Connect with us

Antarabangsa

China lakukan penganiayaan dan pencabulan hak asasi serius di Xinjiang – PBB

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa China melakukan penganiayaan dan “pencabulan serius terhadap hak asasi manusia” di wilayah Xinjiang.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

China lakukan penganiayaan dan pencabulan hak asasi serius di Xinjiang - PBB
Foto: Pesuruhjaya Tinggi PBB, Michelle Bachelet.
  • Laporan PBB mengesahkan China melakukan penyeksaan dan melanggar hak asasi manusia terhadap etnik Uyghur di wilayah Xinjiang. 
  • PBB mendakwa China telah menyekat hak minoriti dan tahanan banduan mendapat layanan buruk, termasuk keganasan seksual.  
  • PBB menggesa China membebaskan semua individu Uyghur yang ditahan dan menyifatkan tindakan China sebagai ‘jenayah antarabangsa, khususnya jenayah terhadap kemanusiaan.

GENEVA – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa China melakukan penganiayaan dan “pencabulan serius terhadap hak asasi manusia” di wilayah Xinjiang.

Laporan yang sudah lama ditunggu-tunggu dikeluarkan di Geneva semalam itu mendakwa China berkemungkinan melakukan jenayah kemanusiaan susulan penyeksaan yang dilakukan ke atas etnik minoriti Uyghur.

Laporan itu dikeluarkan pada hari terakhir Michelle Bachelet menamatkan penggal empat tahunnya sebagai Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi hak Asasi Manusia dan laporan berkenaan mengambil masa kira-kira setahun untuk disiapkan. 

Bagaimanapun, China menggesa PBB supaya tidak mengeluarkan laporan itu dan Beijing menyifatkan ia sebagai percaturan kuasa Barat dan mendakwa negara itu menggerakkan pusat latihan vokasional di Xinjiang dengan tujuan menentang keganasan. 

Bachelet akhirnya memutuskan bahawa penilaian penuh perlu dilaksanakan terhadap situasi di Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang (XUAR) itu.

“Pencabulan hak asasi manusia yang serius telah dilakukan di XUAR dalam konteks penerapan strategi menentang keganasan dan ekstremisme oleh kerajaan,” demikian menurut laporan itu.

Hasil penyiasatan PBB mendakwa mereka mempunyai bukti yang kukuh dan berkemungkinan tindakan China merujuk kepada ‘jenayah terhadap kemanusiaan’. 

PBB turut mendakwa China menggunakan undang-undang keselamatan negara yang tidak jelas untuk menyekat hak minoriti dan mewujudkan “sistem penahanan sewenang-wenangnya”.

Laporan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB berkata, layanan tahanan ke atas mereka yang ditahan tertakluk kepada bentuk penyeksaan dan keadaan penahanan yang teruk malah dakwaan berhubung insiden keganasan seksual dan berasaskan jantina membabitkan individu. 

PBB mengesyorkan agar China segera mengambil langkah untuk membebaskan “semua individu yang ditahan kebebasan mereka dengan sewenang-wenangnya” dan menyifatkan tindakan China adalah jenayah antarabangsa, termasuk jenayah terhadap kemanusiaan”.

Walaupun PBB berkata ia tidak dapat memastikan berapa ramai ditahan kerajaan, kumpulan hak asasi manusia itu menganggarkan bahawa lebih daripada sejuta orang telah ditahan di kem di wilayah Xinjiang, di timur laut China.

Terdapat kira-kira 12 juta Uyghur yang beragama Islam tinggal di Xinjiang. 

China sebelum ini dituduh melakukan pelbagai penderaan di Xinjiang, termasuk tahanan besar-besaran, buruh paksa dan pemusnahan tapak budaya dan agama Uyghur.

Amerika Syarikat (AS) dan penggubal undang-undang di negara barat lain menuduh China melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap kumpulan minoriti. Namun, Beijing menolak sekeras-kerasnya dakwaan itu.

Sumber: BBC

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *