Terkini
Peguam rujuk Guan Eng, Muhyiddin sama ada mahu selesai saman luar mahkamah
Peguam mewakili Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan mendapatkan arahan anak guam masing-masing, sama ada mereka mahu merujuk pertikaian di antara mereka kepada perantara bagi penyelesaian di luar mahkamah.
- Saman berkenaan difailkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng pada 27 Mac lalu, dengan mendakwa Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah yang mengaitkannya dengan pembatalan pengecualian cukai ke atas Yayasan Albukhary.
- Peguam, Chetan Jethwani, yang mewakili Muhyiddin ketika dihubungi pemberita, berkata dalam prosiding pengurusan kes saman itu hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain, bertanyakan semua pihak sama ada anak guam masing-masing menimbangkan (untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah).
- Katanya, beliau bersama peguam Guan Eng, Guok Ngek Seong kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka akan mendapatkan arahan lanjut daripada anak guam masing-masing.
KUALA LUMPUR: Peguam mewakili Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan mendapatkan arahan anak guam masing-masing, sama ada mereka mahu merujuk pertikaian di antara mereka kepada perantara bagi penyelesaian di luar mahkamah.
Saman berkenaan difailkan Guan Eng pada 27 Mac lalu, dengan mendakwa Muhyiddin mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah yang mengaitkannya dengan pembatalan pengecualian cukai ke atas Yayasan Albukhary.
Peguam, Chetan Jethwani, yang mewakili Muhyiddin ketika dihubungi pemberita, berkata dalam prosiding pengurusan kes saman itu hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain, bertanyakan semua pihak sama ada anak guam masing-masing menimbangkan (untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah).
Katanya, beliau bersama peguam Guan Eng, Guok Ngek Seong kemudian memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka akan mendapatkan arahan lanjut daripada anak guam masing-masing.
Dalam pernyataan tuntutannya, Guan Eng berkata, Muhyiddin ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mac lalu dan dibebaskan dengan jaminan agensi penguatkuasaan itu pada sebelah petang.
Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, mendakwa Muhyiddin mengeluarkan kenyataan fitnah pada hari sama yang diikuti pada 11 dan 12 Mac lalu di dalam Facebook miliknya dan kemudiannya diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.
Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, kenyataan fitnah berkenaan sengaja dibuat kerana Muhyiddin mengetahui bahawa semua perhatian media dan akhbar tertumpu kepadanya, oleh itu ia bertujuan mencari publisiti murahan dan cuba mengalih perhatian awam.
Guan Eng berkata, kenyataan fitnah itu antaranya bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan apabila ia tidak patut dikenakan cukai.
Menurut plaintif, ia juga bermaksud beliau bersifat perkauman, anti-Melayu dan anti-Islam dengan sengaja menyasarkan Yayasan Al-Bukhary dan dirinya serta sengaja mensabotaj yayasan berkenaan.
Katanya, ia juga bermaksud beliau seorang yang pendendam dan bertindak dengan niat jahat dengan menyalahgunakan kuasa ketika memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan pada 2018 hingga 2020, serta seorang menteri yang tidak cekap.
Sehubungan itu, Guan Eng menuntut Muhyiddin memohon maaf dan menarik kesemua kenyataan terbabit dan menyiarkan permohonan maaf dalam Facebook dan Twitter miliknya serta dalam beberapa akhbar dan portal berita di negara ini dalam masa tujuh hari dari tarikh penghakiman.
Sumber: Berita Harian