Terkini
Ajak pelajar sekolah tonton ‘Untold Story’, pembangkang tuntut menteri jawab
Ahli Parlimen pembangkang menuntut penjelasan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkait surat jemputan kepada pelajar Tingkatan Enam sebuah sekolah untuk menonton filem biopik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anwar: The Untold Story yang tular.

- Ahli Parlimen pembangkang menuntut penjelasan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkait surat jemputan kepada pelajar Tingkatan Enam sebuah sekolah untuk menonton filem biopik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anwar: The Untold Story yang tular.
- Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata beliau mengemukakan soalan itu dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) namun tidak dijawab.
- Dalam pada itu, Saifuddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang turut mempertikaikan tujuan Fadhlina memilih pelajar Tingkatan Enam yang dilihat bermotifkan politik.
- Sebelum ini tular surat rasmi ditujukan kepada sebuah sekolah di Putrajaya yang menjemput pelajar Tingkatan Enamnya ke tayangan tersebut.
Ahli Parlimen pembangkang menuntut penjelasan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkait surat jemputan kepada pelajar Tingkatan Enam sebuah sekolah untuk menonton filem biopik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anwar: The Untold Story yang tular.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata beliau mengemukakan soalan itu dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) namun tidak dijawab.
“Semalam saya hantar soalan MQT kepada menteri pendidikan berkaitan beliau mengajak murid-murid sekolah untuk menonton wayang Anwar: The Untold Story. Ada surat yang kita dapat. Tajuk surat ialah program Tayangan Eksklusif Anwar: The Untold Story bersama YB Menteri Fadhlina Sidek.
“Saya nak tanya menteri, surat ini betul atau tidak? Kandungan surat itu betul atau tidak? Saya beri peluang YB Menteri jawab dalam Parlimen tapi dia tak jawab, sekarang saya tanyalah lagi.
“Memang ada gambar yang kita percayai menteri bersama murid-murid sedang menonton filem itu,” katanya pada sidang media di Parlimen, semalam.
Sebelum ini tular surat rasmi ditujukan kepada sebuah sekolah di Putrajaya yang menjemput pelajar Tingkatan Enamnya ke tayangan tersebut.

Foto: Surat rasmi ditujukan kepada sebuah sekolah di Putrajaya.
Dalam pada itu, Saifuddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang turut mempertikaikan tujuan Fadhlina memilih pelajar Tingkatan Enam yang dilihat bermotifkan politik.
“Tidak menjadi kesalahan mana-mana menteri atau timbalan menteri untuk menjemput sesiapa saja untuk menonton filem apa saja namun, tentulah kita harus membuat pemilihan filem yang berkaitan. Sebelum ini pun ada menteri ajak menonton filem seperti Mat Kilau.
“Maknanya filem yang ada sebab dan faktor kenapa ia harus ditonton. Tentulah tidak termasuk filem propaganda, seperti Anwar: The Untold Story. Kenapa mesti pelajar Tingkatan Enam? Adakah kerana jalan cerita itu bersesuaian dengan subjek tertentu Tingkatan Enam? Ataupun memang pelajar Tingkatan Enam ini memang dah boleh mengundi? Ini adalah kempen politik,” katanya.
Beliau turut bertanya sama ada Fadhlina sudah termasuk golongan yang terdesak untuk membantu ‘menjual’ filem yang tidak laku itu.
“Lazimnya undangan yang kita buat itu secara terbuka, tidak ada surat rasmi macam ini, tidak ada arahan dan sebagainya. Siapa nak datang, dia datang sajalah. Tentulah kita menggunakan duit sendiri, tidak menggunakan dana kerajaan.
Adakah menteri terdesak seperti yang lain-lain kerana cerita ini tak laku di pawagam? Sebab ada juga kita dapat laporan, walau ada tiket diberi tapi pawagam itu hampir kosong. Adakah cerita itu sudah bertukar judul menjadi Anwar: The Unsold Story?,” katanya.
Sementara itu, Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut membangkitkan isu sama semalam yang melahirkan kekesalan terhadap tindakan tersebut.
“Apa sudah jadi? Kenapa ditunggang sekolah dan Bomba untuk kerja sebegini? Bolehkah dibawa mesej propaganda politik kepada murid-murid dan penjawat awam dengan cara sebegini?
Bukan semua benda dalam filem itu betul pun. Macam terdesak sangat! Dulu Datuk Seri Najib Razak tak ada pun buat macam ni untuk filem-filem biopik Allahyarham Tun Razak, ‘Tanda Putera’,” katanya melalui satu hantaran di Facebook.
Sumber: Agenda Daily
