Terkini
Malaysia perlu henti ‘merawat & memulihkan’ LGBT – Justice for Sisters
Malaysia didakwa menyekat hak asasi golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) melalui penguatkuasaan undang-undang jenayah serta program pemulihan untuk golongan ini yang dibiayai kerajaan seperti program Mukhayyam.
- Malaysia didakwa sekat hak asasi golongan LGBT melalui penguatkuasaan undang-undang jenayah serta program pemulihan untuk golongan ini yang dibiayai kerajaan seperti program Mukhayyam.
- Dakwaan itu dibuat Human Rights Watch (HRW) dan Justice for Sisters, NGO tempatan yang terkenal dalam memperjuangkan hak golongan ini.
- Kerajaan digesa tidak mendiskriminasi hubungan sejenis dan kepelbagaian gender juga perlu menghentikan program serta cadangan retorik bahawa golongan LGBT perlu ‘dipulihkan’ atau ‘dirawat.’
- Program dijalankan didakwa bertujuan memanipulasi golongan LGBT untuk membuat mereka percaya bahawa mereka telah terpesong sedangkan hakikatnya berbeza menurut mereka.
- Mereka turut mendakwa berdepan diskriminasi serta keganasan daripada orang awam namun pelaku jarang diheret ke muka pengadilan.
- Program Mukhayyam berjaya membawa 1,450 komuniti LGBT ‘pulang ke jalan benar’ pada tahun 2021.
- Di Malaysia individu yang membuat hubungan seks luar tabii boleh dikenakan hukuman dibawah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan Seksyen 377A Kanun Keseksaan.
KUALA LUMPUR – Malaysia didakwa menyekat hak asasi golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) melalui penguatkuasaan undang-undang jenayah serta program pemulihan untuk golongan ini yang dibiayai kerajaan seperti program Mukhayyam.
Dakwaan itu dibuat oleh Human Rights Watch (HRW) dan Justice for Sisters, NGO tempatan yang terkenal dalam memperjuangkan hak golongan ini.
Menerusi laporan dikeluarkan bersama pada Rabu, mereka menggesa kerajaan tidak mendiskriminasi hubungan sejenis dan kepelbagaian gender juga perlu menghentikan program serta cadangan retorik bahawa golongan LGBT perlu ‘dipulihkan’ atau ‘dirawat.’
Laporan setebal 101 muka surat itu adalah berdasarkan temu bual yang dilakukan oleh kumpulan itu dengan 73 rakyat Malaysia daripada golongan LGBT antara tahun 2018 dan 2021.
Ia bertajuk ‘I Don’t Want to Change Myself: Anti-LGBT Conversion Practices, Discrimination, and Violence in Malaysia’.
Mengulas lanjut, pengasas bersama Justice for Sisters, Thilaga Sulathireh, berkata “Pendekatan terkini Malaysia terhadap golongan LGBT iaitu pemulihan dan penjenayahan adalah tidak berasaskan kepada hak-hak asasi manusia atau sebarang bukti.”
Tambahnya, program-program yang dijalankan bertujuan memanipulasi golongan LGBT sehingga mempercayai bahawa mereka telah terpesong sedangkan hakikatnya berbeza menurut mereka.
“Dasar serta tindakan mereka hanya menimbulkan kebencian dalam kalangan golongan minoriti LGBTQ dan kepelbagaian jantina ini selain mewujudkan permusuhan dalam kalangan penduduk lain,” katanya.
Golongan ini turut mendakwa berdepan diskriminasi serta keganasan daripada orang awam namun pelaku jarang diheret ke muka pengadilan.
Dalam rumusan laporan itu, kedua-dua kumpulan berkata, “Malaysia adalah antara segelintir negara yang secara eksplisit menjadikan ketidakpatuhan gender sebagai satu kesalahan jenayah. Malaysia turut menjenayahkan perlakuan seks sesama jenis di peringkat negeri dan persekutuan.”
Terdahulu, program Mukhayyam diperkenalkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri bersama komuniti LGBT beragama Islam sebagai inisiatif untuk membantu mereka menjalani kehidupan yang selari dengan tuntutan syariat.
Ia selari dengan berpendirian JAKIM yang tidak bersetuju dengan perlakuan LGBT, namun tidak menafikan hak pelaku LGBT untuk dibimbing dan dinasihati.
Program itu dijalankan selama tiga hari dua malam di mana ia menekankan lima elemen utama iaitu kesedaran kerohanian, bimbingan fardhu ain, kesedaran kesihatan, motivasi kerjaya dan aktiviti berkumpulan.
Media turut melaporkan pada 2021, JAKIM berjaya membawa 1,450 komuniti LGBT ‘pulang ke jalan benar’ melalui program tersebut, juga akan terus membantu golongan terbabit.
Pada tahun 2018, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri juga menekankan bahawa Malaysia tidak akan menerima budaya LGBT dan perkahwinan sama jantina sekalipun di barat ia dianggap sebagai satu hak asasi.
Katanya ketika itu, “Sistem nilai kita tak sama dengan sistem nilai barat. Mereka lebih bebas.”
Di Malaysia individu yang membuat hubungan seks luar tabii boleh dikenakan hukuman dibawah Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan Seksyen 377A Kanun Keseksaan.
Mana-mana orang yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.
Sumber : Benar news, Humans Right Watch