Terkini
Kempen mogok doktor kontrak, jejas perkhidmatan kesihatan
Kempen mogok doktor kontrak yang dikatakan bakal berlangsung 3 hingga 5 April ini bukan jalan penyelesaian terbaik berikutan ia hanya menyebabkan perkhidmatan kesihatan terjejas.
- Kempen mogok doktor kontrak dikatakan bakal berlangsung 3 hingga 5 April ini bukan jalan penyelesaian terbaik berikutan ia hanya menyebabkan perkhidmatan kesihatan terjejas.
- Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata setakat ini Kementerian Kesihatan (KKM) hanya menerima hebahan mogok itu melalui saluran media sosial dan pihaknya tiada maklumat lanjut.
- “Walaupun mogok bertujuan menyampaikan mesej kepada pihak berkaitan, tindakan itu perlu ditimbang teliti kerana perkhidmatan kesihatan suatu perkhidmatan kritikal berikutan membabitkan nyawa manusia dan kesejahteraan rakyat.”
- “Maka saya berpandangan mogok terutama tidak terancang, bukan jalan penyelesaian terbaik terhadap apa juga permasalahan yang timbul berkaitan profesion pegawai perubatan atau mana-mana skim profesional lain,” katanya kepada BH, hari ini.
- Di laman Instagram DoctorsMalaysia, terdapat gesaan supaya doktor kontrak seluruh negara tampil menyertai mogok atau mengambil langkah meletak jawatan beramai-ramai pada 1 April.
KUALA LUMPUR: Kempen mogok doktor kontrak yang dikatakan bakal berlangsung 3 hingga 5 April ini bukan jalan penyelesaian terbaik berikutan ia hanya menyebabkan perkhidmatan kesihatan terjejas.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata setakat ini Kementerian Kesihatan (KKM) hanya menerima hebahan mogok itu melalui saluran media sosial dan pihaknya tiada maklumat lanjut.
“Walaupun mogok bertujuan menyampaikan mesej kepada pihak berkaitan, tindakan itu perlu ditimbang teliti kerana perkhidmatan kesihatan adalah suatu perkhidmatan kritikal berikutan membabitkan nyawa manusia dan kesejahteraan rakyat.
“Maka saya berpandangan mogok terutama tidak terancang, bukan jalan penyelesaian terbaik terhadap apa juga permasalahan yang timbul berkaitan profesion pegawai perubatan atau mana-mana skim profesional lain,” katanya kepada BH, hari ini.
Ada gesaan doktor kontrak sertai mogok, letak jawatan beramai-ramai pada 1 April
Di laman Instagram DoctorsMalaysia, terdapat gesaan supaya doktor kontrak seluruh negara tampil menyertai mogok atau mengambil langkah meletak jawatan beramai-ramai pada 1 April.
Dr Noor Hisham berkata, perkhidmatan kesihatan di negara ini perlu terus dianggap sebagai sektor kritikal yang kompleks serta mencabar, dengan risiko dan jerih perih dihadapi anggota kesihatan dalam menjalankan tugasan dan tanggungjawab mereka.
“Umum ketahui sebahagian besarnya bertugas di bawah sektor awam dan perkhidmatan kesihatan adalah antara penyumbang terbesar kepada kemakmuran serta pertumbuhan ekonomi negara.
“Tanpa sistem kesihatan yang utuh dan warga kerja perkhidmatan kesihatan yang terus memberikan perkhidmatan, tidak mungkin negara boleh terus maju ke hadapan. Jelas kesihatan adalah salah satu daripada hak asasi manusia dan perkhidmatan kesihatan perlu terus diutamakan,” katanya.
Beliau berkata, pandemik COVID-19 memperlihatkan realiti tanpa sistem kesihatan berdaya tahan, negara tidak mungkin dapat mengawal wabak dengan baik dan orang ramai tidak mungkin dapat meneruskan aktiviti kehidupan seperti biasa.
“Kemakmuran yang kita kecapi kini sudah tentu banyak disumbangkan oleh pakar dan anggota kesihatan di pelbagai peringkat sama ada di sektor pencegahan atau kesihatan awam mahupun yang bertugas di sektor klinikal dan penyelidikan.
“Masing-masing mempunyai peranan yang sangat penting dan berkat pengorbanan dilakukan anggota kesihatan sebelum ini, rakyat dapat menjalankan pekerjaan mereka semula, kita dapat berkumpul beramai-ramai dan Ramadan dapat disambut, kegembiraan perayaan dapat dirasai dan pelbagai lagi,” katanya.
Perkhidmatan kesihatan perlu berdaya tahan
Perkhidmatan kesihatan seharusnya terus berdaya tahan kerana cabaran akan datang termasuk risiko krisis atau pandemik mungkin lebih hebat dan kompleks daripada apa yang kita lalui sebelum ini kerana petugas aset utama perkhidmatan kesihatan yang perlu terus diberi perhatian sewajarnya.
“Kerajaan dari semasa ke semasa memberi maklum balas atau bertindak terhadap permasalahan serta permintaan yang ditimbulkan oleh anggota kesihatan.
“Antaranya mewujudkan perjawatan tetap, memberi penajaan latihan kepakaran atau latihan lanjutan, kenaikan pangkat secara time-based, peluang kenaikan ke gred khas dan pengwujudan gred UD56 untuk pakar perubatan serta skim kesihatan lain ditambah baik.
Kerajaan dari semasa ke semasa terus berusaha memastikan segala permasalahan dan permintaan diteliti sesuai dengan isu semasa serta diberi penyelesaian sewajarnya berdasarkan kepada kemampuan ekonomi negara.
“Seperti dilihat, perkhidmatan kesihatan dilihat terus diberi keutamaan dan melalui Belanjawan 2023 demi memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan negara ini,” katanya.
Sumber: Berita Harian