Connect with us

Terkini

Pengecualian cecair nikotin bertentangan Akta Kanak-Kanak 2001 – Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM

Keputusan mengeluarkan nikotin daripada bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952, yang secara tersiratnya membolehkan produk nikotin digunakan individu berusia bawah 18 tahun, adalah bertentangan dengan Akta Kanak-Kanak 2001.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Pengecualian cecair nikotin bertentangan Akta Kanak-Kanak 2001 – Pesuruhjaya Kanak-Kanak SUHAKAM
Foto: Dr Farah Nini Dusuki.
  • Keputusan mengeluarkan nikotin daripada bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952, yang secara tersiratnya membolehkan produk nikotin digunakan individu berusia bawah 18 tahun, adalah bertentangan dengan Akta Kanak-Kanak 2001.
  • Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC), Dr Farah Nini Dusuki menjelaskan Malaysia sebagai negara pihak kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak 1989 (CRC) berperanan memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses kepada tahap kesihatan tertinggi yang boleh dicapai seperti termaktub dalam Artikel 24 CRC. 
  • Di bawah Seksyen 2(f) artikel sama, Malaysia wajib melaksanakan langkah pencegahan dalam penjagaan kesihatan bagi mempromosi dan melindungi hak ini. 
  • “Mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan terkawal secara tersiratnya membolehkan produk berkaitan dengan nikotin digunakan individu berusia di bawah 18 tahun, memandangkan larangan Seksyen 17 Akta 336 tidak lagi terpakai.”
  • “Keputusan itu bertentangan semangat Akta Kanak-Kanak 2001 yang mengakui kanak-kanak memerlukan perlindungan khusus, penjagaan dan bantuan, termasuklah daripada asap dan persekitaran yang dicemari nikotin,” katanya dalam kenyataan disiarkan di Facebook hari ini.

KUALA LUMPUR — Keputusan mengeluarkan nikotin daripada bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952, yang secara tersiratnya membolehkan produk nikotin digunakan individu berusia bawah 18 tahun, adalah bertentangan dengan Akta Kanak-Kanak 2001.

Kesal dengan keputusan kerajaan itu, Pesuruhjaya Kanak-Kanak (CC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM),  Dr Farah Nini Dusuki berkata keputusan itu boleh menyebabkan kanak-kanak mendapat akses tanpa had terhadap cecair dan gel mengandungi nikotin, seterusnya membawa kesan buruk kepada kesihatan tanpa sebarang sekatan undang-undang.

Katanya, Malaysia sebagai negara pihak kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak 1989 (CRC) berperanan memastikan setiap kanak-kanak mendapat akses kepada tahap kesihatan tertinggi yang boleh dicapai seperti termaktub dalam Artikel 24 CRC. 

Di bawah Seksyen 2(f) artikel sama, Malaysia wajib melaksanakan langkah pencegahan dalam penjagaan kesihatan bagi mempromosi dan melindungi hak ini. 

“Mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan terkawal secara tersiratnya membolehkan produk berkaitan dengan nikotin digunakan oleh individu berusia di bawah 18 tahun, memandangkan larangan Seksyen 17 Akta 336 tidak lagi terpakai.

“Keputusan itu bertentangan dengan semangat Akta Kanak-Kanak 2001 yang mengakui kanak-kanak memerlukan perlindungan khusus, penjagaan dan bantuan, termasuklah daripada asap dan persekitaran yang dicemari nikotin,” katanya dalam kenyataan disiarkan di Facebook hari ini.

Dr Farah menegaskan adalah menjadi tanggungjawab kerajaan memastikan kanak-kanak tidak terdedah kepada perkara memudaratkan kesihatan fizikal dan emosi mereka. 

Namun kerajaan tetap mengambil keputusan terbabit yang meletakkan kanak-kanak dalam risiko ketagihan nikotin yang tinggi sekalipun terdapat banyak bukti mengaitkan nikotin dan bahan toksik dari e-rokok dengan kerosakan perkembangan otak, katanya.

Mengulas usaha kerajaan mengurangkan pengambilan tembakau dengan menaikkan cukai, beliau berpandangan adalah tidak wajar perkara itu dikelirukan dengan pembukaan ruang kepada kebanjiran produk berkaitan dengan nikotin kepada pengguna baharu, terutama kanak-kanak. 

“la menjadi keraguan sama ada kenaikan cukai kepada pembeli e-rokok benar-benar akan menjana pendapatan dan memberi sumbangan positif kepada ekonomi negara. 

“Pada masa sama, mengeluarkan nikotin daripada senarai akan membawa kepada pertambahan kes penyakit yang berkaitan dengan paru-paru serta membebankan sistem kesihatan awam dan meningkatkan perbelanjaan penjagaan kesihatan. 

“Perkara ini jelas bercanggah dengan matlamat Kementerian Kesihatan untuk mengurangkan jumlah perokok daripada 40 peratus kepada 15 peratus menjelang tahun 2025,” kata Dr Farah.

Beliau menggesa kerajaan untuk terus memenuhi komitmen membina persekitaran bebas asap rokok seperti diusahakan sebelum ini.

Ini berikutan, pengabaian kepada komitmen ini akan membawa kesan berpanjangan kepada kesihatan dan persekitaran kanak-kanak, sekali gus menggugat konsep ‘Malaysia Madani‘ yang memberi tumpuan kepada pembangunan mampan merangkumi tidak hanya aspek ekonomi tetapi juga kesejahteraan sosial dan alam sekitar, katanya.

Bermula 1 April lalu, kerajaan melaksanakan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk rokok elektronik (e-rokok) pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml), ia diumumkan menerusi notis warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengeluarkan warta menyatakan nikotin termasuk tembakau, tampalan dan gula-gula getah, cecair dan gel nikotin, kini dikecualikan daripada Akta Racun 1952.

Dr Zaliha juga dilapor akan membentangkan RUU baharu yang bakal mengawal selia semua produk merokok, termasuk bahan merokok mengandungi nikotin yang digunakan untuk tujuan merokok.

Pihaknya menyasarkan RUU baharu itu akan dibentangkan dengan segera pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua Parlimen Ke-15 yang dijangka bersidang pada Mei depan. — The Merdeka Times

Sumber: Facebook SUHAKAM (Human Rights Commission of Malaysia)

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *