Connect with us

Terkini

“Rakyat Malaysia mudah terpedaya, jadi sasaran sindiket penipuan pekerjaan,” – Pakar kriminologi

Pasangan suami isteri warga Malaysia yang ke Bangkok untuk mencari anak lelakinya yang hilang tidak dapat menahan kesedihan sebaik mengetahui anaknya sudah pun meninggal dunia 11 Mei lalu di Hospital Mae Sot berhampiran sempadan Thailand-Myanmar.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

“Rakyat Malaysia mudah terpedaya, jadi sasaran sindiket penipuan pekerjaan,” - Pakar kriminologi
Foto: Menteri Luar Negeri (KLN) Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
  • Pasangan suami isteri warga Malaysia ke Bangkok mencari anak lelaki mereka yang hilang sangat sedih mengetahui anaknya meninggal dunia 11 Mei lalu di Hospital Mae Sot berhampiran sempadan Thailand-Myanmar.
  • Mereka percaya Zhan Feng, 23, menjadi mangsa sindiket penipuan kerja.
  • “Doktor percaya anak saya didera sebelum ditinggalkan di hospital pada 11 April,” – bapa mangsa.
  • “Setakat 2 September lalu, bilangan mangsa sindiket penipuan pekerjaan dilaporkan di Kemboja adalah seramai 148 orang, Thailand (23), Laos (22) dan Myanmar (dua).” – Menteri Luar Negeri (KLN).
  • “Apabila rakyat kita sampai di sana dan mendapati situasi bukan seperti dijanjikan, mereka mahu kembali ke Malaysia namun berlaku ugutan, penderaan dan sebagainya,” – Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
  • “Sindiket tersebut menggunakan taktik seperti tawaran gaji lumayan dan layanan baik untuk memperdayakan rakyat di negara ini serta mensasarkan golongan wanita,” – Pakar kriminologi bebas.

KUALA LUMPUR – Pasangan suami isteri warga Malaysia yang ke Bangkok untuk mencari anak lelakinya yang hilang tidak dapat menahan kesedihan sebaik mengetahui anaknya sudah pun meninggal dunia 11 Mei lalu di Hospital Mae Sot berhampiran sempadan Thailand-Myanmar.

Lebih menyedihkan apabila Goi Chee Kong, 50, dan isterinya yang berusia 45 tahun dari Ipoh, Perak mendapat tahu anak sulungnya Zhan Feng, 23, menjadi mangsa sindiket penipuan kerja.

Zhan Feng dipercayai menjadi mangsa sindiket pemerdagangan orang dan diseludup ke Myawaddy, Myanmar serta dipaksa bekerja untuk sindiket itu.

“Kami diberitahu anak kami sakit dan menerima rawatan di hospital. Jadi, saya dan isteri datang ke Bangkok untuk bawa dia pulang ke Malaysia bagi dapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, kami diberitahu dia meninggal dunia pada jam 2 pagi 11 Mei. Doktor percaya anak saya didera sebelum ditinggalkan di hospital pada 11 April,” katanya.

Chee Kong berkata, anaknya dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) hospital itu dengan menggunakan nama dan nombor pasport palsu.

Berikutan itu katanya, pihak hospital tidak dapat menghubungi kedutaan dan keluarga untuk membincangkan mengenai keadaan kesihatan dan rawatan anaknya.

“Disebabkan tidak mendapat rawatan lanjut, sebulan kemudian dia meninggal dunia. Jasadnya dikebumikan di tanah perkuburan di Si Racha di wilayah Chonburi,” katanya.

Zhan Feng, pelajar tahun akhir Institut Pendidikan Guru (IPG) itu berlepas ke Bangkok untuk bercuti pada 19 Januari lalu dan bagi bertemu rakan yang dikenalinya di media sosial.

Dia sepatutnya pulang ke Malaysia untuk menyambut ulang tahun kelahiran ibunya pada 5 Februari. Berikutan itu pada 7 Februari bapanya membuat laporan orang hilang.

Pada 31 Mac, pelajar itu menghubungi keluarganya dan memberitahu dia berada di Mae Sot di Wilayah Tak serta memerlukan RM80,000 untuk rawatan perubatan.

“Kami percaya sesuatu berlaku pada dia. Kami yakin dia sedang diperhatikan dan diancam. Dia minta maaf kerana tak dapat balik ke rumah. Dia janji akan balik semula setahun kemudian…sejak itu kami tidak dengar apa-apa berita daripadanya,” kata Chee Kong.

Beliau percaya anaknya menjadi mangsa sindiket penipuan kerja dan telah membuat laporan polis pada 2 April lalu.

“Kami terima apa yang berlaku. Saya harap apa yang menimpa anak saya menjadi pengajaran kepada semua pencari kerja. Saya harap perkara yang sama tidak akan berulang,” katanya. 

Pada masa sama, Menteri Luar Negeri (KLN) Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata setakat 2 September lalu, bilangan mangsa sindiket penipuan pekerjaan yang dilaporkan di Kemboja adalah seramai 148 orang, Thailand (23), Laos (22) dan Myanmar (dua).

“Bilangan mangsa berjaya diselamatkan dan dibawa pulang dari Kemboja adalah seramai 65 orang, Laos (10 orang), Thailand (10 orang) dan Myanmar (dua).

Katanya, semua laporan serta dokumen diterima kementerian tersebut akan disalurkan terus kepada perwakilan Malaysia yang berkenaan untuk tindakan susulan segera dengan pihak berkuasa negara tuan rumah.

Bagaimanapun, proses tersebut tertakluk kepada prosedur dan undang-undang di negara terbabit yang melibatkan urusan siasatan, intipan, usaha menyelamat, dokumentasi dan sebagainya yang akan mengambil masa.

Tegasnya, “Kementerian menasihatkan rakyat Malaysia untuk sentiasa berwaspada dengan tawaran bekerja di luar negara, terutama sekali bagi pekerjaan yang menawarkan gaji lumayan dan diterima melalui platform media sosial seperti Facebook, Telegram, Wechat dan lain-lain.”

Sementara itu, Timbalan Pengarah Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, “Apabila rakyat kita sampai di sana dan mendapati situasi bukan seperti yang dijanjikan, mereka rasa terpedaya dan apabila mahu kembali ke Malaysia, berlaku ugutan, penderaan dan sebagainya,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ada rakyat negara ini yang bersubahat dengan sindiket di Kemboja.

Dalam pada itu, Pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim berkata, tawaran sindiket penipuan pekerjaan di luar negara sering dibuat melalui media sosial dengan kebanyakannya mensasarkan golongan wanita.

Tambahnya, sindiket tersebut menggunakan taktik seperti tawaran gaji lumayan dan layanan baik untuk memperdayakan rakyat di negara ini. Jadi, kelemahan yang sering kita lihat dalam kalangan rakyat Malaysia adalah mudah terpedaya atau dipengaruhi.

Ini berikutan, kebanyakan mangsa sindiket ini adalah mereka yang mudah terpedaya dengan janji manis oleh ejen-ejen haram. 

Author