Connect with us

Terkini

Mahkamah Tinggi tolak rayuan dakwa dua pendakwah hina agama lain

Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan seorang pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) untuk memulakan pendakwaan persendirian terhadap dua mualaf kerana didakwa menghina kepercayaan dan amalan agama orang bukan Islam, demikian lapor Free Malaysia Today.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Mahkamah Tinggi tolak rayuan dakwa dua pendakwah hina agama lain
Foto: Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF), S Shashi Kumar.
  • Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF), S Shashi Kumar untuk memulakan pendakwaan persendirian terhadap dua pendakwah mualaf, Firdaus Wong dan Zamri Vinoth Kalimuthu.
  • Kedua-duanya didakwa menghina kepercayaan dan amalan agama orang bukan Islam menerusi hantaran di media sosial.
  • Tiada merit dalam rayuan yang dikemukakan oleh S Shashi Kumar terhadap pendakwa raya. – Pesuruhjaya Kehakiman, Wendy Ooi.

Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuan seorang pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) untuk memulakan pendakwaan persendirian terhadap dua mualaf kerana didakwa menghina kepercayaan dan amalan agama orang bukan Islam, demikian lapor Free Malaysia Today.

Pesuruhjaya Kehakiman, Wendy Ooi berkata tiada merit dalam rayuan dikemukakan Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF), S Shashi Kumar terhadap pendakwa raya.

“Majistret membuat penemuan yang betul dalam menolak permohonan untuk memulakan pendakwaan persendirian,” katanya.

Peguam S Ravichandran yang mewakili Shashi berkata dia akan membuat permohonan di Mahkamah Rayuan jika anak guamnya mengarahkan demikian.

“Ia bukan hak rayuan automatik. Kami perlu mengenal pasti soalan undang-undang untuk mendapatkan kebenaran untuk merit rayuan didengar,” katanya.

Pada 3 Sept 2021, Majistret Redza Azhar Rezali menolak permohonan itu kerana perkara itu masih dalam siasatan.

Redza juga berpendapat yang aduan Shashi tidak boleh dilayan kerana Firdaus Wong dan Zamri Vinoth Kalimuthu didakwa melakukan kesalahan boleh tangkap.

Bagaimanapun, aduan Shashi telah dibuat mengikut Seksyen 133 Kanun Prosedur Jenayah yang hanya terpakai bagi kesalahan tidak boleh tangkap.

Majistret juga mengambil maklum maklumat yang diberikan Timbalan Pendakwa Raya Ainul Amirah Abdul Razak yang hadir pada April 2021.

Menurut Ainul Amirah, polis masih menyiasat laporan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan kesalahan menggalakkan permusuhan atas alasan agama atau kaum dan bagi perbuatan yang memudaratkan pemeliharaan keharmonian.

Mereka yang didapati bersalah boleh dipenjara sekurang-kurangnya dua tahun dan lima tahun maksimum.

Redza berkata budi bicara sama ada untuk mendakwa sesiapa atas kesalahan itu terletak pada peguam negara dan hanya boleh dilaksanakan selepas siasatan selesai.

Tambahnya, mahkamah tidak boleh menjalankan siasatan berhubung perkara itu kerana ia tidak mempunyai maklumat yang diperlukan.

Redza juga berkata yang Seksyen 298A adalah kesalahan boleh tangkap yang membenarkan polis menangkap dan menahan suspek.

Shashi mengambil tindakan terhadap Firdaus yang merupakan Presiden dan Pengasas Multiracial Reverted Muslims (MRM) dan Zamri, yang kedua-duanya dikatakan berkait dengan pendakwah kontroversi Zakir Naik.

Firdaus didakwa menghina orang yang menganut agama bukan Islam, khususnya yang beragama Hindu, melalui hantaran di Facebook dan YouTube.

Dalam akuan berkanun, Shashi berkata dia membuat laporan polis terhadap Firdaus pada Januari 2018 selepas melihat hantaran mereka di kedua-dua platform media sosial itu.

“Kandungan tersebut telah menimbulkan kebencian dan penghinaan terhadap bukan Islam di Malaysia dan berkemungkinan menggugat keamanan,” katanya sambil menambah ramai pihak lain telah membuat laporan serupa.

Shashi juga menghantar memorandum kepada Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad serta kepada Menteri Dalam Negeri, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Menteri Perpaduan Negara, Jabatan Hal Ehwal Islam dan Jabatan Peguam Negara pada Oktober 2018.

Dalam akuan berkanun berasingan, Shashi berkata dia membuat laporan polis terhadap Zamri pada Jun tahun lepas kerana didakwa menghina ritual dan amalan Hindu melalui catatan di akaun Facebooknya yang tular.

“Hantarannya berkemungkinan menimbulkan kebencian dan mengganggu keharmonian agama dalam kalangan penganut berbeza agama,” kata Shashi.

Shashi mendakwa telah bertanyakan kepada pihak polis mengena status laporannya terhadap kedua-dua mereka, namun tidak mendapat jawapan.

Sumber: Free Malaysia Today

Author