Terkini
Lagi kes penderaan? Kanak-kanak dipukul dengan batang penyapu dan penyangkut baju sehingga cedera seluruh badan
The Merdeka Times menerima beberapa rakaman video seorang kanak-kanak berusia antara 3-4 tahun dipukul dengan batang penyapu serta penyangkut baju oleh seorang wanita.
- Beberapa video rakaman menunjukkan kanak-kanak tersebut dipukul dengan penyangkut baju dan batang penyapu ketika dimarahi.
- Kesan lebam di kaki, tangan, badan serta muka kanak-kanak tersebut dapat dilihat dalam rakaman.
KUALA LUMPUR – The Merdeka Times menerima beberapa rakaman video seorang kanak-kanak berusia antara 3-4 tahun dipukul dengan batang penyapu serta penyangkut baju oleh seorang wanita.
Dalam video yang pertama, seorang wanita dewasa dilihat memukul muka dan badan kanak-kanak tersebut menggunakan penyangkut baju. Situasi melihatkan kanak-kanak tersebut dipukul berkemungkinan kerana tidak mahu menelan makanannya.
Kanak-kanak tersebut diarah untuk berhenti menangis dan menghabiskan makanannya jika tidak mahu dipukul lagi.
Manakala dalam video yang kedua, kelihatan seorang lelaki dewasa turut menggunakan penyangkut baju disyaki sedang memarahi kanak-kanak tersebut.
Video ketiga pula menunjukkan kanak-kanak tersebut dirotan oleh seorang wanita dewasa yang sama di dalam video pertama menggunakan batang penyapu.
Dan video keempat menunjukkan kesan luka dan lebam di kaki, tangan, badan serta di muka kanak-kanak tersebut.
Masih tidak dapat dipastikan apakah hubungan wanita dan lelaki dengan kanak-kanak perempuan yang dipukul itu. Lokasi kejadian belum dapat dikenal pasti.
Anda mempunyai maklumat lanjut? Sila hubungi kami di [email protected]