Agama
Menteri Hal Ehwal Bukan Islam tidak cabar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan – DAPSY

- Cadangan mewujudkan jawatan Menteri Hal Ehwal Bukan Islam tidak mencabar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi memenuhi jaminan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
- Itu pandangan Setiausaha DAPSY Kebangsaan, Lim Chun Weng dan Ketua Biro Dasar Awam DAPSY Kebangsaan, Jason Ng Thien Yeong yang juga kedua-duanya merupakan peguam ketika mengulas cadangan Ahli Parlimen Raub dari DAP, Chow Yu Hui supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.
- Dalam kenyataan bersama dikeluarkan di laman web DAP Malaysia hari ini, mereka berkata adalah jelas cadangan Ahli Parlimen Raub itu langsung tidak menyentuh dan menjejas kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.
- Ini kerana menurut mereka, cadangan itu sekadar lantikan seorang Menteri bagi menjaga hal ehwal bukan Islam dan tidak mungkin ia akan mencabar kedudukan agama Islam yang terjamin di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
KUALA LUMPUR — Cadangan mewujudkan jawatan Menteri Hal Ehwal Bukan Islam tidak mencabar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi memenuhi jaminan Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
Itu pandangan Setiausaha DAPSY Kebangsaan, Lim Chun Weng dan Ketua Biro Dasar Awam DAPSY Kebangsaan, Jason Ng Thien Yeong yang juga kedua-duanya merupakan peguam ketika mengulas cadangan Ahli Parlimen Raub dari DAP, Chow Yu Hui supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam.
Dalam kenyataan bersama, mereka berkata adalah jelas cadangan Ahli Parlimen Raub itu langsung tidak menyentuh dan menjejas kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Foto: Tangkap layar kenyataan Setiausaha DAPSY Kebangsaan, Lim Chun Weng & Ketua Biro Dasar Awam DAPSY Kebangsaan, Jason Ng Thien Yeong yang disiarkan di laman web DAP Malaysia hari ini.
Ini kerana menurut mereka, cadangan itu sekadar lantikan seorang Menteri bagi menjaga hal ehwal bukan Islam dan tidak mungkin ia akan mencabar kedudukan agama Islam yang terjamin di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.
“Terdapat pihak-pihak seperti Pemuda PAS dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) yang mengatakan cadangan (itu) melanggar Perlembagaan Persekutuan.
“Ini tidak benar kerana tiada peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menghadkan lantikan Menteri yang menjaga agama lain selain daripada agama Islam,” kata mereka menerusi kenyataan yang disiarkan di laman web DAP Malaysia hari ini.
Tambah mereka, cadangan Ahli Parlimen Raub itu bukan idea baharu kerana ia telah lama dilaksanakan di negeri lain seperti Perak dan Negeri Sembilan di mana seorang EXCO Hal Ehwal Bukan Islam dilantik dalam negeri tersebut untuk menjaga keperluan golongan bukan Islam, namun kedudukan agama Islam tetap terjamin dan tidak pernah dicabar dalam negeri itu.
Malah dengan adanya jawatan itu, menurut mereka kerajaan antaranya dapat menyediakan platform rasmi bagi membincangkan dan menyelesaikan isu-isu berkaitan agama bukan Islam secara adil dan saksama; memastikan dasar-dasar kerajaan mengambil kira keperluan serta sensitiviti masyarakat bukan Islam selain menangani cabaran dan keperluan institusi keagamaan bukan Islam, termasuk tempat ibadat, pendidikan agama, dan kebajikan masyarakat.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi bukan Islam.
Anwar berkata cadangan itu tidak diterima Jemaah Menteri dan melihatnya sebagai pandangan peribadi seorang Ahli Parlimen. — The Merdeka Times
