Antarabangsa
Gambarkan Kerala sebagai negara pengganas, wartawan India mahu filem ‘The Kerala Story’ diharamkan
Video teaser filem ‘The Kerala Story’ ditayangkan awal bulan ini menimbulkan kontroversi kerana menggambarkan Kerala sebagai sebuah ‘negara pengganas’.
- Seorang wartawan berpangkalan di Tamil Nadu, Aravindakshan BR, menghantar surat kepada Kementerian Penerangan India dan Pengerusi Lembaga Pensijilan Filem India, Prasoon Joshi supaya mengharamkan filem ‘The Kerala Story’.
- Ia susulan tayangan teaser filem ‘The Kerala Story’ awal bulan ini menggambarkan Kerala sebagai sebuah ‘negara pengganas’.
- Filem, yang didakwa berdasarkan kisah benar itu, memaparkan kira-kira 32,000 wanita dari selatan Kerala, memeluk Islam dan menyertai Islamic State (IS) dalam dekad lalu.
- Aravindakshan BR berkata filem itu perlu diharamkan kecuali penerbit memberikan bukti mengenai dakwaan dalam filem itu.
INDIA – Video teaser filem ‘The Kerala Story’ ditayangkan awal bulan ini menimbulkan kontroversi kerana menggambarkan Kerala sebagai sebuah ‘negara pengganas’.
Filem, yang didakwa berdasarkan kisah benar itu, memaparkan kira-kira 32,000 wanita dari selatan Kerala, kini diperintah parti komunis, memeluk Islam dan menyertai Islamic State (IS) dalam dekad lalu.
Seorang wartawan berpangkalan di Tamil Nadu, Aravindakshan BR, menghantar surat kepada Kementerian Penerangan India dan Pengerusi Lembaga Pensijilan Filem India, Prasoon Joshi supaya mengharamkan filem itu kecuali penerbit memberikan bukti mengenai dakwaan dalam filem itu.
Filem ‘The Kerala Story’ diarahkan Sudipto Sen dan diterbitkan Vipul Amrutlal Shah.
“Jika filem The Kerala Story ditayangkan di pawagam atau platform OTT dengan maklumat palsu, ia akan membawa kesan buruk kepada masyarakat.
“Filem ini bertentangan dengan perpaduan dan kedaulatan India serta mencemarkan kredibiliti semua agensi perisikan India.
“Oleh itu, polis Kerala harus menghubungi Sudipto Sen… dan menyiasat laporan agensi perisikan India yang berdasarkan filem itu,” katanya dipetik Independent dalam laporannya hari ini.
Dalam teaser filem itu, pelakon Adah Sharma, yang melakonkan watak sebagai Shalini Unnikrishnan, ingin menjadi jururawat dan berkhidmat kepada masyarakat tetapi memeluk Islam sebelum menjadi pengganas.
Sumber: Independent