Ekonomi
Pendekatan baharu pastikan agihan subsidi bersasar lebih fokus – Rafizi
Pendekatan berasaskan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah bakal dilaksanakan Januari tahun depan sebagai langkah penstrukturan ekonomi untuk pengagihan subsidi bersasar yang lebih fokus, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
- Pendekatan berasaskan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah bakal dilaksanakan Januari tahun depan sebagai langkah penstrukturan ekonomi untuk pengagihan subsidi bersasar yang lebih fokus, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
- Beliau berkata pendekatan ketika ini yang lebih tertumpu kepada pendapatan B40, M40 dan T20 tidak menggambarkan sepenuhnya dari segi perbandingan kemampuan satu isi rumah ke isi rumah lain, meliputi bilangan tanggungan anak dan lokasi individu.
- Rafizi berkata pendekatan baharu itu akan diintegrasikan dengan inisiatif Pangkalan Data Utama (Padu) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini sebagai usaha penggabungan maklumat sosio ekonomi bagi setiap isi rumah dalam negara bagi memperkemaskan pelaksanaan subsidi bersasar.
- “Apabila kami dapat capai tahap itu (pendapatan boleh belanja bersih isi rumah), kami akan dapat gambaran lebih jelas keboleh bandingan pendapatan boleh belanja bersih untuk isi rumah dan itu akan membolehkan kami memperhalusi sebarang program kerajaan dan subsidi bersasar sewajarnya,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Putrajaya: Pendekatan berasaskan pendapatan boleh belanja bersih isi rumah bakal dilaksanakan Januari tahun depan sebagai langkah penstrukturan ekonomi untuk pengagihan subsidi bersasar yang lebih fokus, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Beliau berkata pendekatan ketika ini yang lebih tertumpu kepada pendapatan B40, M40 dan T20 tidak menggambarkan sepenuhnya dari segi perbandingan kemampuan satu isi rumah ke isi rumah lain, meliputi bilangan tanggungan anak dan lokasi individu.
Rafizi berkata pendekatan baharu itu akan diintegrasikan dengan inisiatif Pangkalan Data Utama (Padu) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini sebagai usaha penggabungan maklumat sosio ekonomi bagi setiap isi rumah dalam negara bagi memperkemaskan pelaksanaan subsidi bersasar.
“Apabila kami dapat capai tahap itu (pendapatan boleh belanja bersih isi rumah), kami akan dapat gambaran lebih jelas keboleh bandingan pendapatan boleh belanja bersih untuk isi rumah dan itu akan membolehkan kami memperhalusi sebarang program kerajaan dan subsidi bersasar sewajarnya,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Ditanya sama ada pengagihan subsidi bersasar turut meliputi subsidi petrol RON95, beliau berkata kerajaan akan menumpukan kepada komponen subsidi elektrik dan diesel yang diumumkan serta memantau keberkesanannya dulu sebelum mengumumkan sebarang keputusan bagi subsidi RON95.
“Bila kita mula beralih kepada (subsidi) RON95, sudah tentu pertimbangannya lebih besar, membabitkan lebih ramai dan keluarga daripada setiap isi rumah. Sebab itu kita akan memastikan Padu tersedia menjelang 2024 serta sebarang keputusan mengenai bagaimana untuk menyasarkan RON95 itu boleh dibuat dengan mudah,” katanya.
Rafizi berkata Kementerian Ekonomi akan menyelaraskan dengan kementerian dan agensi lain agar pelaksanaan projek kecil mesra rakyat di seluruh negara dipercepatkan sebagai usaha membantu pertumbuhan ekonomi negara.
“Satu langkah yang kita akan ambil untuk pastikan bahawa perbelanjaan kerajaan akan berterusan dan untuk beri tumpuan kepada projek kecil yang mana proses perolehan dan kelulusan itu boleh dipermudahkan dan dipercepatkan,” katanya.
Sumber: Harian Metro