Connect with us

Terkini

Muslim diharamkan masuk rumah ibadat agama lain tanpa keperluan – Mufti Pulau Pinang

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menasihati umat Islam agar menghindarkan diri dari terdedah kepada rumah ibadat agama lain.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Rasyidah Zulkifli

Published

on

Muslim diharamkan masuk rumah ibadat agama lain tanpa keperluan - Mufti Pulau Pinang
Foto: Mufti Pulau Pinang, Dato’ Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
  • “Haram juga bagi seorang Muslim memasuki gereja atau rumah ibadat orang bukan Islam tanpa sebarang keperluan,” – Mufti Pulau Pinang
  • Lebih-lebih lagi jika program itu terdapat perkara-perkara mungkar seperti tarian, pendedahan aurat, hidangan arak, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan.
  • Harus bagi seorang Muslim yang mantap keimanannya untuk memasuki rumah ibadat orang bukan Islam jika ada tujuan berdakwah atau berdialog secara baik.
  • Umat Islam digalakkan hormat-menghormati masyarakat bukan Islam untuk menjamin kesejahteraan hidup bersama.

KUALA LUMPUR – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menasihati umat Islam agar menghindarkan diri dari terdedah kepada rumah ibadat agama lain.

Wan Salim berkata tindakan itu boleh mendatangkan dosa atau menjejaskan iman umat Islam.

Menurutnya, tidak diharuskan atau haram bagi seorang Muslim yang kurang mantap keimanannya kepada agama Islam memasuki gereja.

“Atau mana-mana rumah ibadat orang bukan Islam kerana dibimbangi perbuatan ini akan merosakkan aqidah Islamiyyahnya!

“Haram juga bagi seorang Muslim memasuki gereja atau rumah ibadat orang bukan Islam tanpa sebarang keperluan,” katanya kepada The Merdeka Times ketika dihubungi minggu ini.

Beliau menjelaskan lebih-lebih lagi jika program itu terdapat perkara-perkara mungkar atau maksiat.

Antaranya, tarian, pendedahan aurat, hidangan arak, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan atau sebagainya.

“Malah hukum haram ini tidak terhad kepada rumah-rumah ibadat sahaja tetapi meliputi semua tempat yang didapati kemungkaran dan  maksiat,” katanya.

Selain itu, harus bagi seorang Muslim yang mantap keimanannya untuk memasuki rumah ibadat orang bukan Islam jika ada tujuan berdakwah atau berdialog secara baik.

Tambah Wan Salim, ini bagi menjinakkan hati orang bukan Islam kepada agama Islam dan umatnya.

“Walaupun demikian, saya amat menggalakkan umat Islam supaya sentiasa menghormati warganegara Malaysia yang bukan beragama Islam. 

“Hubungan yang harmoni, bertoleransi dan saling memahami antara satu sama lain adalah amat penting untuk menjamin kesejahteraan hidup semua pihak di dalam sebuah negara yang rakyatnya berbeza keturunan, agama dan budaya,” katanya.

Sejak Isnin, tular di media sosial Impact Malaysia yang didakwa mempunyai agenda tersembunyi ‘mengajak’ kepada golongan Muslim untuk menziarahi gereja pada 18 Mac ini.

Program yang bernaung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu menjemput belia bertujuan memberi pendedahan mengenai persamaan dan perbezaan agama lain menerusi aktiviti lawatan serta kesukarelawan. 

Bagaimanapun pada Selasa, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dilaporkan menolak tuduhan Jom Ziarah menyama ratakan semua agama. – The Merdeka Times

Author