Terkini
SKMM sekat 292 aktiviti pelacuran di platform digital
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaporkan telah menerima sejumlah 1090 aduan berkaitan penyebaran kandungan lucah termasuklah di platform Twitter pada tahun 2020 sehingga Ogos 2022.
- Ia rekod pada tahun 2020 sehingga Ogos 2022.
- SKMM telah melaporkan 209 akaun yang memuat naik kandungan berunsur lucah kepada pihak Twitter, dan kesemuanya telah pun diturunkan.
- 292 laman sesawang didapati menjalankan aktiviti pelacuran turut disekat.
- Dalam aspek penguatkuasaan, tindakan SKMM terhad kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
- “Bagi sebarang kesalahan di bawah peruntukan undang-undang lain contohnya aktiviti mencari langganan bagi maksud persundalan yang boleh menjadi kesalahan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan, aduan berkenaan akan dimajukan kepada pihak PDRM untuk penelitian dan tindakan lanjut di bawah peruntukan undang-undang berkenaan.”
- SKMM beri bantuan teknikal iaitu perkongsian maklumat serta permohonan penurunan kandungan/akaun berdasarkan pengesahan daripada agensi penguatkuasaan berkaitan, secara kes demi kes.
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melaporkan telah menerima sejumlah 1090 aduan berkaitan penyebaran kandungan lucah termasuklah di platform Twitter pada tahun 2020 sehingga Ogos 2022.
Menurut SKMM, kesemua aduan yang diterima telah diambil tindakan oleh SKMM, malah ia telah dirujuk kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk perhatian dan tindakan lanjut di bawah bidang kuasa mereka.
“Pihak SKMM juga telah melaporkan sejumlah 209 akaun yang didapati memuat naik kandungan-kandungan berunsur lucah kepada pihak Twitter, di mana kesemua akaun dan laman tersebut telahpun diturunkan.
“Pada masa sama, tindakan sekatan ke atas 292 laman sesawang yang didapati menjalankan aktiviti pelacuran turut dilaksanakan oleh SKMM berlandaskan kepada maklumat dan permohonan rasmi yang diterima daripada pihak PDRM, sejajar dengan peruntukan di bawah Seksyen 372, Kanun Keseksaan,” katanya pada Sabtu.
Bagaimanapun, SKMM menjelaskan bahawa dalam aspek penguatkuasaan, tindakan SKMM adalah terhad kepada kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
Katanya, “Bagi sebarang kesalahan di bawah peruntukan undang-undang lain contohnya aktiviti mencari langganan bagi maksud persundalan yang boleh menjadi kesalahan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan, aduan berkenaan akan dimajukan kepada pihak PDRM untuk penelitian dan tindakan lanjut di bawah peruntukan undang-undang berkenaan.”
Sementara itu, pihak SKMM akan memberikan bantuan teknikal termasuklah dari aspek perkongsian maklumat serta permohonan penurunan kandungan/akaun berdasarkan pengesahan daripada agensi penguatkuasaan berkaitan, secara kes demi kes.
Terdahulu, The Merdeka Times melaporkan tentang kewujudan alam ‘Dark Side’ yang telah membarah di Twitter di mana majoritinya melibatkan anak muda yang menawarkan pelbagai khidmat seksual seperti, khidmat seks, menjual video lucah, teks juga panggilan lucah.
Dalam pada itu, orang ramai disarankan untuk melaporkan aktiviti-aktiviti tersebut kepada pihak PDRM untuk perhatian dan tindakan lanjut. Sebarang laporan atau aduan berhubung perkara sedemikian juga boleh dimajukan kepada pihak MCMC melalui portal aduan MCMC di pautan https://aduan.skmm.gov.my. – The Merdeka Times