Terkini
GTA tidak bawa agenda iktiraf UEC, fokus isu ekonomi Melayu – Timbalan Pengerusi GTA
Gerakan Tanah Air (GTA) tidak akan membawa agenda mengiktiraf sijil UEC dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berikutan ia tidak terlalu membawa agenda nasionalisme sekaligus akan menyukarkan penyatuan kaum dalam negara.

- GTA tidak akan bawa agenda mengiktiraf sijil UEC dalam manifesto PRU15 berikutan ia bukan agenda nasionalisme sekaligus akan menyukarkan penyatuan kaum dalam negara.
- “Saya tak tahu tanya dialah (Tun Dr Mahathir), kita tak berbincang isu ini. Isu-isu ekonomi lebih utama itu yang menekan rakyat jadi kita tidak mahu bincang isu UEC ini.”
- “Yang penting ekonomi rakyat harus ditingkatkan, Melayu harus dibela. Jadi isu-isu ini kita tak masuk lagi dalam perbincangan. Kita fokus isu ekonomi dan nasib orang Melayu, tanah dan sebagainya.”
- Terpulang parti-parti politik lain sekiranya mereka ingin iktiraf sijil UEC kerana akhirnya para pengundi yang akan menilai sendiri.
KUALA LUMPUR – Gerakan Tanah Air (GTA) tidak akan membawa agenda mengiktiraf sijil UEC dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berikutan ia tidak terlalu membawa agenda nasionalisme sekaligus akan menyukarkan penyatuan kaum dalam negara.
Timbalan Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata demikian ketika mengulas berkenaan dakwaan kemungkinan gabungan parti lain akan turut menawarkan janji mengiktiraf sijil UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki IPTA, seiring dengan PH.
Bagaimanapun, katanya setakat ini masih belum ada perbincangan lanjut bersama Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan perkara itu ekoran gabungan parti itu lebih memberi fokus kepada isu ekonomi dan Melayu.
“Saya tak tahu tanya dialah (Tun Dr Mahathir), kita tak berbincang pun isu ini. Isu-isu ekonomi ini lebih utama itu yang menekan rakyat jadi kita tidak mahu bincang isu UEC ini.
“Yang penting ekonomi rakyat harus ditingkatkan, Melayu harus dibela. Jadi isu-isu ini kita tak masuk lagi dalam perbincangan. Kita fokus isu ekonomi dan nasib orang Melayu, tanah dan sebagainya,” katanya pada Jumaat.
Pada masa sama, beliau turut mengatakan terpulang kepada parti-parti politik lain sekiranya mereka ingin mengiktiraf sijil UEC kerana pada akhirnya para pengundi yang akan menilai sendiri.
“Itu terpulang kepada mereka saya tak nak komen. Benda itu kita tidak nampak lagi apa-apa keluar di manifesto mereka jadi kalau keluar nanti kita tengoklah pengundi nilai sendirilah.
Sebab dalam itu pun orang-orang yang bersama saya menentang UEC jadi kita harap itu tidak berlakulah dan saya serahkan kepada pengundi untuk menilai,” kata beliau yang juga pemegang kerusi Temerloh. – The Merdeka Times
