Terkini
Pelajar dakwa dicabul perawat di tokong
Seorang pelajar perempuan mendakwa dicabul perawat sebuah tokong di Sungai Petani, Kedah dalam kejadian kira-kira 2 petang, Sabtu lalu.
- Sabtu lalu, seorang pelajar perempuan mendakwa dicabul perawat sebuah tokong Sungai Petani, Kedah.
- Pihak polis menerima laporan daripada mangsa.
- Kejadian berlaku semasa mangsa mengikuti ibu dan bapanya pergi rumah ibadat untuk sembahyang.
- Suspek berusia 55 tahun yang dikenali ibubapanya menyuruh mangsa naik ke tingkat satu untuk belajar ilmu agama.
- Tiada bukti menyatakan mangsa dirogol kerana bilik dalam keadaan gelap.
- Suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan.
PETALING JAYA: Seorang pelajar perempuan mendakwa dicabul perawat sebuah tokong di Sungai Petani, Kedah dalam kejadian kira-kira 2 petang, Sabtu lalu.
Ketua Polis Kuala Muda, Zaidy Che Hassan, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa di Balai Polis Tikam Batu, kelmarin.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 14 tahun bersama ibu dan bapanya pergi ke rumah ibadat berkenaan untuk bersembahyang.
“Suspek berusia 55 tahun kemudian meminta mangsa naik ke tingkat satu tokong untuk mengajarnya ilmu keagamaan.
“Ketika di dalam bilik, mangsa mendakwa dicabul individu terbabit yang dikenali ibu bapanya kerana lelaki itu pernah mengubati ibu mangsa sebelum ini.
“Bagaimanapun, mangsa tidak pasti sama ada suspek merogolnya atau tidak kerana semasa kejadian keadaan di dalam bilik itu gelap sebelum mereka pulang ke rumah kira-kira 4 petang,” katanya dipetik Utusan Malaysia.
Zaidy berkata, mangsa dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk pemeriksaan dan keputusan pakar Obstetrik dan Ginekologi mendapati tiada kesan koyakan “hymen intact” di kemaluan mangsa.
Katanya, mangsa kini dirujuk kepada pakar kaunseling D11 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah untuk membantunya dari segi emosi, manakala suspek ditahan reman tujuh hari.
“Lelaki itu ditahan semalam dan kini direman tujuh hari untuk membantu siasatan bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.
Sumber: Free Malaysia Today