Terkini
Isu stoking kalimah Allah: Agong murka, titah tindakan keras diambil
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim murka dan menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan sarung kaki atau stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka.
- Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim murka dan menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan sarung kaki atau stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka.
- Seri Paduka Baginda juga bertitah adalah tidak masuk akal sebuah syarikat di mana kakitangannya terdiri daripada warganegara Malaysia tidak peka dengan perkara sedemikian.
- “Sama ada ia disengajakan ataupun tidak, sama ada ia diimport atau dikeluarkan di kilang tempatan, saya mahu penguatkuasa siasat dan ambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang yang ada supaya pisang tidak berbuah dua kali,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO) yang dikongsikan menerusi Facebooknya.
KUALA LUMPUR — Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim murka dan menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan sarung kaki atau stoking yang tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka.
Seri Paduka Baginda mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu itu berdasarkan siasatan pihak berkuasa.
Agong juga bertitah adalah tidak masuk akal sebuah syarikat di mana kakitangannya terdiri daripada warganegara Malaysia tidak peka dengan perkara sedemikian.
“Kalimah Allah itu dipandang sangat tinggi pada sanubari umat Islam, tambahan pula kita berada di bulan Ramadan. Tidak patutlah timbul perkara yang membangkitkan kemarahan.
“Saya baru sahaja menegur dan mengingatkan akan kepentingan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan menghormati antara satu sama lain dalam titah sulung saya di Parlimen, timbul pula perkara ini.
“Sama ada ia disengajakan ataupun tidak, sama ada ia diimport atau dikeluarkan di kilang tempatan, saya mahu penguatkuasa siasat dan ambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang yang ada supaya pisang tidak berbuah dua kali,” titah Seri Paduka Baginda kepada Royal Press Office (RPO) yang dikongsikan menerusi Facebooknya.
Baginda bertitah sudah sekian lama kita hidup dalam sebuah negara majmuk, maka sebarang kesilapan berkenaan isu agama dan kaum sebegini tidak boleh diterima dan tidak dibenarkan untuk berlaku lagi.
Terdahulu, pengendali kedai rangkaian serbaneka, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) pada 14 Mac lalu, dilaporkan memohon maaf susulan video tular penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di cawangan Bandar Sunway, Petaling Jaya.
KK Super Mart berkata produk itu merupakan ‘consignment’ daripada vendor dan pihaknya sudah berhubung dengan vendor tersebut untuk mendapatkan penjelasan lanjut.
Insiden kontroversi itu menimbulkan kemarahan masyarakat Islam hinggakan terdapat gesaan supaya kedai serbaneka terbabit diboikot dan ia semakin hangat apabila ada individu membuat komen berbaur penghinaan terhadap kalimah Allah, termasuk seorang lelaki menyindir reaksi Muslim yang dilihat terlalu ‘sensitif’ dengan isu berkenaan. – The Merdeka Times