Terkini
30 ahli Dewan Rakyat BN diminta menghadap YDPA 10.30 pagi esok
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan 30 ahli Dewan Rakyat untuk menghadap baginda di Istana Negara esok.

- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan 30 ahli Dewan Rakyat untuk menghadap baginda di Istana Negara esok.
- Mereka terdiri daripada anggota-anggota daripada Barisan Nasional (BN). Sesi menghadap secara individu dijadualkan berlangsung pada pukul 10.30 pagi.
- Baginda menitahkan rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan bakal PM ke-10 selesai.
- Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap baginda pukul 4.30 petang tadi, namun pemilihan calon PM baharu masih tergantung.
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan 30 ahli Dewan Rakyat untuk menghadap baginda di Istana Negara esok.
Mereka terdiri daripada anggota-anggota daripada Barisan Nasional (BN). Sesi menghadap secara individu dijadualkan berlangsung pada pukul 10.30 pagi.
“Proses ini adalah bertujuan supaya baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” titah baginda dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan dengan itu, baginda menitahkan rakyat agar bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu dan pelantikan bakal Perdana Menteri ke-10 selesai.
“Yang di-Pertuan Agong turut menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses tersebut dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan tanah air yang tercinta.
“Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya.
Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap baginda kira-kira pukul 4.30 petang tadi.
Setakat ini jawatan Perdana Menteri ke-10 masih belum diputuskan dan disepakati oleh Yang di-Pertuan Agong. – The Merdeka Times
