Terkini
Menteri sukan kecam ucapan rasis bekas pemain badminton negara
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengecam sekeras-kerasnya ucapan perkauman dan pertikaian agama dibangkitkan bekas pemain badminton negara, Bong Guang Yik yang tular sejak beberapa hari lalu.
- Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengecam sekeras-kerasnya ucapan perkauman dan pertikaian agama dibangkitkan bekas pemain badminton negara, Bong Guang Yik yang tular sejak beberapa hari lalu.
- Hannah Yeoh dalam kenyataan itu berkata, beliau percaya bahawa ibadat agama tidak pernah mengganggu prestasi atlet dan sukan.
- Katanya, perkara yang didakwa Guang Yik tidak pernah menjadi satu masalah di Malaysia.
- Guang Yik bukan lagi atlet negara dan merupakan bekas pemain pelapis percubaan BAM pada tahun 2014 (9 tahun lalu) dan kini tidak lagi menetap di Malaysia.
KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengecam sekeras-kerasnya ucapan perkauman dan pertikaian agama dibangkitkan bekas pemain badminton negara, Bong Guang Yik yang tular sejak beberapa hari lalu.
Hannah Yeoh dalam kenyataan itu berkata, beliau percaya bahawa ibadat agama tidak pernah mengganggu prestasi atlet dan sukan.
Malah, katanya perkara yang didakwa Guang Yik tidak pernah menjadi satu masalah di Malaysia.
“Saya tidak bersetuju dengan ucapan media sosial beliau (Guang Yik) dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang ucapan perkauman dan pertikaian agama yang dibangkitkan walaupun beliau telah meminta maaf.
“Saya ulangi pendirian – sukan mesti bebas daripada sebarang unsur perkauman dan politik.
“Semua atlet negara merupakan sumber inspirasi kepada masyarakat dan dinasihati berhati-hati dengan kandungan media sosial masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hannah Yeoh berkata, beliau juga sudah membuat semakan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), berkenaan status terkini Guang Yik.
Semakan itu mendapati, Guang Yik bukan lagi atlet negara dan merupakan bekas pemain pelapis percubaan BAM pada tahun 2014 (9 tahun lalu) dan kini tidak lagi menetap di Malaysia.
The Merdeka Times sebelum ini, melaporkan Guang Yik membuat kenyataan rasis yang mengatakan orang Melayu hanya tahu makan dan sembahyang lima kali sehari tanpa niat menguruskan BAM dengan baik.
Kenyataan rasis itu menjadi tular sejak beberapa hari lalu menerusi perkongsian video dari pemilik akaun Tiktok @ahboy282 pada Jumaat lalu sehingga mengundang kemarahan netizen yang menuntut tindakan segera dikenakan ke atas Guang Yik. – The Merdeka Times
Sumber : Twitter Hannah Yeoh