Antarabangsa
Bantah hubungan cinta berlainan agama, pelampau Hindu rosakkan masjid di Madhya Pradesh
Ketegangan berlaku hujung minggu lalu di sebuah kampung di daerah Dewas, Madhya Pradesh selepas masjid tempatan dirosakkan semasa protes kumpulan pelampau Hindu terhadap hubungan cinta berlainan agama.

- Ketegangan berlaku di Kampung Uday Nagar di Dewas, Madhya Pradesh selepas sebuah masjid tempatan dirosakkan semasa protes terhadap hubungan cinta berlainan agama.
- Ketegangan berlaku sejurus aduan difailkan keluarga seorang wanita dari komuniti Dalit yang dipercayai kahwin lari dengan seorang lelaki Islam.
- Perusuh didakwa melaungkan kata-kata yang cemuhan berkaitan agama dan perkauman, mengancam orang Islam ‘akan dipotong’ dan bertindak merosakkan Masjid Jama di kampung berkenaan.
- Laporan maklumat awal (FIR) dibuat di bawah Seksyen 147 atas kesalahan merusuh, Seksyen 452 (menceroboh) dan Seksyen 427 (salah laku menyebabkan kerosakan) di bawah Kanun Keseksaan India.
NEW DELHI – Ketegangan berlaku hujung minggu lalu di sebuah kampung di daerah Dewas, Madhya Pradesh selepas masjid tempatan dirosakkan semasa protes kumpulan pelampau Hindu terhadap hubungan cinta berlainan agama.
Ketegangan di Kampung Uday Nagar dan kawasan sekitarnya itu dipercayai berpunca daripada Saifi (bukan nama sebenar), 20, lelaki Muslim yang kahwin lari dengan pasangannya, Ritika (bukan nama sebenar), 19, dari komuniti Dalit.
Keluarga wanita terbabit dikatakan membuat aduan dan laporan di Balai Polis Uday Nagar yang menyiasat dakwaan itu.
Pada 27 Ogos lalu, penduduk tempatan dilaporkan melaungkan kata-kata cemuhan berkaitan agama dan bertindak merosakkan Masjid Jama di kawasan itu.
Berdasarkan video diperoleh The Wire, laungan dari kumpulan protes jelas didengari bahawa orang Islam “akan dipotong” selain mengajak orang ramai untuk memusnahkan masjid itu.
“Pada 27 Ogos lalu (Sabtu), kumpulan pelampau Hindutva mengepung balai polis. Mereka turut mengadakan perhimpunan dan melaungkan kata-kata cemuhan perkauman.
“Selepas itu, Masjid Jama kami turut dirosakkan. Tingkap, paip dan kipas masjid dirosakkan termasuk Al-Quran juga dicampak ke lantai. Kedai saya pun diserang,” kata seorang pekedai, Kaifi (bukan nama sebenar).
Penduduk Islam membuat laporan maklumat awal (FIR) di Balai Polis Uday Nagar ekoran kerosakan masjid itu.
FIR itu didaftarkan di bawah Seksyen 147 atas kesalahan merusuh, Seksyen 452 (menceroboh) dan Seksyen 427 (salah laku menyebabkan kerosakan) di bawah Kanun Keseksaan India.
Menurut FIR, dua individu iaitu Shera Yadav dan Shubham antara yang tertuduh bersama kumpulan 20-25 perusuh lain yang tidak dikenali.
“Terdapat penduduk tempatan dan wakil daripada gabungan organisasi seperti Bajrang Dal dan RSS di dalam kumpulan itu. Shera Yadav dan Shubham masih lagi bebas.
“Tiada tangkapan yang dibuat dan ini menyumbang kepada kebimbangan di wilayah ini. Ramai yang meninggalkan kawasan buat sementara waktu ini akibat kerisauan,” kata seorang penduduk, Sheikh (bukan nama sebenar).
Sumber: The Wire

You must be logged in to post a comment Login