Connect with us

Antarabangsa

Remaja Dalit dibelasah hanya kerana mahu makan di majlis perkahwinan

Seorang remaja Dalit berusia 18 tahun dibelasah dengan kejam kerana mahu mengambil makanan di sebuah majlis perkahwinan di Kampung Naubasta, bandar Wazirganj, India.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Remaja Dalit dibelasah hanya kerana mahu makan di majlis perkahwinan
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Lalla, 18, yang merupakan seorang Dalit (kasta terendah di India), dibelasah dengan kejam hanya kerana mahu mengambil makanan di sebuah majlis perkahwinan.
  • Lalla yang menghadiri majlis perkahwinan di Kampung Naubasta, bandar Wazirganj terus dipukul beramai-ramai sebaik sahaja dia mengambil pinggan untuk makan.
  • Abangnya, Satyapal yang cuba menyelamatkannya turut dipukul dan motosikalnya dihancurkan.
  • Dalit atau Paria dalam sistem kasta masyarakat Hindu di India merujuk kepada individu yang tergolong dalam kelompok paling rendah dalam sistem kasta (malah ada mengatakannya ia di luar sistem kasta) dan diharamkan untuk disentuh atau ‘untouchable’.

 

Seorang remaja Dalit berusia 18 tahun dibelasah dengan kejam kerana mahu mengambil makanan di sebuah majlis perkahwinan di Kampung Naubasta, bandar Wazirganj, India.

Seorang penduduk kampung, Renu berkata adik lelakinya, Lalla, 18, pergi menghadiri majlis perkahwinan yang diadakan di rumah seorang yang bernama Sandeep Pandey di kampung itu.

Memetik laporan Deccan Herald, sebaik sahaja Lalla mengambil pinggan untuk makan, dia terus dipukul Sandeep dan adik-beradik lelakinya.

Seorang lagi abang Lalla, Satyapal yang melihat kejadian itu cuba untuk menyelamatkannya. 

Namun, Satyapal turut dipukul dan motosikalnya pula dihancurkan.

“Kami memberitahu ketua kampung dan orang tua di kampung kami mengenai kelakuan Sandeep dan adik-beradiknya. Apabila tertuduh mengetahui perkara itu, mereka menceroboh masuk ke rumah kami dan membelasah Lalla sekali lagi serta melakukan vandalisme,” kata Renu.

Menurut Asistan Superintenden Polis (ASP) Shiv Raj, satu laporan dibuat ke atas tertuduh iaitu Sandeep Pandey, Amresh Pandey, Shravan Pandey, Saurabh Pandey, Ajit Pandey, Vimal Pandey, dan Ashok Pandey atas kesalahan membahayakan nyawa atau keselamatan peribadi orang lain secara terburu-buru, ugutan jenayah dan rusuhan.

“Mereka juga telah didakwa di bawah Akta Kasta Terjadual dan Suku Terjadual (Pencegahan Kekejaman). Kami sedang menyiasat kes itu dan keterangan saksi akan direkodkan,” katanya.

Dalit atau Paria dalam sistem kasta masyarakat Hindu di India merujuk kepada individu yang tergolong dalam kelompok paling rendah dalam sistem kasta (malah ada mengatakannya ia di luar sistem kasta) dan diharamkan untuk disentuh atau ‘untouchable’.

Dalit dilarang melakukan pekerjaan, kecuali pekerjaan yang dianggap ‘kotor’ atau ‘tidak bermaruah’ bagi masyarakat kasta tinggi seperti kerja pembersihan, kutip sampah dan buruh binaan.

Sistem kasta di India dilaporkan dimansuhkan pada 1950-an tetapi sistem hieraki sosial berusia 2,000 tahun itu, yang menetapkan kedudukan individu berdasarkan keturunan kelahirannya, masih wujud dalam kehidupan harian masyarakat Hindu di India.

 

Sumber: Deccan Herald

Author