Connect with us

Terkini

‘Dalam Perlembagaan tiada peruntukan tidak boleh dipinda,’ – Pakar Perlembagaan

Tiada sekatan nyata dalam Perlembagaan tentang peruntukan yang tidak boleh dipinda atau dengan kata lain Perlembagaan tidak memperuntukkan tentang pengecualian mana-mana peruntukannya. 

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

‘Dalam Perlembagaan tiada peruntukan tidak boleh dipinda,’ - Pakar Perlembagaan
Foto: Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz.
  • Tiada sekatan nyata dalam Perlembagaan tentang peruntukan yang tidak boleh dipinda atau dengan kata lain Perlembagaan tidak memperuntukkan tentang pengecualian mana-mana peruntukannya, kata Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz.
  • Terdapat enam perkara kita perlu ketahui berkenaan pindaan Perlembagaan.
  • Ia dapat dilihat dalam Perkara 159 dan 161E iaitu didapati empat cara (tatacara) untuk meminda Perlembagaan; Majoriti mudah,  2/3 majoriti ahli Parlimen,  2/3 majoriti dan Perkenan Majlis Raja-Raja serta  2/3 majoriti dan persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah atau Sarawak. 
  • Institusi terlibat pindaan Perlembagaan ialah Parlimen,  Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri.

KUALA LUMPUR – Tiada sekatan nyata dalam Perlembagaan tentang peruntukan yang tidak boleh dipinda atau dengan kata lain Perlembagaan tidak memperuntukkan tentang pengecualian mana-mana peruntukannya. 

Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata demikian ketika mengulas berkenaan pindaan Perlembagaan di Facebook miliknya, hari ini.

Jelasnya, terdapat beberapa perkara yang wajar kita fahami jika ingin menceritakan tentang pindaan Perlembagaan, kerana sebagai undang-undang tertinggi Perlembagaan telah menetapkan cara pindaan boleh dilakukan. 

Menurut Dr Shamrahayu terdapat enam perkara kita patut ketahui tentang pindaan Perlembagaan iaitu;

Yang pertama, ia dapat dilihat dalam Perkara 159 dan 161E;

Perkara 159(1) menyatakan:

“Pindaan Perlembagaan

  1. (1) Tertakluk kepada peruntukan yang berikut dalam Perkara ini dan kepada Perkara 161E, peruntukan Perlembagaan ini boleh dipinda melalui undang-undang persekutuan.”

Perkara kedua yang dikatakan beliau adalah dengan membaca Perkara 159 dan 161E, iaitu didapati empat cara (tatacara) untuk meminda Perlembagaan.

  1. Majoriti mudah. Perkara 159(2) menyatakan, “(4) Pindaan-pindaan yang berikut dikecualikan daripada peruntukan Fasal (3), iaitu;

(a) apa-apa pindaan kepada Bahagian III Jadual Kedua atau kepada Jadual Keenam atau Jadual Ketujuh;

(b) apa-apa pindaan yang bersampingan dengan atau berbangkit daripada perjalanan apa-apa kuasa untuk membuat undang-undang yang diberikan kepada Parlimen oleh mana-mana peruntukan Perlembagaan ini selain Perkara 74 dan 76;

(bb) tertakluk kepada Perkara 161E apa-apa pindaan yang dibuat bagi atau berkaitan dengan penerimaan masuk mana- mana Negeri ke dalam Persekutuan atau pergabungannya dengan Negeri-Negeri Persekutuan, atau apa-apa ubah suaian yang dibuat tentang pemakaian Perlembagaan ini bagi sesuatu Negeri yang diterima masuk atau bergabung sedemikian sebelum itu;

(c) apa-apa pindaan yang berbangkit daripada sesuatu pindaan yang dibuat di bawah perenggan (a).

  1. Dua per tiga majoriti. Perkara 159(3) menyatakan, “Sesuatu Rang Undang-Undang bagi membuat apa-apa pindaan kepada Perlembagaan (selain pindaan yang dikecualikan daripada peruntukan Fasal ini)…tidaklah boleh diluluskan di dalam mana-mana satu Majlis Parlimen melainkan jika Rang Undang-Undang itu telah disokong pada Bacaan Kali Kedua dan Kali Ketiga dengan undi sebanyak tidak kurang daripada dua pertiga daripada jumlah bilangan ahli Majlis Parlimen itu”. Boleh dikatakan sebahagian besar peruntukan Perlembagaan boleh dipinda dengan sokongan 2/3 majoriti ahli Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) pada bacaan Kedua dan bacaan Ketiga.
  2. Dua per tiga majoriti dan Perkenan Majlis Raja-Raja. Hal ini dapat dilihat dalam Perkara 159(5). Perkara 159(5) menyatakan:

“(5) Sesuatu undang-undang yang membuat pindaan kepada Fasal (4) Perkara 10, apa-apa undang-undang yang diluluskan di bawahnya, peruntukan Bahagian III, Perkara 38, 63(4), 70, 71(1), 72(4), 152, atau 153 atau kepada Fasal ini tidaklah boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.”

Dr Shamrahayu berkata, seperti yang dinyatakan dalam Perkara 159(5), perkara-perkara berikut hanya boleh dipinda setelah mendapat sokongan dua per tiga majoriti ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada bacaan Kedua dan Ketiga:

  1. Perkara 10(4)
  2. mana-mana undang-undang yang dibuat di bawah Perkara 10(4)

iii. Peruntukan berkaitan Kewarganegaraan (Bahagian III – Perkara 14 hingga 31 Perlembagaan Persekutuan)

  1. Hal berkaitan Majlis Raja-Raja (Perkara 38)
  2. Kebebasan bersuara dalam Parlimen yang melanggar peruntukan, antara lain, Akta Hasutan 1948. Perkara 63(4) menyatakan:

(4) Fasal (2) tidaklah terpakai bagi mana-mana orang yang dipertuduh atas suatu kesalahan di bawah undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen di bawah Fasal (4) Perkara 10 atau atas suatu kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 [Akta 15] sebagaimana yang dipinda oleh Ordinan No. 45 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970 [P.U. (A) 282170].

  1. Perkara 70, iaitu berkaitan Keutamaan Raja dan Yang di-Pertua Negeri

vii. Perkara 71(1), iaitu peruntukan berkenaan “Jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri” yang memperuntukkan “Jaminan Persekutuan terhadap Perlembagaan Negeri” “Persekutuan hendaklah menjamin hak Raja sesuatu Negeri untuk naik takhta dan memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak dan keistimewaan-keistimewaan di sisi perlembagaan bagi Raja Negeri itu mengikut Perlembagaan Negeri itu; tetapi apa-apa pertikaian tentang hak naik takhta mana-mana Negeri hendaklah diputuskan semata-mata oleh mana- mana pihak berkuasa, dan semata-mata mengikut apa-apa cara, yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negeri itu”.

viii. Perkara 72(4), iaitu peruntukan berkaitan keistimewaan Dewan Undangan Negeri. Perkara ini adalah seumpama Perkara 63(4), yang memperuntukkan tentang pengecualian kepada keistimewaan Parlimen sekiranya, antara lain, melanggar Akta Hasutan. Perkara 72(4) memperuntukkan seperti berikut: “(4) Fasal (2) tidaklah terpakai bagi mana-mana orang yang dipertuduh atas suatu kesalahan di bawah undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen di bawah Fasal (4) Perkara 10 atau atas suatu kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 sebagaimana yang dipinda oleh Ordinan No. 45 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970”

  1. Perkara 152, iaitu peruntukan tentang Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi
  2. Perkara 153, iaitu peruntukan berkaitan kuota untuk orang Melayu, Anak Negeri (Sabah dan Sarawak) dan kepentingan sah komuniti lain. Kuota-kuota tersebut adalah berkaitan pendidikan, perniagaan dan perjawatan awam. Tanah Rizab Melayu tidak dinyatakan dalam Perkara 159(3) ini. 

Manakala kepentingan sah komuniti lain termasuklah hal berkaitan kewarganegaraan, perwakilan dalam Dewan Negara, perwakilan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan dan hak-hak sivil yang lain, termasuk kebebasan asasi dan hak mengundi.

  1. Perkara 159(5). Perkara 159(5) ini adalah juga tidak boleh dipinda melainkan mendapat 2/3 majoriti sokongan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada bacaan Kedua dan Ketiga.
  2. Dua per tiga majoriti dan persetujuan Yang di-Pertua Negeri Sabah atau Sarawak. 

Menurut beliau, prosedur ini diperuntukkan dalam Perkara 161E dimana ia memperuntukan dengan jelas tentang beberapa keadaan. 

Kata beliau secara umumnya, institusi yang terlibat dalam pindaan Perlembagaan ialah Parlimen,  Majlis Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri.

Beliau juga mengatakan bahawa tiada sekatan yang nyata dalam Perlembagaan tentang peruntukan yang tidak boleh dipinda atau dengan kata lain Perlembagaan tidak memperuntukkan tentang pengecualian mana-mana peruntukannya. 

Pada masa sama beliau turut menjelaskan perkara keenam terkait permasalahan itu iaitu peruntukan Perlembagaan hanya boleh dilaksanakan melalui undang-undang yang dibuat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, atau polisi yang dibuat kerajaan. 

Justeru katanya, peruntukan Perlembagaan boleh “didiamkan” sekiranya tiada polisi atau undang-undang diluluskan. 

“Walaupun pindaan Perlembagaan mungkin tidak secara rasmi dipinda oleh kerajaan yang memerintah, tetapi semua peruntukan Perlembagaan boleh “didiamkan” dengan tidak memberikan perhatian atau tidak mengusahakan supaya peruntukan dilaksanakan, maka apa jua ada dalam Perlembagaan itu tidak menjadi berkesan.”

“Peruntukan Perlembagaan akan menjadi kosmetik sahaja,” kata beliau.

Sumber : Facebook Shamrahayu Aziz

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *