Terkini
Perasmian bar guna nama Tun Razak promosi budaya hedonistik, seks bebas
Sebarang perkara yang menyentuh sensitiviti dan bercanggah dengan moral masyarakat berbilang kaum di negara ini tidak sepatutnya didaftarkan sebagai nama perniagaan.
- Kesal apabila nama bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein dibenarkan untuk digunakan sebagai nama sebuah bar.
- “Jelas bahawa acara ini mempromosi budaya hedonistik, lucah dan seks bebas… dengan gambar-gambar aksi menjolok mata,” – Takiyuddin Hassan.
- DBKL digesa agar menimbang semula kebenaran penganjuran acara berkenaan yang sangat bertentangan dengan budaya tempatan.
- Program di bar itu seperti tidak sensitif kepada kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, apatah lagi diadakan pada bulan Ramadan.
KUALA LUMPUR – Sebarang perkara yang menyentuh sensitiviti dan bercanggah dengan moral masyarakat berbilang kaum di negara ini tidak sepatutnya didaftarkan sebagai nama perniagaan.
Faktor-faktor seperti kesesuaian dan kewajaran hendaklah dititik beratkan agensi pendaftaran syarikat semasa proses itu dilakukan oleh pemohon.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan kesal apabila nama bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein dibenarkan untuk digunakan sebagai nama sebuah bar.
“Perbuatan itu sangat tidak sensitif mahupun bertanggungjawab, malah menghina nama baik pemimpin negara,” katanya dalam satu kenyataan media di Facebook beliau pagi tadi.
Selain itu, menurutnya, terdapat juga acara yang akan menampilkan persembahan sekumpulan Thai Hot Guy yang berbadan sasa di bar berkenaan yang dinamakan Privacy Club Tun Razak.
“Jelas bahawa acara ini mempromosi budaya hedonistik, lucah dan seks bebas berdasarkan makluman dalam Bahasa Cina dengan terjemahan Inggeris itu yang turut disertakan dengan gambar-gambar aksi menjolok mata kumpulan berkenaan dengan pengunjung secara terbuka,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Takiyuddin menggesa pihak berkuasa, terutama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar menimbang semula kebenaran penganjuran acara berkenaan yang sangat bertentangan dengan budaya tempatan.
Jelasnya, program sebegitu seperti tidak sensitif kepada kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, apatah lagi diadakan pada bulan Ramadan.
“Selain itu, ia juga tidak mendukung cita-cita negara untuk mewujudkan masyarakat yang bermoral, berakhlak mulia, peka dan menyumbang kepada kesejahteraan bersama,” katanya.
Tambah beliau, kebebasan individu atau ekonomi tidak boleh sama sekali dijadikan alasan untuk membenarkan perbuatan dan kecenderungan negatif seperti sedemikian.
“Sewajarnya semua pihak mempunyai tanggungjawab sivik bagi memastikan masyarakat kita tidak terdedah kepada budaya yang merosakkan dan tidak membina seperti ini,” katanya.– The Merdeka Times
Sumber: Facebook Takiyuddin Haji Hassan