Terkini
PH pamer sikap bongkak dan hipokrit
Pakatan Harapan (PH) mempamerkan sikap hipokrit apabila menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin yang mendakwa kerajaan baharu PH-BN adalah ‘kerajaan zina’.

- PH bersikap hipokrit apabila menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap calon PN Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin yang menyifatkan kerajaan baharu PH-BN sebagai ‘kerajaan zina’.
- Timbalan Ketua Berdatu Shah Alam, Dr Afif Bahardin berkata ugutan itu tidak selari dengan manifesto PH mengenai kebebasan bersuara.
- “Sebaliknya, PN ketika berkuasa tidak mengambil tindakan polis terhadap ahli politik PH yang berulang kali menghina kerajaan,” katanya.
- Kenyataan dibuat Azman ke atas kerajaan baharu PH-BN tidak mempunyai sebarang unsur jenayah dan ia adalah kritikan politik yang adil.
KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) mempamerkan sikap hipokrit apabila menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin yang mendakwa kerajaan baharu PH-BN adalah ‘kerajaan zina’.
Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Shah Alam, Dr Afif Bahardin berkata ugutan itu tidak selari dengan manifesto PH bahawa mereka akan mempertahankan kebebasan bersuara.
“Ancaman PH untuk mengambil tindakan polis berhubung kenyataan terhadap Azman bertentangan sama sekali dengan janji PH bahawa mereka berulang kali akan mempertahankan kebebasan bersuara.
“Dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15, PH secara khusus berjanji untuk memansuhkan undang-undang zalim yang menyekat kebebasan bersuara dan berjanji ‘mempertahankan demokrasi dan mempromosikan kebebasan bersuara’,” katanya dalam kenyataan bertajuk “PH displays hypocrisy & arrogance in calling for police actions against critics” di sini semalam.
Afif berkata kenyataan dibuat Azman ke atas kerajaan baharu PH-BN tidak mempunyai sebarang unsur jenayah dan menyifatkan ia sebagai kritikan politik yang adil.
“Sebarang penggunaan kuasa polis untuk menyiasat parti pesaing PH atas kritikan politik adalah penyalahgunaan kuasa polis,” katanya.
Beliau berkata tindakan PH itu tidak ubah seperti Barisan Nasional (BN) ketika berkuasa dahulu.
“Ini menunjukkan sikap hipokrit yang tidak demokratik dan berbahaya yang menjelma hanya beberapa hari selepas PH berkuasa.
“Sebaliknya, PN ketika berkuasa tidak mengambil tindakan polis terhadap ahli politik PH yang berulang kali menghina kerajaan dengan menjenamakan kerajaan pintu belakang atau kerajaan gagal serta banyak lagi istilah menghina,” katanya.
Sehubungan itu, Afif menggesa Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil menarik balik ancaman untuk menggunakan kuasa polis terhadap Azman.
“Fahmi Fadzil tidak boleh campur tangan dalam urusan pilihan raya dengan mengancam tindakan polis terhadap calon PN. Ini sama dengan paksaan dan ugutan terhadap calon yang bertanding dalam pilihan raya.
“Kami menuntut PH menarik balik ancaman menggunakan kuasa polis terhadap Azman yang melanggar kebebasan bersuara dan undang-undang pilihan raya.
“Kami selanjutnya menggesa polis untuk tidak bertindak mengikut tuntutan PH yang menyalahi undang-undang dan menghentikan sebarang siasatan polis yang mungkin dimulakan kerana tiada jenayah dilakukan Azman, yang hanya menggunakan haknya untuk mengkritik kerajaan baharu BN-PH,” katanya.
Azman bakal bertanding dalam PRU15 pada 7 Disember depan bagi kerusi Parlimen Padang Serai susulan kematian calon PH pada 19 November lalu.
Azman yang mewakili PN di Padang Serai pada Ahad lalu yakin akan ada isyarat jelas penolakan terhadap PH-BN susulan pembentukan kerajaan baharu yang disifatkannya sebagai ‘kerajaan zina’. – The Merdeka Times

You must be logged in to post a comment Login