Terkini
“Ada khabar angin pekerja sektor kesihatan akan mogok,” – MMA
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kerajaan menyelesaikan segera isu kekurangan tenaga kerja, kadar gaji rendah dan kesesakan pesakit melibatkan sektor kesihatan awam.
- Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) gesa Kerajaan selesaikan segera isu kekurangan tenaga kerja, kadar gaji rendah dan kesesakan pesakit di sektor kesihatan awam.
- Gesaan dibuat kerana ada khabar angin yang pekerja penjagaan kesihatan bakal mengadakan mogok.
- Isu yang dihadapi bertahun-tahun ini hanya melihat sedikit atau tiada perubahan langsung. – Presiden MMA, Dr Muruga Raj.
KUALA LUMPUR, 15 Februari 2023 – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kerajaan menyelesaikan segera isu kekurangan tenaga kerja, kadar gaji rendah dan kesesakan pesakit melibatkan sektor kesihatan awam.
Gesaan tersebut dibuat ekoran khabar angin mengenai pekerja penjagaan kesihatan yang bakal mengadakan mogok.
Bagaimanapun, Presiden MMA, Dr Muruga Raj berkata, persatuan itu tidak terkejut dengan khabar angin tersebut selepas melihat kepada sistem penjagaan kesihatan dan sumber manusianya yang ‘melampaui had’ saban tahun.
Selain itu, kekurangan jawatan tetap bagi doktor kontrak dan masa kerja yang panjang juga menjadi salah satu masalah utama yang dihadapi pekerja sektor kesihatan awam.
Tambahnya, “Walaupun (kemungkinan mogok) kekal sebagai khabar angin ketika ini, Kementerian Kesihatan dan Kewangan serta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) harus mengambil serius sentimen pekerja penjagaan kesihatan dan mempercepatkan pembaharuan yang amat diperlukan untuk menangani isu-isu berlarutan yang mereka hadapi.”
Tegas Dr Muruga, isu yang mereka hadapi sudah wujud selama bertahun-tahun dengan perubahan yang sedikit atau tiada perubahan langsung.
Katanya, “Terdapat tiga perubahan dalam Kerajaan selama tempoh empat tahun lalu (dan) terdapat harapan baharu dengan setiap barisan Kabinet dan pentadbiran baharu, namun tidak ada yang dapat menyelesaikan isu itu.”
Dr Muruga juga berpendapat, isu ini tidak seharusnya dilihat sebagai masalah yang perlu ditangani oleh Kementerian Kesihatan sahaja kerana ia melibatkan isu sumber manusia yang memerlukan belanjawan dan perancangan oleh Kementerian Kewangan dan JPA.
Sumber: Samudera