Connect with us

Terkini

[LAPORAN KHAS] Sistem elaun KAFA “cacamarba”, upah bulanan dibayar tidak menentu

Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Agama Malaysia Barat (KKGAMB) Muhd Fadhli Jusoh, 55, menyifatkan elaun guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negara dibayar secara tidak menentu.

Rasyidah Zulkifli

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Sistem “cacamarba” ini kerana dasar yang terpisah-terpisah antara satu negeri ke satu negeri –  Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Agama Malaysia Barat (KKGAMB) Muhd Fadhli Jusoh.
  • JAKIM hanya menyelaraskan bantuan kewangan bagi pelaksanaan tetapi Malaysia tiada satu standard.
  • Ini menyebabkan guru-guru KAFA tidak menerima upah dalam waktu sama bagi setiap negeri.
  • “Saya minta pemerintah sekarang ini, bayarlah kami dengan elaun yang setimpal kepada kami,” – Pengerusi KKGAMB Negeri Selangor, Suhaimi Mahmud
  • Disebabkan upah yang diterima sejak 1998 rendah, Suhaimi terpaksa melakukan kerja sampingan sebagai penolong pendaftar nikah di bawah JAIS untuk mencari wang tambahan.

KUALA LUMPUR – Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Agama Malaysia Barat (KKGAMB) Muhd Fadhli Jusoh, 55, menyifatkan elaun guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negara dibayar secara tidak menentu.

Menurutnya, sistem sedia ada yang diamalkan hari ini harus diberi perhatian kerajaan.

‘Sistem cacamarba ini kerana dasar yang terpisah-terpisah antara satu negeri ke satu negeri.

“JAKIM hanya menyelaraskan bantuan kewangan bagi pelaksanaan tetapi Malaysia tiada satu standard bagi kelas al-Quran dan fardu ain sebenarnya. 

“Dia tidak sama dari negeri ke negeri,” katanya ketika dihubungi The Merdeka Times di sini hari ini.

Foto: Presiden KKGAMB, Muhd Fadhli Jusoh.

Katanya, sistem KAFA di negeri Selangor dan Johor pula diuruskan oleh jabatan agama negeri masing-masing. 

“Ada bangunan sendiri, sekolah agama masing-masing. Jadi perkara-perkara seperti ini kalau atas dasar perjuangan generasi Islam, Melayu yang berpegang kuat kepada agamanya dan boleh mengamalkan agamanya dengan baik, harus ada sesuatu yang lebih konsisten dilaksanakan,” katanya.

Guru Pendidikan Islam itu berkata upah guru-guru KAFA ini tidak dibayar seperti penjawat awam lain yang mempunyai gred seperti mana ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Mereka juga tidak mempunyai slip gaji atau sebarang dokumen kontrak yang mana menyukarkan urusan pembelian kereta dan rumah.

Bagi mendapatkan upah pula, guru-guru KAFA perlu mengisi borang tuntutan setiap bulan.

Kemudian borang yang sudah lengkap disertakan dengan dokumen-dokumen penting perlu disahkan oleh Ketua Guru sekolah terlebih dahulu.

Selesai proses pengesahan barulah borang tersebut boleh diserahkan kepada jabatan agama negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk proses pengkreditan elaun.

“Kadangkala 5 hari bulan kadangkala tengah bulan, dan kadangkala berbulan-bulan baru dapat (elaun) sebab tidak ada satu skim yang mengawal dari segi perkhidmatan, pentadbiran dan perjawatan.

Tidak sekadar itu, Ustaz Fadhli juga menyentuh bebanan subjek yang perlu diajar kepada murid.

Jelasnya, seorang guru perlu mengajar tujuh mata pelajaran.

“Kalau dikira dari segi bebanan, mereka mengajar jumlah mata pelajaran yang agak banyak. Antaranya, Asas Tilawah al-Quran, Asas Ulum Syariah, Asas Aqidah Islamiah, Asas Akhlak Islamiah, Jawi, Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam.

“Jadi semua bebanan ini dipikul seperti seorang guru di sekolah kementerian juga tapi dalam tempoh tiga jam sehari, tiga kali seminggu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi KKGAMB Negeri Selangor, Suhaimi Mahmud, 47, berkata tugas mengendalikan program KAFA untuk murid-murid sekolah rendah adalah berat memandangkan ia salah satu daripada maqasid syariah.

“Itulah tanggungjawab kami mendidik agama kepada anak bangsa kita. Tanggungjawab yang berat bagi kami guru-guru KAFA ini.

Foto: Pengerusi KKGAMB Negeri Selangor, Suhaimi Mahmud.

“Jadi pembayaran itu biarlah setimpal. Setimpal itu wallahualam, saya pun tak tahu nak sebut berapa yang setimpal. 

“Saya minta pemerintah sekarang ini, bayarlah dengan elaun yang setimpal kepada kami,” katanya ketika ditemu bual The Merdeka Times di salah sebuah sekolah KAFA di Selangor semalam.

Disebabkan upah yang diterima sejak tahun 1998 rendah, bapa kepada lima orang anak ini terpaksa melakukan kerja sampingan sebagai penolong pendaftar nikah di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mencari wang tambahan bagi menyara keluarga.

“Setiap minggu ada orang kahwin bolehlah untuk anak sekolah, untuk beli makan minum dan beri barang dapur. Semua cukuplah. Tiada masalah.

“Dalam keadaaan sekarang ini RM1,800 (elaun KAFA) tak cukuplah. Kalau ikut kemahuan kita memang tak cukup tapi kalau ikut keberkatan yang ada, insya-Allah maknanya cukup-cukup, rezeki itu ada.

“Nak cerita masalah saya, dari dulu sampai sekarang, saya tak ada hutang. Kalau ada (duit) saya beli, kalau tiada (duit) saya diam, maknanya kalau saya nak sesuatu saya akan kumpul dan beli cash. Kehidupan rasa tenang sebab tiada bebanan hutang. Alhamdulillah,” katanya.

Pada 1990, kerajaan di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri Ke-4 Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad melaksanakan program KAFA di seluruh negara. 

Hal ini setelah kerajaan pada waktu itu meneliti masa mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah-sekolah kebangsaan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mencukupi.

Difahamkan, murid-murid hanya mempelajari subjek Pendidikan Islam tiga ke lima waktu seminggu sedangkan amalan beragama bukan sekadar teori, tetapi perlu digabungkan dengan amali atau praktikal.

Jadi, KAFA menjadi supplementary atau masa tambahan kepada murid-murid sekolah rendah yang beragama Islam.

Kerajaan pada era pemerintahan Mahathir memutuskan untuk menjalankan kelas KAFA sebagai pelengkap Kurikulum Pendidikan Islam Perdana di sekolah- sekolah kebangsaan sehingga ke hari ini. – The Merdeka Times

 

Author

Antarabangsa

(VIDEO) NATO perlu elak “double-standard” dalam isu Gaza, Ukraine – PM Sepanyol

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) harus jelas dalam tindakannya untuk tidak bersikap “dwistandard” (double standard) dalam isu peperangan di Ukraine dan Gaza, kata Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez.

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) harus jelas dalam tindakannya untuk tidak bersikap “dwistandard” (double standard) dalam isu peperangan di Ukraine dan Gaza, kata Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez.

Sanchez berkata perkara itu penting untuk menyampaikan kepada semua pihak bahawa apa dipertahankan NATO bukan hanya undang-undang antarabangsa, tetapi pendirian yang konsisten.

Beliau juga menggesa gencatan senjata kekal dilakukan di Gaza supaya “malapetaka kemanusiaan” yang disaksikan di wilayah Palestin itu dapat dihentikan.

“Ia sangat penting untuk rakyat kita fahami bahawa apa yang kita pertahankan di Gaza dan di Ukraine bukan sahaja (berkenaan) undang-undang antarabangsa, tetapi kita (sendiri) ada kedudukan yang konsisten.

“Kedudukan konsisten politik jelas bahawa kita tidak mengamalkan dwistandard. 

“Jadi jika kita memberitahu rakyat kita bahawa kita menyokong Ukraine kerana kita mempertahankan undang-undang antarabangsa, ia sama dengan apa yang kita perlu lakukan terhadap Gaza,” kata Sanchez dalam klip video disiarkan Al Jazeera ketika berucap di Sidang Kemuncak NATO di Washington, Amerika Syarikat, semalam.

Media melaporkan Ketua NATO, Jens Stoltenberg dalam ucapan akhirnya di sidang sama langsung tidak menyebut mengenai serangan rejim Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.

Insiden itu berlaku ketika beberapa pemimpin memberi amaran bahawa berdiam diri mengenai situasi di Gaza boleh menjejaskan komitmen perikatan ketenteraan itu terhadap hak asasi manusia. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending