Terkini
India setuju eksport semula beras putih ke Malaysia
India bersetuju untuk mengeksport semula beras putih ke Malaysia, kata Datuk Seri Mohamad Sabu.
- India bersetuju untuk mengeksport semula beras putih ke Malaysia, kata Datuk Seri Mohamad Sabu.
- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, perkara itu bagaimanapun masih di peringkat awal.
- Katanya, proses rundingan harga perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum Malaysia mengambil tindakan lanjut.
- “Kita akan lihat dulu berapa harganya sebelum membuat apa-apa perubahan sebab sekarang baru peringkat persetujuan dan akan ada peringkat rundingan harga dan sebagainya, sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” katanya, semalam.
KUALA LUMPUR: India bersetuju untuk mengeksport semula beras putih ke Malaysia, kata Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, perkara itu bagaimanapun masih di peringkat awal.
Katanya, proses rundingan harga perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum Malaysia mengambil tindakan lanjut.
“Kita akan lihat dulu berapa harganya sebelum membuat apa-apa perubahan sebab sekarang baru peringkat persetujuan dan akan ada peringkat rundingan harga dan sebagainya, sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” katanya, semalam.
Sementara itu, Mohamad berkata, perincian apungan harga ayam dan telur akan diumumkan 30 Oktober ini.
Bagaimanapun, katanya, kaedah pengapungan harga ayam dan telur itu kini sedang dibincangkan bersama pihak industri atau pengeluar telur dan ayam.
Ditanya sama ada apungan harga ayam dan telur bagi tempoh jangka panjang atau pendek, Mohamad, berkata perkara itu bergantung kepada keadaan.
“Kalau boleh biarlah pasaran yang menentukan harga. Tapi kita tak boleh jamin, sampai bila sebab kita tidak tahu suasana dunia sekarang ekoran perubahan cuaca yang sangat ketara,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan 2024, Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan kerajaan menimbang untuk mengapungkan harga telur dan ayam selepas mendapati trend menunjukkan bekalan kedua-dua sumber makanan itu stabil.
Sementara itu, Mohamad berkata, Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2023 akan diadakan pada 10 hingga 12 November ini di Dataran Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh.
Katanya, fokus sambutan kali ini akan mengupas aplikasi teknologi, inovasi dan modenisasi sektor pertanian yang diterjemah melalui Dasar Agromakanan Negara (DAN 2.0).
“Antara teknologi yang akan dipamerkan adalah teknologi dron, prototaip teknologi kejuruteraan pertanian untuk sistem pertanian pintar dan model sistem pengairan serta saliran pertanian,” katanya.
Sumber: Berita Harian