Connect with us

Terkini

HDC galak PKS sertai pasaran halal, kembangkan pasaran

Halal Development Corporation (HDC) komited dan konsisten dalam mendidik dan menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk memasuki pasaran halal bagi mencapai matlamat dan meluaskan perniagaan serta mengembangkan pasaran mereka.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

HDC galak PKS sertai pasaran halal, kembangkan pasaran
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Halal Development Corporation (HDC) komited dan konsisten dalam mendidik dan menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk memasuki pasaran halal bagi mencapai matlamat dan meluaskan perniagaan serta mengembangkan pasaran mereka.
  • Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, selain pensijilan halal, produk dan perkhidmatan mereka mestilah sedia pasaran dari segi pembungkusan produk, kapasiti pengeluaran, pensampelan produk dan pemasaran.
  • “Di sinilah HDC terus meneruskan intervensi dan rancangan strategik kami, seperti yang dipetakan dalam HIMP 2030, untuk meningkatkan dan mengembangkan ruang pasaran halal dan perniagaan PKS tempatan kita dan mengubahnya menjadi konglomerat tempatan besar halal (LLC) pada masa hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
  • Rata-rata PKS kurang berminat memasuki industri halal kerana beranggapan sijil halal tersebut mahal dan sukar untuk dimiliki, namun pada hakikatnya mereka tidak bersedia mematuhi standard halal dan skim sijil halal. 

PETALING JAYA: Halal Development Corporation (HDC) komited dan konsisten dalam mendidik dan menggalakkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk memasuki pasaran halal bagi mencapai matlamat dan meluaskan perniagaan serta mengembangkan pasaran mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari berkata, selain pensijilan halal, produk dan perkhidmatan mereka mestilah sedia pasaran dari segi pembungkusan produk, kapasiti pengeluaran, pensampelan produk dan pemasaran.

“Laporan Tinjauan Prestasi Ekonomi 2021 yang diterbitkan oleh SME Corp Malaysia tahun lepas menyatakan terdapat 1,151,339 PKS pada 2020 yang merangkumi 97.2 peratus daripada jumlah pertubuhan di Malaysia.

“Daripada jumlah ini, 200,000 terlibat dalam perniagaan berkaitan halal dan daripada jumlah ini, terdapat kurang daripada 8,000 PKS yang mempunyai pensijilan halal.

“Di sinilah HDC terus meneruskan intervensi dan rancangan strategik kami, seperti yang dipetakan dalam HIMP 2030, untuk meningkatkan dan mengembangkan ruang pasaran halal dan perniagaan PKS tempatan kita dan mengubahnya menjadi konglomerat tempatan besar halal (LLC) pada masa hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata, rata-rata PKS kurang berminat untuk memasuki industri halal dengan alasan sukar untuk mendapatkan sijil tersebut.

Jelasnya, mereka anggap sijil tersebut, mahal, lambat dan susah untuk dimiliki tetapi realitinya rata-rata PKS dalam negara tidak bersedia untuk mematuhi standard halal dan skim sijil halal.

“Sekiranya PKS tidak bersedia, mereka boleh datang ke HDC untuk mendapatkan kesedaran, latihan dan konsultansi berkaitan dengan keperluan untuk dapatkan sijil halal sebelum menghantar borang kepada JAKIM.

“Setelah mendapat ilmu dan tahu perkara-perkara yang diperlukan, saya jamin sijil halal boleh didapati dalam tempoh 30 hari bekerja sahaja selepas menghantar borang itu.

“Namun, jika tiada sijil halal bukan bermakna mereka tidak boleh berniaga. Bezanya, jika mempunyai sijil itu mereka boleh bermain dalam satu pasaran yang lebih luas dengan nilai produk yang premium,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ada juga PKS yang sudah mendapat sijil halal tetapi merasa ia tidak setimpal dengan pelaburan dan usaha yang mereka lakukan untuk mendapatkan sijil itu, jadi mereka tidak mahu memperbaharui sijil tersebut setelah ia tamat tempoh.

Jelasnya, itu berlaku kerana tiada kekuatan dalam industri jadi orang ramai tidak nampak nilainya.

“Apabila kita mahu tengok kekuatan sesuatu industri, kita akan tengok kepada PKS. Jika PKS hebat, maka hebatlah industri itu.

“Jadi, jangan berhenti untuk membantu syarikat-syarikat terutamanya PKS selepas mereka menerima sijil halal itu.

“Selepas mereka menerima sijil juga perlu ada campur tangan yang berstruktur mengikut kekuatan dan ketersediaan syarikat tersebut untuk membimbing mereka mencapai matlamat yang diinginkan,” katanya. 

Sumber: Utusan

Author