Terkini
[VIDEO] Wang lesap dalam bank : doktor mangsa terbaru, netizen kongsi pengalaman lebih teruk
Kecoh di media sosial dengan luahan seorang Pakar Nefrologi, Dr Rafidah Abdullah yang telah kehilangan duit berjumlah RM13 ribu daripada akaun CIMB pada Jumaat lalu.

- Pakar Nefrologi, Dr Rafidah Abdullah telah kehilangan duit berjumlah RM13 ribu daripada akaun CIMB pada Jumaat lalu dan isu ini telah viral di media sosial sekaligus menyebabkan lebih ramai mangsa tampil ke depan.
- “Sudah hampir 30 tahun dengan CIMB. Hari ini sangat sangat kecewa dengan CIMB. Langsung tiada sekuriti. Takkan lah 3 transaksi melalui CIMB click berjumlah RM13 ribu pada 2-2:30 pagi tidak ada trigger langsung? Langsung tidak ada minta TAC. Lesap dalam sekelip mata.” – Dr Rafidah Abdullah
- Pengguna Facebook Lily Natty Elegance dalam perkongsian berbeza, mendakwa duit beliau berjumlah RM11, 668.16 hilang dalam tempoh dua saat daripada akaun Public Bank.
- Pengguna Facebook Amiruddin Ahmad Tajuddin berkata, beliau pernah kehilangan RM10, 000 dalam tahun 2015 melalui cara lebih kurang sama.
- “Duit saya lagi banyak kena scam tinggal lagi kes tak viral sahaja..Hancur lebur kemurungan.. 163K x akan boleh lupa sampai bila2..” – Facebook Azura Photobook.
KUALA LUMPUR – Kecoh di media sosial dengan luahan seorang Pakar Nefrologi, Dr Rafidah Abdullah yang telah kehilangan duit berjumlah RM13 ribu daripada akaun CIMB pada Jumaat lalu.
Menerusi perkongsiannya di Facebook, beliau berkata duitnya lesap dalam sekelip mata daripada akaun CIMB dan mendakwa bank tersebut tiada sekuriti yang menyebabkan perkara sedemikian berlaku.
Berikutan itu, beliau mengucapkan selamat tinggal kepada CIMB walaupun sudah hampir 30 tahun bersama bank tersebut.
“Sudah hampir 30 tahun dengan CIMB. Hari ini sangat sangat kecewa dengan CIMB. Langsung tiada sekuriti. Takkan lah 3 transaksi melalui CIMB click berjumlah RM13 ribu pada 2-2:30 pagi tidak ada trigger langsung? Langsung tidak ada minta TAC. Lesap dalam sekelip mata,” katanya.
Bagaimanapun, beliau telah membuat laporan polis, laporan ke Bank Negara dan reset telefon serta membuang semua aplikasi di Iphonenya.
Menurut beliau, duitnya telah dipindahkan daripada akaun CIMB kepada Hong Leong.
“This is absolutely ridiculous. Nampaknya duit TIDAK SELAMAT dengan CIMB bank. Saya dah report ke CIMB, polis dan sebagainya. Setakat ini feedback adalah kalau scammer dah keluarkan duit, duit itu tidak akan dapat dipulangkan.” kata beliau pada Jumaat.
Dalam pada itu, beliau berharap Bank Negara Malaysia akan mengambil tindakan tegas terhadap CIMB dan mana-mana bank yang memberi laluan perompak merompak hak rakyat Malaysia.
Katanya, “Nampaknya sekarang kena letak duit bawah bantal je!”
The Merdeka Times berusaha untuk hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya bagi mendapatkan pengesahan berkenaan laporan tersebut namun tiada maklum balas dikemukakan.
Seiring itu, rata-rata warganet turut berkongsi pengalaman sama di ruangan komen yang didakwa membabitkan bank lain antaranya adalah Maybank, RHB dan Public Bank.
Ramai meluahkan kebimbangan akan keselamatan duit mereka dalam simpanan bank dan wujud juga komen bernada berang dengan kejadian tersebut kerana berpandangan bahawa kebanyakan pihak bank bersikap lepas tangan apabila melibatkan kejadian sedemikian.
Pengguna Facebook Lily Natty Elegance dalam perkongsian berbeza, mendakwa bahawa duit beliau berjumlah RM11, 668.16 hilang dalam tempoh dua saat daripada akaun Public Bank.
“Wang Natty , berjumlah RM11, 668.16 hilang dalam 2 saat, zero amount yang tinggal dari company current account AGELESS HAVEN RESOURCES. Langsung tidak ada minta TAC, sms , panggilan atau apa-apa,” katanya yang turut menjelaskan bahawa laporan polis sudah dibuat begitu juga dengan cyber security Public bank.
Perkongsian itu dibuat sehari selepas kejadian kehilangan duit daripada bank yang telah menimpa Dr. Rafidah Abdullah.
Menurut Lily Natty, wangnya telah dipindahkan ke akaun bernama Mohamed Azri Arbi Abdullah dibawah akaun bank Hong Leong Bank.
Semalam, pemilik akaun dan nama tersebut telah tampil menjelaskan bahawa beliau bukanlah ‘scammer’ seperti yang diviralkan, bahkan beliau turut membuat laporan polis untuk menafikan dakwaan tersebut.
Hasil tinjauan The Merdeka Times di ruangan komen Facebook Dr. Rafidah Abdullah didapati terdapat juga seorang pengguna Facebook Amiruddin Ahmad Tajuddin yang berkata, beliau pernah kehilangan RM10, 000 dalam tahun 2015 melalui cara lebih kurang sama.
Katanya, laporan polis telah dibuat pada ketika itu.
Juga, difahamkan kejadian melibatkan akaun bank miliknya iaitu Alliance Bank Malaysia di mana duit tersebut telah dipindahkan ke akaun CIMB Malaysia.
Kes lain yang turut dikongsikan pengguna Facebook selepas viral isu Dr Rafidah Hanim, ialah melibatkan kerugian berjumlah RM163K ia berlaku bertarikh pada 4 Julai 2022.
Menerusi akaun Facebook Azura Photobook berkata, kejadian itu membabitkan empat akaun banknya iaitu Public Bank,Cimb Bank, Maybank dan Bank Rakyat.
Kata Azura, “Duit saya lagi banyak kena scam tinggal lagi kes tak viral sahaja..Hancur lebur kemurungan.. 163K x akan boleh lupa sampai bila2..”
Namun, sebahagian perkongsian itu akan berakhir dengan persoalan siapakah yang wajar dipertanggungjawabkan dengan permasalahan ini?
Sumber Facebook : Dr. Rafidah Abdullah, Azura Photobook, Amiruddin Ahmad Tajuddin & Lily Natty Elegance
