Antarabangsa
Peningkatan muzik anti-muslim di India semakin membimbangkan
Sandeep Chaturvedi, 26, dalam proses menghasilkan lagu berunsur anti-muslim di sebuah studio kecilnya di bandar Ayodhya di negeri Uttar Pradesh yang terletak di utara India.

- Peningkatan lagu anti-muslim sebahagian trend muzik di Youtube dan platform media sosial lain di mana penyokong Hindu berhaluan kanan menzahirkan kebencian terhadap orang Islam.
- Liriknya bersifat ancaman dan kesat. Kebiasaannya bersandarkan kepada premis bahawa penganut Hindu menderita di bawah orang-orang Islam sejak berkurun-kurun lamanya.
- Muzik atau lagu anti-muslim ini dianggap sebagai cara membalas dendam kepada orang Islam.
- Penganalisis politik menyifatkannya bukan sekadar bertujuan menjana pendapatan tetapi cara seseorang individu itu meraih perhatian selain ‘laungan perang’ yang memudaratkan.
NEW DELHI – Sandeep Chaturvedi, 26, dalam proses menghasilkan lagu berunsur anti-muslim di sebuah studio kecilnya di bandar Ayodhya di negeri Uttar Pradesh yang terletak di utara India.
Lagu itu mengenai sebuah masjid yang menjadi kontroversi selepas penganut Hindu menuntut hak untuk beribadat di situ. Ia dipenuhi sindiran terhadap umat Islam, tetapi menurut Chaturvedi lagu itu akan membolehkannya menjana pendapatan.
Lagu dihasilkan Chaturvedi adalah sebahagian trend muzik di Youtube dan platform media sosial lain di mana penyokong Hindu berhaluan kanan (ekstrim) menzahirkan kebenciannya terhadap orang Islam.
Liriknya bersifat ancaman dan kesat. Kebiasaannya bersandarkan kepada premis bahawa penganut Hindu menderita di bawah orang-orang Islam sejak berkurun-kurun lamanya dan lagu ini dianggap sebagai cara membalas dendam kepada orang Islam.
Penulis dan penganalisis politik, Nilanjan Mukhopadhyay menganggap ia bukanlah sekadar sumber pendapatan semata-mata, tetapi cara meraih perhatian.
“Ia lebih kepada laungan perang yang memperalatkan musik sebagai senjatanya. Penyalahgunaan muzik sebegini sudah bertahun-tahun berlaku,” kata Mukhopadhyay menyifatkan lagu sebegitu sebagai “bukan muzik”.
Chaturvedi berkata lagu dihasilkannya mendapat berjuta-juta tontonan di Youtube sebelum akaun Youtubenya itu dibekukan susulan beribu-ribu aduan diterima pengendali platform media sosial itu.
Penggubah lagu itu menyalahkan orang Islam kerana membuat laporan terhadap lagunya.
Chaturvedi masih memuat naik video-video baru di saluran Youtube baru miliknya, tetapi kebanyakan videonya tidak mendapat sambutan.
Dia tetap berharap pembikinan lagu barunya, yang berunsur anti-muslim, menarik penonton.
Sumber: Saudi Gazette
