Terkini
Dakwaan kerajaan didominasi pemimpin Melayu gagal, satu perbuatan rasis – MPN bidas Tommy Thomas
Tan Sri Tommy Thomas mendakwa dua pentadbiran selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH) pada 2020 didominasi pemimpin Melayu sebagai kerajaan yang gagal.

- MPN beri amaran keras kepada Tommy untuk ‘tidak menangguk di air yang keruh’ serta memporak perandakan kesepaduan di antara kaum dengan buat kenyataan berbaur hasutan dan rasis.
- “Mengaitkan kerajaan pada hari ini sebagai kerajaan dominasi sesuatu kaum amat sangat tidak tepat kerana ia didokong semua kaum termasuk parti-parti pelbagai kaum daripada Sabah dan Sarawak.” – Prof Datuk Dr Raduan Che Rose
- Beliau yakin rakyat terguris dengan kenyataan politik bersifat rasis seumpama ini.
- “Perpaduan adalah aset masyarakat yang sangat bernilai dalam kita mengatur kehidupan bernegara demi kelangsungan dan kesejahteraan generasi kini dan masa hadapan.
- Pegawai Khas Perdana Menteri, Dr Kamarul Zaman Yusoff, berkata Tommy tidak sepatutnya buat dakwaan semberono terhadap perjalanan kerajaan tanpa memberikan pembuktian dan perincian kepadanya.
KUALA LUMPUR – Tan Sri Tommy Thomas mendakwa dua pentadbiran selepas kejatuhan Pakatan Harapan (PH) pada 2020 didominasi pemimpin Melayu sebagai kerajaan yang gagal.
Bekas Peguam Negara itu berkata, walaupun dua kerajaan selepas kejatuhan kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH) didominasi dalam kalangan pemimpin Melayu, beliau mempersoal apakah keadaan bertambah baik atau sebaliknya?
Menurutnya, punca Tun Dr. Mahathir Mohamad letak jawatan sekali gus memberi laluan kepada dua kerajaan untuk mentadbir dalam tempoh dua tahun setengah kerana beranggapan pentadbiran sebelum ini sebagai tidak cukup Melayu.
“Namun dalam tempoh dua tahun setengah, anda ada Kabinet yang didominasi oleh orang Melayu. Selepas dua tahun setengah itu, ada persoalan penting yang ingin diutarakan: Adakah kerajaan Melayu hari ini lebih efisien dan baik?
“Saya rasa jawapannya, pengundi Melayu pun akan berkata, ‘adakah anda bergurau? Biar betul!’ Mereka buat kerja yang begitu buruk dalam pentadbiran. Jadi kerajaan Melayu (hari ini) telah gagal. Jadi anda perlu menggunakan isu.”
Bagaimanapun, kenyataan tersebut dibidas Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Rose yang menyatakan dakwaan tersebut bersifat sangat rasis.
Beliau turut menyifatkan kenyataan sebegitu sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh merosakkan perpaduan di antara kaum.
Justeru katanya, MPN memberi amaran keras kepada Tommy untuk ‘tidak menangguk di air yang keruh’ serta memporak perandakan kesepaduan di antara kaum dengan membuat kenyataan berbaur hasutan dan rasis.
“Mengaitkan kerajaan pada hari ini sebagai kerajaan dominasi sesuatu kaum amat sangat tidak tepat kerana ia didokong semua kaum termasuk parti-parti pelbagai kaum daripada Sabah dan Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau yakin rakyat terguris dengan kenyataan politik bersifat rasis seumpama ini.
“Perpaduan adalah aset masyarakat yang sangat bernilai dalam kita mengatur kehidupan bernegara demi kelangsungan dan kesejahteraan generasi kini dan masa hadapan.
“Sikap rasis seperti ditunjukkan Tommy atau sesiapa jua harus dibantah semua pihak yang cintakan kedamaian, keamanan dan kemanusiaan yang sudah berjaya kita semai dan pupuk selama ini,” katanya.
Beliau berkata, untuk rekod, negara mula menyaksikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2022 iaitu sebanyak 8.9 peratus, sekaligus menjadi petunjuk jelas prestasi kerajaan sekarang dalam memulihkan ekonomi.
“Ini menunjukkan polisi diperkenal kerajaan untuk membina semula keyakinan pelabur tempatan dan luar negara bagi memulihkan ekonomi berada di landasan yang betul.
“Malaysia juga berada di tempat ketiga oleh Global Business Service (GBS) selepas India dan China dari segi khidmat perniagaan global, (sekaligus) menunjukkan kepercayaan dunia kepada khidmat perniagaan global,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Khas Perdana Menteri, Dr Kamarul Zaman Yusoff, berkata selaku bekas Peguam Negara, tidak sepatutnya Tommy membuat dakwaan semberono terhadap perjalanan kerajaan tanpa memberikan pembuktian dan perincian kepadanya.

You must be logged in to post a comment Login