Terkini
Hentikan serta-merta polemik berhubung sekolah vernakular – Menteri Perpaduan Negara
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang meminta semua pihak supaya menghentikan serta-merta polemik berhubung kewujudan sekolah vernakular di negara ini.

- Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata polemik itu sekiranya berterusan ia akan mengganggu-gugat semangat perpaduan dan muhibah yang terbina dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, ras, etnik dan agama.
- Beliau juga menegaskan sekolah vernakular bukan satu faktor yang menjurus ke arah perpecahan, sebaliknya ia menjadi tarikan ke arah perpaduan.
- “Data enrolmen pelajar bukan Cina di SJKC dan pelajar bukan India di SJKT turut menunjukkan peningkatan berterusan sejak tahun 2018 sehingga 2023.
- “Ini menunjukkan bahawa perpaduan rakyat mampu dibina di mana sahaja jika ada kesungguhan oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang meminta semua pihak supaya menghentikan serta-merta polemik berhubung kewujudan sekolah vernakular di negara ini.
Aaron berkata polemik itu sekiranya berterusan ia akan mengganggu-gugat semangat perpaduan dan muhibah yang terbina dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, ras, etnik dan agama.
Beliau juga menegaskan sekolah vernakular bukan satu faktor yang menjurus ke arah perpecahan, sebaliknya ia menjadi tarikan ke arah perpaduan.
“Data enrolmen pelajar bukan Cina di SJKC dan pelajar bukan India di SJKT turut menunjukkan peningkatan berterusan sejak tahun 2018 sehingga 2023.
“Ini menunjukkan bahawa perpaduan rakyat mampu dibina di mana sahaja jika ada kesungguhan oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aaron berkata kementerian melaksanakan Wacana Defisit Sosial dengan menampilkan pakar-pakar bidang pada tahun lalu di mana hasil dapatan tersebut menunjukkan kewujudan sekolah vernakular tidak boleh lagi dianggap sebagai pembuka ruang pemisah antara etnik.
Beliau berkata penubuhan sekolah vernakular sebaliknya perlu menjadi medan mengurus kerukunan sosial sama seperti peranan sekolah kebangsaan.
Sementara itu, beliau turut memetik keputusan Mahkamah Rayuan pada November tahun lalu yang memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah berkenaan adalah berperlembagaan.
“Sebarang usaha memansuhkan kewujudannya adalah tidak wajar, malah ia adalah bertentangan dengan keputusan mahkamah yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.
“Saya juga menyokong penuh pendirian Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek yang telah menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia akan terus mempertahankan sistem pendidikan vernakular kerana ia selaras dengan Seksyen 28 (penubuhan Sekolah Kebangsaan dan Jenis Kebangsaan), Akta Pendidikan 1996,” kata Aaron.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan sebagai berkata kerajaan mengambil pendirian untuk terus mengekalkan sekolah vernakular yang diiktiraf di bawah Akta Pendidikan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pemberita berhubung kenyataan Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong bahawa penubuhan sekolah vernakular tidak boleh melebihi sekolah kebangsaan kerana ia hanya aliran sampingan, seharusnya tidak boleh mengatasi bilangan sekolah kebangsaan yang menjadi aliran utama sistem pendidikan negara.
Kok Seong juga tidak menafikan sekolah vernakular sememangnya menjadi penghalang kepada usaha mewujudkan perpaduan negara dan kaum.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh pada Sabtu menggesa kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan vernakular yang kini merangkumi lebih 1,800 Sekolah Jenis Kebangsaan.
Dr Akmal berkata penilaian itu perlu dilakukan dalam aspek keselarasan silibus, penerapan nilai-nilai kenegaraan dan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. — The Merdeka Times
