Terkini
Kes gangguan seksual: rakyat jangan menangguk air yang keruh – Menteri Agama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad menegaskan orang ramai untuk tidak mengulas isu terkait kes perbicaraan gangguan seksual melibatkan individu terkenal di Malaysia kerana ia dikhuatiri boleh menimbulkan rasa kurang senang terhadap mana-mana pihak dan imej agama.

- Orang ramai diingatkan untuk tidak mengulas isu terkait kes perbicaraan gangguan seksual melibatkan individu terkenal di Malaysia
- Ia dikhuatiri boleh menimbulkan rasa kurang senang terhadap mana-mana pihak dan imej agama.
- Kes ini adalah kes yang sedang dibicarakan di dalam mahkamah dan perlu untuk kita menghormati proses mahkamah dan serahkan ianya kepada pihak berautoriti.
- Beliau tidak bersetuju dengan sebarang perlakuan bertentangan dengan undang-undang, lebih-lebih lagi terkait dengan pencerobohan kehormatan diri.
KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad menegaskan orang ramai untuk tidak mengulas isu terkait kes perbicaraan gangguan seksual melibatkan individu terkenal di Malaysia kerana ia dikhuatiri boleh menimbulkan rasa kurang senang terhadap mana-mana pihak dan imej agama.
Katanya, sekalipun ianya melibatkan insan dikenali, kes ini adalah kes yang sedang dibicarakan di dalam mahkamah dan perlu untuk kita menghormati proses mahkamah dan serahkan ianya kepada pihak berautoriti untuk melaksanakan tugasnya.
Dalam hantaran di Facebooknya, beliau mengatakan bahawa kita wajar berpegang kepada pesan dan ajaran agama kita yang digariskan mengikut kaedah fiqh iaitu; “Asal setiap sesuatu adalah tidak bertanggungjawab/tidak bersalah.”
Menurut beliau, dari kata lain seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dijatuhkan hukuman yang membenarkan kes berlangsung.
“Kita perlu memegang akhlak dan ilmu ajaran agama terutama sekali kepada para pendakwah dan ikon-ikon besar yang diikuti orang ramai.
Seluruh rakyat juga diseru untuk tidak menangguk air yang keruh sehingga tanpa sedar memberi mesej buruk terhadap nilai agama dan ramai lagi para agamawan yang berusaha membawa mesej agama kepada masyarakat dengan ikhlas dan bersungguh,” katanya pada Rabu.
Bagaimanapun, beliau turut menegaskan bahawa beliau tidak bersetuju dengan sebarang perlakuan yang bertentangan dengan undang-undang, lebih-lebih lagi yang terkait dengan pencerobohan kehormatan diri.
Beliau yang juga merupakan Naib Presiden PAS berkata, “Jika berlaku jenayah, ia mesti dilapor kepada pihak berkuasa dan dibawa ke muka pengadilan. Jika sabit kesalahan, hukuman yang tegas perlu diberikan kepada pelakunya, tidak kira siapa pun dia. Ini adalah kerana untuk memberi pengajaran kepada semua pihak.”
Dalam pada itu, beliau menyeru kesemua pihak termasuklah ibu bapa, pendidik, pemimpin, NGO agar bersatu hati menjalankan kempen kesedaran kepada masyarakat berkenaan jenayah seperti ini.
Menurutnya, adalah menjadi tugas kita semua untuk sama-sama melindungi masyarakat daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.
Katanya, “Biarlah kebenaran itu dibawa mengikut saluran yang tepat dan kita terus menjadi rakyat dan umat Islam yang bertanggungjawab dalam apa jua situasi agar Allah menilai yang terbaik terhadap usaha kita sebagai seorang muslim. InsyaAllah.”
Sumber : Facebook Idris Ahmad

You must be logged in to post a comment Login