Connect with us

Terkini

Ranking dunia jatuh, Zii Jia perlu muhasabah diri

Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia harus segera ‘kembali ke pangkal jalan’ selepas ranking dunianya jatuh ke kedudukan kelapan, semalam berbanding tangga keempat sebelum ini.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Ranking dunia jatuh, Zii Jia perlu muhasabah diri
Foto: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia.
  • Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia harus segera ‘kembali ke pangkal jalan’ selepas ranking dunianya jatuh ke kedudukan kelapan, semalam berbanding tangga keempat sebelum ini.
  • Kemaskini terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu membuktikan langkah pemain berusia 25 tahun itu tidak di landasan yang sepatutnya terutama selepas dia memutuskan untuk keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tahun lalu.
  • Walaupun berjaya meraih beberapa gelaran selepas meninggalkan BAM namun Zii Jia dilihat masih bergelut dengan prestasi tidak menentu dan gagal beraksi pada tahap terbaiknya secara konsisten.
  • Situasi dilihat bertambah sukar buat bekas juara Seluruh England itu selepas dia memutuskan untuk bergerak secara solo tanpa bantuan jurulatih apabila berpisah dengan jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya pada November tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia harus segera ‘kembali ke pangkal jalan’ selepas ranking dunianya jatuh ke kedudukan kelapan, semalam berbanding tangga keempat sebelum ini.

Kemaskini terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu membuktikan langkah pemain berusia 25 tahun itu tidak di landasan yang sepatutnya terutama selepas dia memutuskan untuk keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tahun lalu.

Walaupun berjaya meraih beberapa gelaran selepas meninggalkan BAM namun Zii Jia dilihat masih bergelut dengan prestasi tidak menentu dan gagal beraksi pada tahap terbaiknya secara konsisten.

Situasi dilihat bertambah sukar buat bekas juara Seluruh England itu selepas dia memutuskan untuk bergerak secara solo tanpa bantuan jurulatih apabila berpisah dengan jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya pada November tahun lalu.

Terbaharu, dia ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama di Kejohanan Badminton Asia (BAC), minggu lalu selepas tewas di tangan pemain Hong Kong, Ng Ka Long sekali gus gagal dalam misinya untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya, tahun lalu.

Ketika pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 sudah pun bermula sejak kelmarin, kejatuhan ranking Zii Jia memberikan petanda tidak baik buat pemain berkenaan dan jika situasi ini berterusan ia akan meletakkan dia dalam situasi sukar.

Malah, dia juga boleh ‘ditendang’ keluar daripada Program Road to Gold (RTG) yang antara kriteria utamanya adalah perlu berada dalam kedudukan ranking 10 terbaik dunia.

Justeru, Zii Jia dan pasukannya perlu muhasabah diri sebelum terlambat bagi merangka satu strategi bagi melonjakkan semula prestasinya di pentas antarabangsa termasuklah kembali mendapatkan bantuan jurulatih berpengalaman untuk membimbingnya.

Sementara itu, beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik turut perlu bangkit daripada lena yang panjang apabila menyaksikan kedudukan ranking dunia mereka turun satu anak tangga untuk ke kedudukan ketiga dunia ketika ini.

Seperti Zii Jia, Aaron-Wooi Yik juga dihantui masalah sama apabila sukar untuk kekal konsisten terutama selepas muncul juara dunia tahun lalu.

Kredibiliti mereka mencetuskan persoalan selepas beraksi hambar dalam tiga kejohanan di Eropah, Mac lalu – Terbuka Jerman, Seluruh England dan Terbuka Switzerland – yang menyaksikan mereka tersingkir di pusingan awal.

Malah, pada saingan BAC, minggu lalu mereka tersingkir di pusingan kedua sekali gus gagal mengulangi pencapaian mara ke final pada edisi tahun lalu.

Prestasi ala ‘yo-yo’ ditampilkan pasangan berkenaan memerlukan tindakan drastik daripada barisan kejurulatihan yang perlu mencari ramuan terbaik bagi mengembalikan semula sentuhan emas kedua-dua pemain berkenaan yang mungkin sudah hilang ditelan kegemilangan diraih mereka.

Saingan Piala Sudirman 2023 di Suzhou, China dari 14 hingga 21 Mei in menjadi peluang buat Zii Jia dan Aaron-Wooi Yik untuk membuktikan kemampuan sebenar mereka bagi membantu skuad negara sekurang-kurangnya mencapai sasaran mara ke separuh akhir.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *