Connect with us

Terkini

Tamatkan tajaan pengajian perubatan masih dibincang – KKM

Kementerian Kesihatan (KKM) masih dalam perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung keputusan menghentikan penajaan pengajian dalam bidang perubatan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Tamatkan tajaan pengajian perubatan masih dibincang – KKM
Foto: Dr Zaliha Mustafa bersama petugas di Majlis Kajian Global Adults Tobacco Survey (GATS) di Port Dickson.
  • Kementerian Kesihatan (KKM) masih dalam perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung keputusan menghentikan penajaan pengajian dalam bidang perubatan.
  • Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata KKM juga sedia mengkaji semula kajian 2019 mendapati jumlah pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai tahun 2026 hingga 2030.
  • “Kita tahu ada perubahan, terutama selepas pasca COVID-19 ini. Jadi mungkin ada perkara baharu yang perlu dilihat semula pada kajian berkenaan, mungkin pada dasar baharu.
  • “Malah kita juga bimbang (pelajar tidak berminat nak sambung pelajaran) bagaimana perkara itu boleh berlaku dan akan lihat kajian-kajian yang sudah dilakukan berdasarkan data, supaya keputusan terbaik itu dapat dibuat,” katanya.

PORT DICKSON: Kementerian Kesihatan (KKM) masih dalam perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung keputusan menghentikan penajaan pengajian dalam bidang perubatan.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata KKM juga sedia mengkaji semula kajian 2019 yang mendapati jumlah pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai tahun 2026 hingga 2030.

“Kita tahu ada perubahan, terutama selepas pasca COVID-19 ini. Jadi mungkin ada perkara baharu yang perlu dilihat semula pada kajian berkenaan, mungkin pada dasar baharu.

“Malah kita juga bimbang (pelajar tidak berminat nak sambung pelajaran) bagaimana perkara itu boleh berlaku dan akan lihat kajian-kajian yang sudah dilakukan berdasarkan data, supaya keputusan terbaik itu dapat dibuat,” katanya selepas merasmikan Majlis Kajian Global Adults Tobacco Survey (GATS) di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dan Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Pendidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Fariza Ngah.

Katanya, KKM juga bimbang keputusan itu bakal memberi kesan kepada pelajar untuk menyambung pengajian di peringkat universiti.

“Perkhidmatan kesihatan adalah penting justeru kerjaya seperti doktor dan jawatan lain dalam skim perubatan amat diperlukan di negara kita,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan menghentikan penajaan JPA dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi berikutan kajian KKM yang mendapati bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai tahun 2026 hingga 2030.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata Laporan Petunjuk Kesihatan 2022 melaporkan pencapaian nisbah jumlah keperluan tenaga kerja perubatan seluruh negara kepada jumlah populasi penduduk sehingga Disember 2021 adalah 1:420 dan dijangkakan nisbah 1:400 akan dapat dicapai menjelang tahun 2025.

Pada majlis hari ini Dr Zaliha berkata GATS membuat tinjauan isi rumah berkaitan penggunaan tembakau yang dijalankan di seluruh negara.

“Tinjauan itu dijalankan oleh KKM dengan kerjasama World Health Organization (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.

“Institut Kesihatan Umum (IKU) akan menjalankan GATS buat kali kedua di mana GATS pertama yang dijalankan pada tahun 2011 dan pengumpulan data akan dijalankan dari 12 Jun hingga 22 Julai ini,” katanya.

Dr Zaliha berkata, tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 melaporkan 4.8 juta rakyat Malaysia berusia 15 tahun ke atas adalah perokok aktif.

“GATS bertujuan mendapatkan maklumat terkini tentang penggunaan tembakau dan memantau keberkesanan intervensi kawalan tembakau.

“Tinjauan ini juga untuk mendapatkan data berkenaan peratus penggunaan tembakau, rokok elektronik dan produk tembakau yang dipanaskan, dan indikator-indikator utama kawalan tembakau lain,” ujar beliau.

Tambahnya, data terkini dan trend penggunaan tembakau daripada GATS akan membantu pihak KKM memiperkukuhkan strategi kawalan tembakau di negara ini.

Tinjauan ini akan membabitkan kira-kira 5,000 isi rumah yang dipilih secara rawak di seluruh negara, menyasarkan individu berumur 15 tahun dan ke atas.

Sumber: Berita Harian

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *