Terkini
Kecam Taliban, warganet gesa Fadhlina fokus isu pendidikan wanita di Malaysia
Pengguna-pengguna media sosial menggesa Menteri Pendidikan menumpukan perhatian terhadap pendidikan golongan wanita di Malaysia.
- Menteri Pendidikan diminta oleh pengguna-pengguna media sosial agar menumpukan perhatian terhadap pendidikan golongan wanita di Malaysia.
- Ia susulan kecaman beliau berkenaan tindakan Taliban yang mengharamkan wanita Afghanistan daripada melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.
- Terdapat juga komen-komen yang dikesan menggesa anak bekas pemimpin tertinggi ABIM itu agar menyelesaikan jurang perkauman di sekolah vernakular.
- Pengguna media sosial turut menyelar kenyataan Fadhlina yang perlu rasional dalam mengulas isu akses pendidikan wanita Afghanistan.
KUALA LUMPUR – Pengguna-pengguna media sosial menggesa Menteri Pendidikan menumpukan perhatian terhadap pendidikan golongan wanita di Malaysia.
Ia susulan kecaman Fadhlina Sidek berkenaan tindakan Taliban yang mengharamkan wanita Afghanistan daripada melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.
“Anda sibuk pasal Taliban, anda tahu ke berapa ramai pelajar perempuan di Malaysia tak dapat melanjutkan pelajaran kerana kos yang tinggi dan masih ramai perempuan yang buta huruf?” tulis Danny Iskandar.
Terdapat juga komen-komen pengguna media sosial yang dikesan menggesa anak bekas pemimpin tertinggi Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu agar menyelesaikan jurang perkauman yang semakin meruncing disebabkan dasar pendidikan yang membenarkan sekolah berasaskan kaum.
“Belum masanya untuk cerita pasal negara lain.
“Cerita dulu bab negara kita pasal sekolah vernakular, sekolah tahfiz dan isu budak-budak tak minat pergi sekolah,” kata Nur Muhammad.
“Nak hapus sekolah vernakular pun tak berani.
“Isu iktiraf UEC pun diam. Kelakar,” tulis Fiq Wisdom.
Sementara itu, pengguna media sosial turut menyelar kenyataan Fadhlina yang mendesak pemerintahan Taliban di Afghanistan agar membuka akses pendidikan kepada seluruh penduduk wanita negara itu dengan mengatakan pemimpin tersebut perlu rasional dalam mengulas isu itu.
Ketua Wanita PKR itu juga diberitahu supaya tidak menggunakan hujah tersebut sebagai alasan untuk peduli dasar luar sesebuah negara sehingga terlupa kepada kelemahan sektor pendidikan di Malaysia.
Ini susulan arahan Kementerian Pendidikan Afghanistan beberapa hari lalu yang menggantung kemasukan pelajar wanita ke universiti awam dan swasta secara serta merta selepas diputuskan oleh kabinet negara tersebut.
Sebagai reaksi, Fadhlina berkata sekatan yang dikenakan terhadap golongan tersebut hanya akan melebar luaskan jurang daya saing selain menjejaskan status ekonomi dan sosial.
Bagaimanapun, rata-rata pengguna media sosial pula menggesa Fadhlina supaya berpijak di bumi yang nyata.
Mereka berkata, kenyataan Fadhlina berbunyi bercita-cita tinggi kerana masalah berbangkit dalam isu pendidikan negara masih belum menemui penyelesaiannya. – The Merdeka Times