Terkini
EKSKLUSIF: Kes Emilia-SM Faisal: Pengamal undang-undang pelik kenapa ada pihak persoalkan keputusan mahkamah syariah
“Saya agak pelik dengan pihak-pihak yang masih menyalahkan Mahkamah Syariah ini. Apa asas mereka sebenarnya,” kata Malcolm ketika dihubungi The Merdeka Times.
- Tindakan pihak tertentu yang seolah-olah mempersoalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah berhubung kes Emilia-SM Faisal apabila ibu kepada tiga anak itu dipenjarakan kerana gagal mematuhi perintah mahkamah, dianggap pelik oleh pengamal undang-undang.
- Peguam sivil dan keluarga, Malcolm Fernandez menegaskan dalam kes Emelia-SM Faisal, Mahkamah Syariah telah membuat keputusan sah berdasarkan semua fakta diterima mahkamah.
- Peguambela dan peguamcara bahagian sivil litigasi, Nor Zabetha Muhamad Nor berkata kes itu seharusnya dinilai dalam sudut “full context” sebelum memberikan sebarang pandangan.
- Kedua-dua peguam terbabit menegaskan perintah yang dikeluarkan mana-mana mahkamah, sama ada syariah atau sivil, perlu dihormati semua pihak.
KUALA LUMPUR – Tindakan pihak tertentu yang seolah-olah mempersoalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah mengenakan hukuman penjara ke atas Emilia Hanafi kerana gagal mematuhi perintah mahkamah berhubung tarikh lawatan tiga anaknya, dianggap pelik oleh pengamal undang-undang.
Peguam sivil dan keluarga, Malcolm Fernandez menegaskan dalam kes Emelia-SM Faisal, Mahkamah Syariah telah membuat keputusan yang sah berdasarkan semua fakta diterima mahkamah.
Malcolm berkata Emilia sudah diberi peluang untuk memberikan penjelasan berhubung kes itu.
“Saya agak pelik dengan pihak-pihak yang masih menyalahkan Mahkamah Syariah ini. Apa asas mereka sebenarnya,” kata Malcolm ketika dihubungi The Merdeka Times berhubung tindakan pihak tertentu yang terus mempersoalkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah mengenakan hukuman penjara ke atas Emelia.
Pada 27 Jun lalu, Emelia, yang juga bekas isteri ahli perniagaan SM Faisal SM Nasimuddin, menjalani hukuman penjara tujuh hari atas kesalahan gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah berhubung tarikh lawatan tiga anaknya.
Isu itu mendapat perhatian umum dengan ada segelintir pihak dilihat seolah-olah cuba memberikan gambaran buruk kepada Mahkamah Syariah berhubung keputusan memenjarakan Emelia ketika jelas pihak terbabit melanggar perintah mahkamah.
Sebelum ini kumpulan Sisters in Islam (SIS) menyifatkan hari Isnin (27 Jun 2022), iaitu tarikh di mana Emelia mula menjalani hukuman penjara kerana gagal mematuhi perintah mahkamah syariah, sebagai hari yang gelap untuk wanita, terutama para ibu dan isteri ekoran apa berlaku kepada Emelia.
“Sistem kehakiman Syariah, yang sepatutnya bertanggungjawab menegakkan keadilan dan menjaga kebajikan ahli keluarga terbabit daripada ditindas, sebaliknya telah bertindak untuk mengeluarkan waran tangkap penjara selama 7 hari ke atas ibu tersebut hanya kerana beliau menukar tarikh lawatan bekas suami atas permintaan anak-anaknya,” kata SIS dalam kenyataannya seperti dilaporkan media.
Peguambela dan peguamcara bahagian sivil litigasi, Nor Zabetha Muhamad Nor berkata kes Emilia-SM Faisal seharusnya dinilai dalam sudut “full context” sebelum memberikan sebarang pandangan.
“Kalau nak salahkan mahkamah, kita kena lihat “full context” dahulu. (Kita) tak tahu apa yang berlaku dan apa pengingkarannya, maka kita tak boleh meletakkan beban kesalahan kepada mahkamah,” katanya.
Ditanya mengenai perbezaan mahkamah syariah dan mahkamah sivil, Malcolm dan Zabetha merumuskan kesemua perintah yang dikeluarkan kedua-dua mahkamah itu perlulah dihormati mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Dari segi isu menghina mahkamah, prosedurnya agak sama khususnya, jika wujud sesebuah perintah yang (mana) kedua-dua pihak perlu patuhi, tak kira mahkamah sivil atau syariah, perintah itu haruslah dihormati,” kata Malcolm.
“Memandangkan orang Islam perlu patuhi hukum syarak dan undang-undang syariah, mahkamah syariahlah yang akan mengawal undang-undang berkaitan dengan kekeluargaan dan pembahagian harta.
“Manakala mahkamah sivil pula untuk orang-orang bukan Islam. Dari segi peraturan, semua sama. Kedua-dua kena ikut prosedur dan kena hormati perintah yang dikeluarkan,” jelas Zabetha. – The Merdeka Times
Baca berita susulan – Kes dera Emilia Hanafi: Perbicaraan kali pertama bakal berlangsung esok