong idea demokrasi yang menggalakan dan melindungi kebebasan bersuara dengan semangat kemerdekaan India.
- Penulis yang mendatandatangani surat itu menggariskan bahawa penulis dan ahli intelektual awam tertakluk kepada penangkapan, pendakwaan dan larangan perjalanan yang bertujuan menyekat kebebasan bersuara.
- Surat itu juga menyatakan bantahan keras terhadap penganiayaan terhadap penulis, kolumnis, editor, wartawan dan artis, termasuk Mohammed Zubair, Siddique Kappan, Teesta Setalvad, Avinash Das dan Fahad Shah.
INDIA – Presiden India, Droupadi Murmu menerima sepucuk surat ditandatangani 102 penulis antarabangsa, dari dalam dan luar negara, yang menyuarakan kebimbangan keadaan hak asasi manusia semakin buruk, sekali gus menyeru pembebasan penulis dipenjarakan di negara itu yang menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-75 pada 15 Ogos lalu.
Surat itu turut ditandatangani Salman Rushdie sebelum insiden serangan serius berlaku ke atasnya 12 Ogos lalu. Rushdie menyertai PEN America dan PEN International, dua persatuan penulis global, bagi menyampaikan ‘keperitannya’ kepada pejabat tertinggi negara asia selatan itu.
Surat bertarikh 14 Ogos 2022 itu menggesa Murmu menyokong idea demokrasi yang menggalakan dan melindungi kebebasan bersuara dengan semangat kemerdekaan India bagi memulihkan reputasi India yang inklusif, sekular, berbilang etnik dan demokrasi beragama di mana penulis bebas menzahirkan perbezaan pendapat atau pandangan kritikal tanpa berdepan ancaman tangkapan, penyiasatan, serangan fizikal atau tindak balas.
“Kebebasan bersuara adalah asas kepada demokrasi kukuh. Jika hak asasi ini tidak diperjuangkan, hak-hak lain dan janji-janji yang dibuat semasa kelahiran India sebagai sebuah republik merdeka akan dikompromi,” demikian penegasan penulis-penulis terbabit dalam surat mereka.
Dalam Indeks Kebebasan Menulis 2021, PEN Amerika menyifatkan India sebagai satu-satunya negara demokratik dalam senarai 10 negara teratas yang menjadikan penulis dan pemikir intelektual sebagai tahanan.
Surat itu menekankan berkenaan penahanan penulis, termasuk penyair Varavara Rao, yang baru-baru ini dibenarkan ikat jamin.
Kebimbangan serius mengenai ancaman terhadap kebebasan suara dan hak asasi lain di India berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Penulis yang mendatandatangani surat itu menggariskan bahawa penulis dan ahli intelektual awam tertakluk kepada penangkapan, pendakwaan dan larangan perjalanan yang bertujuan menyekat kebebasan bersuara mereka.
Pengarang terkenal seperti Amitav Ghosh, Perumal Murugan, Orhan Pamuk, Jerry Pinto, Salil Tripathi, Aatish Taseer dan Shobhaa De menandatangani surat itu yang turut menyatakan bahawa tindakan ‘trolling’ dan gangguan dalam talian semakin berleluasa, begitu juga dengan ucapan kebencian.
Ia juga mengkritik berkenaan penutupan Internet yang kerap, terutama di wilayah Kashmir, yang mengekang akses kepada berita dan maklumat.
Surat itu juga menyatakan bantahan keras penganiayaan diilakukan kepada penulis, kolumnis, editor, wartawan dan artis, termasuk Mohammed Zubair, Siddique Kappan, Teesta Setalvad, Avinash Das dan Fahad Shah.
