Connect with us

Terkini

Mahathir penganjur utama sebar kenyataan provokatif berkaitan kaum – CIJ

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad muncul penganjur utama dalam menyebarkan kenyataan provokatif tentang kaum.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Kebebasan bersuara kini terhad kepada menyokong kerajaan – Tun Mahathir
Foto: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
  • Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad muncul penganjur utama dalam menyebarkan kenyataan provokatif tentang kaum.
  • Dapatan itu berdasarkan analisis awal pemantauan media sosial bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 di Malaysia melalui kempen ‘Katakan Tidak pada Ucapan Benci’ yang dijalankan Centre for Independent Journalism (CIJ) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
  • Hasil itu diperoleh berdasarkan pemantauan sepanjang tempoh 24 hingga 30 Julai lalu.
  • Mengulas lanjut dapatan itu, Pengarah Eksekutif CIJ, Wathshlah Naidu, berkata naratif Dr Mahathir berterusan mencabar status quo bukan Melayu di negara ini dan mendakwa Malaysia bukan negara berbilang kaum, sebaliknya mendakwa ia adalah negara Melayu.

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad muncul penganjur utama dalam menyebarkan kenyataan provokatif tentang kaum.

Dapatan itu berdasarkan analisis awal pemantauan media sosial bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 di Malaysia melalui kempen ‘Katakan Tidak pada Ucapan Benci’ yang dijalankan Centre for Independent Journalism (CIJ) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Hasil itu diperoleh berdasarkan pemantauan sepanjang tempoh 24 hingga 30 Julai lalu.

Mengulas lanjut dapatan itu, Pengarah Eksekutif CIJ, Wathshlah Naidu, berkata naratif Dr Mahathir berterusan mencabar status quo bukan Melayu di negara ini dan mendakwa Malaysia bukan negara berbilang kaum, sebaliknya mendakwa ia adalah negara Melayu.

Kenyataan sedemikian, katanya, sekali gus mencetuskan komen pengguna yang bersikap kritis atau mendukung posisi Dr Mahathir.

Microaggression (keagresifan mikro) ini berniat untuk mencipta naratif yang mempertembungkan kita dengan konsep mereka dan terbina melalui stereotaip dan maklumat palsu yang disebarkan pihak yang berkuasa.

“Hal ini berpotensi meminggirkan dan menindas kelompok yang lain berdasarkan hierarki kaum dan kekuasaan. Rakyat Malaysia bukan Melayu juga mula meluahkan pandangan mereka soal dikotomi bukan Melayu dan naratif yang memecahbelahkan ini, menggugat rasa kekitaan dan perasaan untuk menyumbang kepada negara ini.

“Seorang rakyat Malaysia berbangsa Bidayuh-Cina turut berkongsi bahawa dia terus menerima pelbagai komen berbaur perkauman apabila meluahkan pandangannya tentang ungkapan yang memecahbelahkan ini secara dalam talian.

“Justeru, kita yang berada dalam keadaan berbahaya sekiranya tidak segera menggesa kebertanggungjawaban dari pihak berkuasa, apabila mereka terus menanam rasa benci terutamanya dalam kalangan anak muda di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain kenyataan sedemikian, hasil pemantauan CIJ mendapati peristiwa Memali pada 1985 turut disifatkan sebagai serangan terhadap Dr Mahathir dan PAS juga bersubahat dengan bekas Perdana Menteri itu.

Mengikut hasil pemantauan itu, sebahagian daripada hantaran mempersoal semula kejujuran posisi PAS sebelum ini.

Pemantauan dijalankan itu memproses 18,721 hantaran sepanjang tempoh seminggu dan dikategorikan mengikut tahap keparahan ucapan.

Hasil pemantauan CIJ menemui hampir 85.08 peratus (15,927 hantaran) daripada hantaran media sosial berada pada Tahap 1 yang mengandungi komen umum dan perbezaan yang tidak menyinggung dalam isu diperhatikan.

Hantaran lain iaitu 14.7 peratus (2,765 hantaran) berada di Tahap 2 (bahasa dan kandungan yang menyinggung atau bersifat diskriminasi), 0.13 peratus (25 hantaran) di Tahap 3 (bahasa dan kandungan yang menyahmanusiakan atau agresif) dan 0.02 peratus (dua hantaran) di Tahap 4 (bahasa atau kandungan yang membabitkan seruan atau ajakan kepada keganasan).

Pemantauan sama menyimpulkan bahawa naratif umum bagi semua hantaran ini masih berpusat pada isu bangsa, agama, gender dan sasaran terhadap komuniti lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ+).

Bagaimanapun, ia tidak sampai ke tahap keparahan ucapan benci yang tinggi.

Selain itu, komen penjanaan pengguna (UGC) berada di Tahap 2 dan ke atas, menunjukkan komen berkait perkauman, xenofobia, homofobia dan transfobia terus dinormalisasikan tanpa ada sebarang mesej penolakan daripada pimpinan politik atau masyarakat awam.

Sumber: Berita Harian

Author