Terkini
Menteri, KP Kesihatan diminta jelaskan kekeliruan kaitan rokok dan kanser
Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan diminta untuk memperbetulkan kekeliruan rakyat berhubung kaitan antara rokok dan kanser yang timbul susulan ada menteri kabinet yang menuntut kaitan itu dibuktikan.
- Medical Mythbusters Malaysia berkata masyarakat semakin keliru dengan fakta itu kerana tiada tindakan dari kedua-dua individu terbabit untuk memperbetulkan fakta Sains bahawa rokok sememangnya mempunyai kaitan dengan kanser terutama kanser paru-paru dan kanser berkaitan mulut, tekak, sinus dan esofagus.
- “Ada menteri kata dan suruh ex Menteri Kesihatan buktikan rokok ada kaitan dengan kanser (emoji tepuk dahi) seterusnya menyelar ex menteri sebagai worst Menteri Kesihatan apabila dikatakan beliau tidak menjawab soalan kaitan kanser itu tadi.
- “Usah politik-kan isu atau perkara berkaitan kesihatan. Tidak suka dengan mana-mana ahli politik mahupun bekas ahli politik sekali pun, bersuaralah untuk memberi informasi yang betul kepada masyarakat,” kata gagasan dianggotai ahli perubatan bertauliah itu menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
KUALA LUMPUR — Menteri Kesihatan dan Ketua Pengarah Kesihatan diminta untuk memperbetulkan kekeliruan rakyat berhubung kaitan antara rokok dan kanser yang timbul susulan ada menteri kabinet yang menuntut kaitan itu dibuktikan.
Medical Mythbusters Malaysia berkata masyarakat semakin keliru dengan fakta itu kerana tiada tindakan dari kedua-dua individu terbabit untuk memperbetulkan fakta Sains bahawa rokok sememangnya mempunyai kaitan dengan kanser, terutama kanser paru-paru dan kanser berkaitan mulut, tekak, sinus dan esofagus.
“Ada menteri kata dan suruh ex Menteri Kesihatan buktikan rokok ada kaitan dengan kanser (emoji tepuk dahi) seterusnya menyelar ex menteri sebagai worst Menteri Kesihatan apabila dikatakan beliau tidak menjawab soalan kaitan kanser itu tadi.
“Rakyat semakin keliru dengan kenyataan seperti ini dan tiada counter response daripada pihak bertanggungjawab iaitu Kementerian Kesihatan itu sendiri.
“Usah politik-kan isu atau perkara berkaitan kesihatan. Tidak suka dengan mana-mana ahli politik mahupun bekas ahli politik sekali pun, bersuaralah untuk memberi informasi yang betul kepada masyarakat,” kata gagasan dianggotai ahli perubatan bertauliah itu menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Pada 16 November lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dilaporkan menyifatkan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan yang paling gagal.
King Sing berkata Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ, gagal membuktikan secara konsisten bahawa kanser itu berpunca daripada tabiat merokok.
Menjawab kritikan itu, Khairy berkata beliau tidak kisah disifatkan gagal sebagai menteri tetapi beliau tidak dapat menerima apabila ada menteri yang meragui kaitan antara rokok dan kanser berada dalam kabinet.
Khairy turut berkongsikan satu laporan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) yang menyatakan tabiat merokok boleh menyebabkan kanser hampir di mana-mana bahagian anggota badan.
Sebelum ini, Khairy mendakwa dua menteri kabinet dan seseorang yang dirujuknya sebagai “the gaffer” menghalang RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau RUU Generasi Penamat (GEG) daripada dilaksanakan.
Media tempatan melaporkan Khairy menerusi hantaran di Instagram mendakwa dua menteri itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Datuk Azalina Othman Said dan King Sing.
Mengulas lanjut, Medical Mythbusters Malaysia meluahkan kebimbangan dengan perkembangan terkini negara berhubung RUU GEG yang didakwa akan dikeluarkan daripada RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.
Katanya, RUU itu sudah dua kali dimasukkan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) dan pelaksanaannya disokong oleh jawatankuasa itu bagaimanapun ia tidak diendahkan.
“Sampai bila kesihatan rakyat diperjudikan dan kemenangan mutlak diberikan kepada pihak industri rokok yang juga pemain utama dalam industri vape?
“Wahai pemimpin, ingatlah…. Kamu akan dipersoalkan suatu hari nanti dan kami anggota kesihatan akan menjadi saksi kepada tindakan tidak meletakkan sesuatu yang benar dan hak ditempatnya dalam isu rokok dan vape.
“Rakyat diketepikan. Industri rokok dan vape diutamakan,” kata Medical Mythbusters Malaysia.
Ahad lalu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memberi jaminan bacaan kali kedua RUU berkenaan akan dibentangkan sebelum berakhirnya sidang Parlimen pada 30 November ini. — The Merdeka Times
Sumber : Facebook Medical Mythbusters Malaysia