Agama
Cadangan Menteri Hal Ehwal Agama bukan Islam bercanggah Perlembagaan – PPMM

- Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) berpandangan cadangan Ahli Parlimen Raub dari DAP, Chow Yu Hui supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua, iaitu satu khusus buat urusan agama Islam dan satu lagi bukan Islam bercanggah dengan semangat dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
- Menurut Presiden PPMM, Muhamad Hisham Marzuki, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”.
- “Cadangan untuk mewujudkan portfolio khusus bagi hal ehwal bukan Islam berpotensi menjejaskan keseimbangan yang telah lama terjalin ini dan boleh menimbulkan implikasi perlembagaan yang serius,” katanya menerusi kenyataan media hari ini bertajuk, ‘PPMM bantah cadangan pemecahan portfolio Menteri Hal Ehwal Agama’.
KUALA LUMPUR — Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) berpandangan cadangan Ahli Parlimen Raub dari DAP, Chow Yu Hui supaya portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua, iaitu satu khusus buat urusan agama Islam dan satu lagi bukan Islam bercanggah dengan semangat dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Presiden PPMM, Muhamad Hisham Marzuki, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan”.
Katanya, peruntukan itu menegaskan kedudukan istimewa Islam sebagai agama Persekutuan, dalam masa sama memastikan kebebasan penganut agama lain untuk mengamalkan kepercayaan mereka.
“Perlembagaan Persekutuan juga memberikan kebebasan kepada lain-lain agama untuk mengamalkan agama masing-masing dengan tertakluk kepada had untuk menyebarkannya berdasarkan Perkara 11(4).
“Cadangan untuk mewujudkan portfolio khusus bagi hal ehwal bukan Islam berpotensi menjejaskan keseimbangan yang telah lama terjalin ini dan boleh menimbulkan implikasi perlembagaan yang serius.
“Selain itu, struktur pentadbiran sedia ada telah menyediakan mekanisme yang mencukupi untuk menjaga kepentingan penganut pelbagai agama di Malaysia.
“Penubuhan portfolio baharu di dalam cabang kementerian berpotensi akan menimbulkan pertindihan fungsi dan seterusnya menjejaskan kecekapan pentadbiran,” katanya menerusi kenyataan media hari ini bertajuk, ‘PPMM bantah cadangan pemecahan portfolio Menteri Hal Ehwal Agama’.
Yu Hui di Dewan Rakyat semalam dilaporkan berkata beberapa kerajaan negeri seperti Pulau Pinang, Perak dan Negeri Sembilan sudah lama mempunyai exco hal ehwal bukan Islam, maka peringkat persekutuan juga boleh mencontohi langkah itu untuk menjamin hak semua rakyat.
Langkah melantik dua menteri itu dikatakan bukan saja dapat memastikan pengurusan agama yang adil, tetapi turut mengukuhkan perpaduan negara serta mengelakkan mana-mana pihak daripada terpinggir.
Mengulas lanjut, Hisham berkata negara ini telah mempunyai Kementerian Perpaduan Negara yang di dalamnya terdapat jabatan seperti Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) yang berperanan mengukuhkan integrasi nasional dan meningkatkan keharmonian antara penganut agama.
Beliau berkata fungsi itu termasuk menguruskan isu, konflik, dan insiden perpaduan negara, serta melaksanakan program intervensi dan mediasi.
Setakat ini, katanya JPNIN perlu menjalankan fungsi yang maksimum dalam memastikan agenda keharmonian dapat diterapkan secara efektif.
“PPMM menegaskan bahawa sebarang perubahan terhadap struktur pentadbiran agama negara perlu dilakukan dengan berhati-hati dan mengambil kira sensitiviti serta kepentingan semua pihak, selaras peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Cadangan-cadangan seperti ini tidak wajar dipertimbangkan bagi memastikan negara berada dalam landasan terbaik untuk memupuk agenda harmoni sesama kaum agama dan budaya,” kata Hisham. — The Merdeka Times
