Terkini
PH berpotensi menang dua pertiga jika persempadanan semula dilakukan
- Pakatan Harapan (PH) berpotensi menang dua pertiga sekiranya berlaku persempadanan semula kawasan Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
- Penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfiq Yaakub berkata, jangkaan itu berdasarkan kajian dilakukan menerusi 52 sampel kawasan Parlimen yang dipecahkan lebih daripada satu kawasan.
- Mohammad Tawfiq berkata PH mempunyai harapan menambah 59 kerusi Parlimen hasil pecahan kerusi kawasan bandar sebelum ini dimenanginya.
KUALA LUMPUR — Pakatan Harapan (PH) berpotensi menang dua pertiga sekiranya berlaku persempadanan semula kawasan Parlimen sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfiq Yaakub berkata, jangkaan itu berdasarkan kajian dilakukan menerusi 52 sampel kawasan Parlimen yang dipecahkan lebih daripada satu kawasan.
“Saya ambil beberapa sampel, misalnya di dalam kajian yang saya lakukan, saya ambil 52 sampel (kawasan Parlimen).
“52 sampel ini kalau dipecahkan kepada lebih daripada satu kawasan, saya lihat Pakatan Harapan boleh menang 59 kerusi lagi,” kata Mohammad Tawfiq dalam program ‘Interviu’ yang disiarkan oleh Sinar Harian bertajuk “PRU awal: PH-BN boleh menang?” dihoskan Haizir Othman pada Khamis.
Mohammad Tawfiq berkata PH mempunyai harapan menambah 59 kerusi Parlimen hasil pecahan kerusi kawasan bandar sebelum ini dimenanginya.
“Persempadanan semula itu sangat penting kepada mana-mana parti pemerintah. Bagi saya, dalam tempoh ini, ia begitu penting kepada PH untuk memecahkan kawasan yang menjadi kubu kuat dan kemudiannya menambah bilangan kerusi supaya memberi kelebihan kepada mereka dalam PRU16.
“Perkara itu tidak mustahil berlaku dan sudah tiba masanya persempadanan semula di kawasan tertentu dilakukan kerana… kalau kita lihat satu kawasan itu maju dari segi pembangunan, maka populasi pengundi juga meningkat dengan pesat,” katanya.
Beliau berkata kebanyakan kerusi Parlimen dimenangi PH adalah di kawasan-kawasan bandar.
Penganalisis politik itu turut mempersoalkan bagaimana Perikatan Nasional (PN) mampu menyaingi PH jika persempadanan semula itu dilakukan.
“Bagaimana Perikatan Nasional mampu untuk menyaingi Pakatan Harapan sekiranya proses persempadanan semula ini dilakukan dan memihak kepada Pakatan Harapan,” katanya.
Beliau berkata proses persempadanan semula perlu dilakukan jika PH ingin mengekalkan kuasa.
“Kali terakhir (persempadanan semula) pada 2018 dan bagi saya dalam tempoh 8 tahun itu, sudah semestinya Pakatan Harapan melihat bahawa mereka terus perlu mengekalkan kuasa,” katanya. — The Merdeka Times