Connect with us

Terkini

Keluarga tebusan Israel berang, tidak puas hati selepas jumpa Netanyahu

Majoriti keluarga tahanan Israel yang dibebaskan menyatakan kemarahan dan tidak puas hati selepas bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semalam.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Keluarga tebusan Israel berang, tidak puas hati selepas jumpa Netanyahu
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Majoriti keluarga tahanan Israel yang dibebaskan menyatakan kemarahan dan tidak puas hati selepas bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semalam.
  • Beberapa ahli keluarga yang menghadiri pertemuan itu turut mengkritik Israel atas dakwaan gagal melakukan usaha secukupnya bagi membebaskan tahanan.
  • Ibu kepada salah seorang tahanan, Dani Miran, berkata pihaknya berasa diperbodohkan melalui pertemuan itu dan terus beredar tanpa menunggu sesi pertemuan itu selesai.
  • Pertemuan itu diadakan ketika pertempuran antara Hamas dan rejim Zionis bersambung semula di Gaza selepas dihentikan sementara selama tujuh hari.
  • Ketika tempoh pemberhentian sementara perang itu, kira-kira 100 tahanan dibebaskan manakala nasib 138 lagi belum diketahui.

BAITULMAQDIS – Majoriti keluarga tahanan Israel yang dibebaskan menyatakan kemarahan dan tidak puas hati selepas bertemu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semalam.

Beberapa ahli keluarga yang menghadiri pertemuan itu turut mengkritik Israel atas dakwaan gagal melakukan usaha secukupnya bagi membebaskan tahanan.

Ibu kepada salah seorang tahanan, Dani Miran, berkata pihaknya berasa diperbodohkan melalui pertemuan itu dan terus beredar tanpa menunggu sesi pertemuan itu selesai.

Beliau berkata, semua tahu bahawa pemimpin Hamas di Gaza, Yahya Sinwar, adalah individu yang membebaskan tahanan dan bukannya atas usaha kerajaan Israel.

Miran berkata, anaknya, Omri, ditahan oleh pejuang Hamas pada 7 Oktober lalu bersama kira-kira 240 warga Israel dan rakyat asing lain.

“Saya tidak mahu menjelaskan butiran perbincangan pada mesyuarat itu tetapi secara keseluruhan, ia nampak seperti cuba memperbodohkan kami, menghina, dan tidak tentu arah.

“Kerajaan bagaikan membuat ‘lawak’ berhubung isu serius ini, mereka dakwa sudah lakukan itu dan ini,

“Saya marah kerana kerajaan Israel mengatakan seolah-olah mereka yang menetapkan semua tindakan yang berlaku sedangkan mereka tidak berbuat apa-apapun dalam hal ini,” katanya kepada Saluran 13 Israel.

Pertemuan itu diadakan ketika pertempuran antara Hamas dan rejim Zionis bersambung semula di Gaza selepas dihentikan sementara selama tujuh hari.

Ketika tempoh pemberhentian sementara perang itu, kira-kira 100 tahanan dibebaskan manakala nasib 138 lagi belum diketahui.

Pertemuan antara keluarga tebusan dan kerajaan semalam sepatutnya memberi peluang kepada bekas tahanan berkongsi pengalaman masing-masing.

Bagaimanapun ia bertukar tegang apabila Netanyahu gagal meredakan kebimbangan keluarga terhadap nasib saudara-mara mereka yang masih ditahan dan bukannya risau mengenai dakwaan layanan teruk sepanjang ditahan oleh Hamas.

Sementara itu, Jennifer Master, yang pasangannya, Andrey, masih ditahan, berkata pertemuan itu kecoh dengan suara orang menjerit kerana tidak berpuas hati.

“Kami semua cuba memastikan orang tersayang pulang ke rumah. Tidak kira sama ada wanita, kanak-kanak atau lelaki,” katanya.

Sebelum ini, menurut Israel, terdapat sejumlah kecil kanak-kanak dan wanita masih berada dalam tahanan Hamas, namun ahli keluarga tahanan membabitkan lelaki turut meminta golongan itu tidak dilupakan.

Sementara itu, Netanyahu, pada sidang medianya mengakui mendengar pelbagai cerita daripada tahanan sepanjang berada di culik termasuk kelaparan dan penderaan fizikal serta mental.

“Saya turut mendengar berhubung serangan lain termasuk seksual,” katanya. – REUTERS

Sumber: Berita Harian

Author