Terkini
Kebajikan dan akidah kanak-kanak GISBH perlu dijaga – Zainul Rijal
Kebajikan kanak-kanak yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) perlu dipelihara walau apa pun status mereka, kata Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
- Kebajikan kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISBH perlu dipelihara walau apa pun status mereka, kata Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
- Majlis Agama Islam Negeri-Negeri mungkin boleh mengumpulkan dana khusus untuk penjagaan kanak-kanak terbabit di pusat-pusat tertentu dan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
- Tempat khusus perlu diwujudkan bagi kanak-kanak itu sekiranya JKM tidak dapat menampung bilangan mereka kerana ia penting untuk mengenyahkan indoktrinasi dipegang kelompok tersebut selama ini.
- “Mereka (kanak-kanak khususnya yang telah ditahan) perlulah diberi pendidikan yang sempurna agar tidak terjerumus terus kepada kesesatan seperti yang diisytiharkan.
- “Perlu juga difikirkan kebajikan lahiriah mereka di mana mereka ditempatkan dan siapa yang menjaga mereka semasa dalam pemantauan ini.
- “…Kerajaan perlu mengambil tindakan bersepadu bagi menangani isu GISB ini khususnya yang melibatkan kanak-kanak. Kebajikan dan akidah mereka perlu dijaga,” kata Zainul Rijal dalam artikel rencananya dikongsikan kepada The Merdeka Times pada Ahad.
KUALA LUMPUR — Kebajikan kanak-kanak yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) perlu dipelihara walau apa pun status mereka, kata Presiden Badan Peguam Syarie Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.
Zainul Rijal berkata Majlis Agama Islam Negeri-Negeri mungkin boleh mengumpulkan dana khusus untuk penjagaan kanak-kanak terbabit di pusat-pusat tertentu dan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Beliau berkata tempat khusus perlu diwujudkan bagi kanak-kanak itu sekiranya JKM tidak dapat menampung bilangan mereka kerana ia penting untuk mengenyahkan indoktrinasi dipegang kelompok tersebut selama ini.
Katanya, JKM perlu bekerjasama dengan institusi agama untuk menanggalkan jubah kesesatan kelompok itu.
“Mereka (kanak-kanak khususnya yang telah ditahan) perlulah diberi pendidikan yang sempurna agar tidak terjerumus terus kepada kesesatan seperti yang diisytiharkan.
“Perlu juga difikirkan kebajikan lahiriah mereka di mana mereka ditempatkan dan siapa yang menjaga mereka semasa dalam pemantauan ini.
“…Kerajaan perlu mengambil tindakan bersepadu bagi menangani isu GISB ini khususnya yang melibatkan kanak-kanak. Kebajikan dan akidah mereka perlu dijaga,” katanya dalam artikel rencananya dikongsikan kepada The Merdeka Times pada Ahad.
Media sebelum ini melaporkan polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan menerusi gerakan ‘Op Global’ pada bulan lalu yang dikaitkan dengan kumpulan perniagaan itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin dilaporkan berkata siasatan mendapati, sebahagian kanak-kanak itu sudah di‘bin’kan dengan Abdullah disebabkan perkahwinan awal tidak didaftarkan.
Mengulas berkenaan itu, Zainul Rijal berkata pertamanya dari sudut syariah, ibu bapa biologi kanak-kanak tersebut perlu dikenalpasti terlebih dahulu menerusi ujian deoxyribonucleic acid (DNA) yang ketepatannya mencapai 99.9 peratus bagi memastikan hubungan tersebut.
Beliau berkata setelah dipastikan siapa ibu bapa biologi kepada kanak-kanak itu mengikut keputusan DNA, barulah dilihat kepada upacara perkahwinan mereka sama ada ia mengikut undang-undang dan hukum syarak.
“Jika ianya tidak mengikut undang-undang tetapi sah mengikut Hukum Syarak suatu perintah dari mahkamah syariah mestilah diperolehi bagi mendaftarkan upacara perkahwinan dan seterusnya kesahtarafan anak.
“Jika perkahwinan tersebut didapati oleh mahkamah syariah tidak mengikut Hukum Syarak mahkamah kemudian akan mengisytiharkan anak-anak tersebut sebagai anak tak sah taraf atau wat’ie syubhah (anak yang kesahannya diragukan),” kata Zainul Rijal. — The Merdeka Times