Terkini
Subsidi bersasar mungkin dilaksana kerajaan beberapa bulan lagi – Penganalisis
Subsidi bersasar berkemungkinan akan diperkenalkan dalam beberapa bulan lagi, mengambil kira kebarangkalian harga minyak dunia akan berterusan meningkat ke paras AS$100 setong.
- Subsidi bersasar berkemungkinan akan diperkenalkan dalam beberapa bulan lagi, mengambil kira kebarangkalian harga minyak dunia akan berterusan meningkat ke paras AS$100 setong.
- Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata purata harga minyak semasa tahun lalu ialah AS$100.93 setong dan kerajaan memperuntukkan subsidi untuk petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) sebanyak RM50.8 billion pada 2022.
- Katanya, jika harga berterusan naik sehingga AS$100 setong sehingga akhir tahun ini, tidak mustahil kerajaan akan terpaksa menanggung subsidi sebanyak itu jika subsidi bersasar tidak diperkenalkan.
- “Kerajaan akan meneruskan lagi subsidi bahan api untuk RON95 dan diesel, tetapi ada kemungkinan dalam masa beberapa bulan lagi subsidi berkenaan akan berbentuk subsidi bersasar dan bukannya subsidi pukal,” katanya kepada BH.
KUALA LUMPUR: Subsidi bersasar berkemungkinan akan diperkenalkan dalam beberapa bulan lagi, mengambil kira kebarangkalian harga minyak dunia akan berterusan meningkat ke paras AS$100 setong.
Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata purata harga minyak semasa tahun lalu ialah AS$100.93 setong dan kerajaan memperuntukkan subsidi untuk petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) sebanyak RM50.8 billion pada 2022.
Katanya, jika harga berterusan naik sehingga AS$100 setong sehingga akhir tahun ini, tidak mustahil kerajaan akan terpaksa menanggung subsidi sebanyak itu jika subsidi bersasar tidak diperkenalkan.
“Kerajaan akan meneruskan lagi subsidi bahan api untuk RON95 dan diesel, tetapi ada kemungkinan dalam masa beberapa bulan lagi subsidi berkenaan akan berbentuk subsidi bersasar dan bukannya subsidi pukal,” katanya kepada BH.
Harga minyak mentah memulakan trend meningkat sejak 29 Mac lalu dan kini mencecah lebih AS$80 setong.
Ahmed Razman berkata, harga minyak mentah boleh mencecah paras AS$100 setong pada separuh kedua tahun ini, jika Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) meneruskan langkah mengurangkan pengeluaran seperti yang dilaksanakan ketika ini.
Katanya, langkah OPEC+ yang mengurangkan bekalan minyak secara sukarela sehingga 3.66 juta tong sehari (bpd) atau bersamaan 3.7 peratus permintaan dunia telah melonjakkan harga komoditi itu.
“Tidak mustahil harga minyak boleh naik sampai AS$100 setong jika OPEC+ meneruskan tindakan mereka untuk mengurangkan pengeluaran minyak seperti yang berlaku sekarang,” katanya.
Sementara itu, Penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, subsidi bersasar sudah lama disebut bagi menggantikan subsidi pukal bahan api, namun sehingga kini belum ada mekanisme yang pasti daripada kerajaan.
“Apabila harga minyak naik maka isu ini diperdebatkan semula kerana ia memberi kesan kepada kewangan kerajaan,” katanya.
Aimi Zulhazmi berkata, harga minyak pada paras berisiko naik kepada AS$100 sekiranya berlaku lagi krisis geopolitik seperti krisis Russia dan Ukraine.
Namun, katanya, kenaikan harga ketika ini kepada lebih AS$10 setong kepada AS$85 setong disebabkan oleh tindakan OPEC+ minggu lalu untuk mengurangkan pengeluaran bagi mengawal harga minyak mentah yang merosot hingga AS$70 hingga AS$75 setong.
“Buat masa ini tidak dapat diunjurkan adakan ia akan mencecah setinggi AS$100 setong berdasarkan situasi ekonomi semasa,” katanya.
Ketua Ekonomi dan Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pula berkata rasionalisasi subsidi minyak seharusnya dilaksanakan, namun, suasana sekarang yang mana harga barang masih lagi kekal tinggi menyukarkan usaha kerajaan untuk melaksanakan sebarang perubahan.
Oleh itu, katanya, usaha untuk merasionalisasikan subsidi minyak perlu dilaksanakan dengan beransur-ansur dan konsisten.
“Selain itu, aspek komunikasi juga perlu diperhebatkan supaya tidak timbul rasa kurang senang dalam kalangan rakyat. Di samping itu, pemantauan terhadap harga barang serta tindakan yang tegas bagi peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga juga perlu dilaksanakan secara tuntas.
“Secara umumnya, jika rasionalisasi subsidi bahan api ini berlaku, sememangnya akan ada ‘trade off’ atau penggantian yang mana kenaikan kadar inflasi bakal berlaku. Namun, tujuannya adalah untuk memastikan sumber kerajaan sampai ke golongan sasaran.
“Sesi dialog bersama pemegang taruh juga perlu dilaksanakan supaya rakyat faham akan tujuan dasar ekonomi yang hendak dijalankan,” katanya.
Mohd Afzanizam berkata, subsidi bahan api yang tidak bersasar lebih banyak memanfaatkan golongan T20, sekali gus berlaku suatu bentuk ketirisan.
“Pada dasarnya, subsidi ini sepatutnya meringankan beban golongan berpendapatan rendah. Subsidi secara pukal sepatutnya dikaji semula supaya sumber kerajaan yang terhad dapat disalurkan kepada golongan yang layak menerima,” katanya.
Sumber: Berita Harian