Kolumnis
Wujudkah kemiskinan haid di Malaysia?
Tahun lalu seorang anak pemimpin politik menidakkan beratnya isu kemiskinan haid di Malaysia dengan mendakwa tuala wanita yang diperlukan untuk menguruskan isu itu tidaklah terlalu mahal.
- Anak pemimpin politik menyifatkan kemiskinan haid tidak berlaku di Malaysia.
- Individu itu turut membidas situasi wanita tidak berkemampuan yang sanggup mengandung berulang kali bagi mengelakkan datang bulan.
- Pakar sosiologi menepis sindiran wanita tersebut dengan mengatakan negara ini juga berdepan masalah sama, namun tidak diangkat sebagai polemik terbuka .
- LPPKN sedang membuat kajian berhubung kemiskinan haid membabitkan 57,000 responden.
KUALA LUMPUR: Tahun lalu seorang anak pemimpin politik menidakkan beratnya isu kemiskinan haid di Malaysia dengan mendakwa tuala wanita yang diperlukan untuk menguruskan isu itu tidaklah terlalu mahal.
Individu tersebut turut memberi komen sinis terhadap situasi wanita tidak berkemampuan yang sanggup mengandung berulang kali bagi mengelakkan datang bulan.
“Saya ketawa kerana tajuk berita itu. Apa kena-mengena pad dengan mengandung. Alahai…” sindirnya.
Beliau juga mengatakan situasi ini hanya berlaku di luar negara bukan di Malaysia.
Menepis dakwaan itu,pakar sosiologi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Sh Fatimah Alzahrah Syed Hussien,berkata negara ini juga berdepan masalah sama, namun tidak diangkat sebagai polemik terbuka menyebabkan hingga kini tiada data dikeluarkan berkenaan jumlah sebenar kumpulan yang terkesan oleh permasalahan tersebut.
Bagaimanapun menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, kajian berhubung kemiskinan haid sedang dilaksanakan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi melihat keperluan bantuan tuala wanita.
Katanya, kajian dijangka selesai Oktober ini, membabitkan 57,000 responden.
“Kajian lanjut perlu dilaksanakan bagi membolehkan kerajaan mendapat gambaran sebenar berhubung isu kemiskinan haid.
“Selain itu, dapatan kajian ini juga membolehkan satu pendekatan yang lebih komprehensif dan bersasar diperkenalkan bagi menangani isu kemiskinan haid,” katanya.
Maklum balas ini membuktikan kemiskinan haid wujud di negara kita.
Soalnya,seteruk mana?